3 Cara Untuk Tidur Yang Lebih Lena Feb04

Kongsi

3 Cara Untuk Tidur Yang Lebih Lena

Aiman Radzi - 3 Cara Untuk Tidur Lebih Lena

Ramai yang mempunyai masalah tidur. Waktu orang lain sudah lena tidur sambil berdengkur, kita masih lagi tercelik memikirkan benda-benda yang mengganggu waktu tidur kita. Keresahan memikirkan perkara-perkara yang memberikan diri tekanan sebelum tidur sangat mengganggu keupayaan kita untuk mendapatkan tidur yang baik.

Stress dan keresahan adalah pemusnah kepada faktor pemulihan, dan ini akan merosakkan hasil yang kita kejar. Penat-penat berlatih di gym, tapi jika tidak mendapat rehat yang sewajarnya, kita juga yang rugi. Cuba lihat beberapa strategi yang boleh digunapakai untuk memperbaiki tidur anda!

Kursus Kecergasan 2017

Strategi 1: Jangan Tengok Telefon Pintar

Cahaya hanya menganggu kebolehan tidur dengan mengacau keseimbangan melatonin. Apabila badan kita berhadapan dengan cahaya, ia ibarat memberi isyarat kepada otak yang cahaya tersebut adalah cahaya matahari, dan menyatakan sekarang adalah “pagi”. Sedangkan, anda baru sahaja hendak masuk tidur.

Elakkan pendedahan kepada telefon pintar, televisyen, komputer riba, dan lain-lain 1 jam sebelum waktu tidur. Siapkan kerja-kerja anda awal ataupun tidur dahulu dan lebih awal untuk menyiapkan kembali kerja-kerja anda.

Strategi 2: Rancang Prioriti Hari Esok

Keresahan timbul apabila anda tiada perancangan, walaupun secara sekali imbas. Apabila anda mendapat gambaran jelas apa yang patut dilakukan pada keesokan hari, keresahan anda akan berkurangan.

Strategi yang kelihatan terlalu mudah, tetapi sebenarnya berkesan. Cuba anda buat sebelum tidur nanti! Jangan fikir tentang masalah dan cara penyelesaiannya, sebaliknya fikir sahaja apa dahulu yang perlu diselesaikan dan berapa lama masa yang diperlukan untuk perkara tersebut.

Strategi 3: Fikirkan 3 Perkara Baik

Ini sebenarnya strategi utama yang saya gunakan, iaitu memikir 3 perkara yang anda sangat suka dan syukuri. Selepas anda baring dan menarik selimut, cuba fikirkan tentang perkara-perkara tersebut. Otak anda akan bawa anda ke dalam mod autopilot, meneruskan bayangan-bayangan baik dan anda akan terpejam sendiri. Tahu-tahu dah bangun pagi!

Memikirkan perkara-perkara positif merendahkan tahap keresahan secara drastik. Kebanyakan orang yang menggunakan cara ini, tidak perasan pun bila masa mereka mula terpejam. Cara yang sangat berkesan dan sesuai diaplikasikan oleh sesiapa pun! Dan, anda boleh berfikir tentang apa sahaja… saya sentiasa teringatkan tunang saya.

Konklusi

Tidur Dengan Telefon Pintar

Rehat yang cukup sebenarnya adalah subjektif. Tetapi, untuk panduan umum, cuba dapatkan 7-8 jam tidur yang lena setiap malam. Paling lewat pun, cuba tidur jam 12 malam. Kita memandang ringan aspek tidur, sedangkan tidur ini sangat penting untuk membina otot dan membakar lemak. Ketepikan gadjet-gadjet pada waktu malam, kerana waktu ini adalah waktu anda berehat.

Aiman Radzi

Berasal dari seorang yang bersaiz kecil dan pemalu, kini menjadi lebih kuat dan berani selepas bergiat aktif dalam dunia kecergasan. Aiman Radzi merupakan seorang pelajar Fisioterapi dan peminat sukan bina badan serta angkat berat. Beliau turut mempunyai sijil sebagai NASC Fitness Instructor dan sering terlibat dengan program kecergasan untuk orang awam. Beliau juga merupakan pengamal urutan sukan.

Bagi Aiman Radzi, bersenam bukan sekadar untuk menguatkan fizikal, tetapi turut untuk membina ketahanan mental. Minatnya dalam ilmu senaman dan rehabilitasi menjadikan beliau seorang yang bermotivasi tinggi ketika berlatih dan cekap dalam penstrukturan sistem latihan.

Facebook Twitter YouTube