3 Jenis Supplement Untuk Percepatkan Pemulihan May11

Kongsi

3 Jenis Supplement Untuk Percepatkan Pemulihan

Kursus Kecergasan 2017

Pernah rasa sakit kaki sampai jalang terkangkang-kangkang? Selalu jadi macam ini apabila anda sudah lama tidak berlatih kaki, dan tiba-tiba terus hentam squat sampai hampir muntah hijau. Mana tak besoknya hendak merangkak sahaja untuk berjalan ke mana-mana!

Walaubagaimana kelenguhan menjadi, ada beberapa cara untuk mengurangkan kesan kesakitan otot yang berlaku hasil daripada latihan berat anda. Tidak semestinya untuk otot kaki sahaja, tetapi ia akan berkait dengan semua otot dalam badan.

Aiman Radzi - 3 Jenis Supplement Untuk Percepatkan Pemulihan

Prioriti Dahulu

Sebelum tengok pada jenis supplement yang boleh diguna pakai untuk mengurangkan rasa kesakitan latihan, anda kena tengok dahulu samada prioriti anda telah diketengahkan atau belum. Apa maksud saya dengan prioriti?

Begini, sebelum anda lihat pada penggunaan supplement, anda kena lihat dulu pada tiga benda ini:

  1. Pemakanan
  2. Tidur/rehat
  3. Program latihan

Jika tiga perkara ini masih belum terjaga, maka perbetulkan yang itu dahulu sebelum mula membeli seribu-satu jenis supplement untuk membantu pemulihan anda. Kalau ini tidak terjaga, supplement tidak akan menjadi begitu berkesan untuk membantu diri anda.

Branched-Chain Amino Acids (BCAAs)

BCAA adalah sejenis rantaian asid amino yang sangat penting untuk membina otot. Ia terdiri daripada Leucine, Isoleucine, dan Valine. Antara ketiga-tiga ini, Leucine ibarat lombong emas untuk diri kita yang merupakan penggemar besi dan otot! Ia sangat penting untuk mengelakkan penguraian otot.

Apabila anda berlatih dengan keras, ia akan memberi tekanan pada otot anda supaya ia kembali menjadi lebih kuat dan besar. Selepas latihan, protein dalam badan anda akan “berkeceramuk” dan mudah untuk terurai. Mengikut teori juga, latihan meningkatkan simpanan asid laktat yang mengubah pH otot, menjadikan semua pergerakan rasa sakit-sakit.

BCAA bertindak sebagai satu ejen pemulihan yang sangat berkesan dengan mengurangkan kesakitan otot dan masa pemulihan yang diperlukan antara sesi latihan. Biasanya, BCAA diambil sebanyak 5g dengan nisbah 2:1:1 (Leucine:Isoleucine:Valine). Ya, kalau boleh carilah supplement BCAA yang mempunyai nisbah 2:1:1.

Minyak Ikan

Supplement minyak ikan adalah antara produk yang sangat fleksibel untuk digunakan dalam dunia kecergasan. Fungsinya banyak sekali, daripada menjaga kesihatan sendi hinggalah membantu menjadikan tahap kesihatan anda pada paras optimum. Begitu juga dengan menjadi sebagai salah satu supplement untuk membantu pemulihan daripada latihan bebanan.

Kandungan EPA dan DHA dalam minyak ikan adalah dua asid yang mempunyai kesan anti-keradangan yang membantu untuk kurangkan kesakitan otot selepas latihan. Ada banyak kajian yang mengatakan pengguna minyak ikan mengalami kesan positif selepas penggunaannya yang konsisten. Ini adalah kemungkinan daripada kebolehan minyak ikan untuk menguatkan sel-sel dalam badan anda.

L-Carnitine

L-carnitine sangat dikenali sebagai bahan untuk membakar lemak dengan cepat. Kini, ia menjadi salah satu bahan penting dan utama dalam produk-produk fat burner di pasaran. Dengan mengurangkan pengumpulan ammonia dan melancarkan peredaran darah, semasa dan selepas latihan, L-carnitine akan mengoptimumkan pemulihan tisu-tisu otot anda yang rosak semasa berlatih.

Ada beberapa kajian yang turut menyatakan penemuan seperti yang dikatakan itu, di mana beberapa individu diberikan 2g L-carnitine setiap hari untuk 3 minggu, dan mereka mengalami pengurangan dalam kesakitan otot serta masa untuk pulih daripada latihan. L-carnitine bukan sahaja untuk membakar lemak, malah untuk memberikan anda peluang untuk meningkatkan hipertropi dengan mempercepatkan pemulihan dan menjadikan latihan anda lebih kerap.

Rujukan:

Austin Peterjohn, The 3 Best Supplements To Speed Your Recovery, Bodybuilding.com

Aiman Radzi

Berasal dari seorang yang bersaiz kecil dan pemalu, kini menjadi lebih kuat dan berani selepas bergiat aktif dalam dunia kecergasan. Aiman Radzi merupakan seorang pelajar Fisioterapi dan peminat sukan bina badan serta angkat berat. Beliau turut mempunyai sijil sebagai NASC Fitness Instructor dan sering terlibat dengan program kecergasan untuk orang awam. Beliau juga merupakan pengamal urutan sukan.

Bagi Aiman Radzi, bersenam bukan sekadar untuk menguatkan fizikal, tetapi turut untuk membina ketahanan mental. Minatnya dalam ilmu senaman dan rehabilitasi menjadikan beliau seorang yang bermotivasi tinggi ketika berlatih dan cekap dalam penstrukturan sistem latihan.

Facebook Twitter YouTube