3 Kesalahan Wanita Dalam Gym Mar17

Kongsi

3 Kesalahan Wanita Dalam Gym

Budaya kecergasan dan bersenam di gym semakin menular sekarang. Pusat kecergasan tumbuh seperti cendawan di merata-rata tempat. Ini adalah perkara yang bagus, untuk orang awam dan untuk para usahawan. Kesedaran akan kesihatan semakin meningkat dan pembukaan pusat kecergasan yang banyak mewujudkan sifat persaingan yang sihat!

Aiman Radzi - 3 Kesalahan Wanita Dalam Gym

Golongan wanita juga semakin ramai kelihatan dalam gym. Memang bagus kerana wanita boleh mengaut banyak manfaat daripada latihan-latihan bebanan. Tulang yang lebih kuat, otot yang lebih pejal, badan yang lebih kurus, dan peratusan lemak yang lebih rendah. Cuma, adakah mereka melakukan latihan dengan betul?

Kebanyakan wanita yang kita lihat (nota: saya kata kebanyakan dan bukan semua), datang sahaja ke gym untuk menaiki mesin treadmill, mesin eliptikal, melakukan aerobik dan senaman-senaman lain selain daripada latihan-latihan yang dilakukan oleh para lelaki di kawasan bebanan bebas. Jadi, ia menyebabkan badan mereka menuju ke arah skinny fat (sejenis bentuk badan yang tidak menarik).

Kursus Kecergasan 2017

Bagaimana Wanita Boleh Kelihatan Lebih Cantik?

Pastinya, golongan wanita yang pergi ke gym adalah untuk kelihatan lebih cantik, lebih ayu, dan lebih anggun. Untuk mencapai malamat ini, mereka perlu:

  1. Bina otot
  2. Bakar lemak

Bagi mendapatkan kedua-dua komponen ini, mereka perlu berlatih dengan bebanan. Tiada beza dengan latihan yang dilakukan oleh orang lelaki. Mungkin yang berbeza hanyalah beban yang digunakan (intensiti latihan). Jenis latihan dan senaman adalah sama sahaja! Anda perlu berlatih dengan intensiti yang bersesuaian untuk satu tujuan; iaitu menjadi lebih kuat kerana badan yang lebih kuat bermaksud anda membina otot dan membakar lemak!

Kesalahan 1: Takut Kelihatan Besar

Wanita takut untuk menjadi besar seperti ahli bina badan lelaki. Jadi, mereka hanya guna dumbbell yang berwarna merah muda (pink seberat 1kg lebih) sahaja. Macam tidak berlatih sahaja kerana mereka mengangkat beban tetapi muka boleh lagi tersenyum-senyum atau bersembang-sembang dengan rakan wanita mereka yang lain.

Wahai wanita, anda tidak akan menjadi besar seperti lelaki! Struktur fisiologi kita pun berbeza. Profil rembesan hormon turut berlainan. Apakah hormon yang penting untuk membina otot? Kalau anda testosteron, anda bijak. Para wanita mempunyai profil rembesan testosteron yang rendah, bukan seperti lelaki.

Bukan itu sahaja, untuk menjadi besar, anda perlu makan banyak. Kebanyakan daripada anda berasa anda sudah makan banyak tetapi lihat ahli bina badan yang besar-besar dan cara mereka makan, itu sebenarnya definisi makan banyak! Sehari mencecah 7000-8000kcal sehari dan mungkin lebih. Anda yang makan bawah 2000kcal tiada apa yang perlu risau.

Kesalahan 2: Tidak Mahu Makan Banyak

Tadi saya kata anda tidak perlu risau untuk makan banyak, sekarang saya mahu sarankan untuk anda makan banyak.

Eh, kenapa macam tu?

Makan banyak haruslah juga berada dalam perimeter yang betul dan mengikut panduan pemakanan sihat. Untuk membina otot, anda perlu makan banyak tetapi bukan sebegitu banyak seperti ahli bina badan professional. Selalu yang kurang dimakan oleh golongan wanita ialah protein, dan protein sebenarnya sangat penting untuk bina otot dan bakar lemak.

Belajar asas pemakanan yang betul dan cara untuk membina otot. Pemakanan anda tidak jauh berbeza dengan pecahan pemakanan ahli bina badan, cuma kurang dari segi kuantiti sahaja. Kalau mereka makan tinggi protein, anda juga begitu. Karbohidrat turut berperanan untuk membekalkan tenaga supaya anda boleh berkerja berat dalam gym nanti!

Kesalahan 3: Hanya Fokus Pada Perut, Tangan, Dan Peha

Ramai wanita taksub untuk memiliki perut yang ramping, tangan yang kecil, atau peha yang mempunyai ruang antara kedua-dua kaki (thigh gap). Apabila mereka masuk ke dalam gym, mereka akan lakukan senaman-senaman seperti sit-up, crunches, biceps curl, dan menggunakan mesin adductor/abductor sahaja.

Malangnya, cara begini tidak mendatangkan anda faedah yang besar. Untuk menjadikan bahagian-bahagian tersebut kurus dan rendah lemak, anda perlu berlatih dengan senaman kompaun yang berintensiti tinggi supaya ia merangsang kesan hipertropi.

Apakah Itu Hipertropi?

Hipertropi bermaksud pembesaran saiz sel, dalam hal ini kita bercakap tentang sel otot. Apabila otot anda menjadi lebih kuat, ia turut menjadi lebih besar dan pejal. Otot yang besar akan meningkatkan kadar metabolisme badan secara semula jadi. Maksudnya, anda akan bakar lebih banyak kalori walaupun pada waktu rehat meskipun anda sedang berehat di rumah kerana jumlah otot yang anda miliki.

Cuba fokus pada senaman-senaman utama dalam gym:

  1. Bench press
  2. Squat
  3. Deadlift
  4. Barbell row
  5. Overhead press

Tiga senaman ini adalah antara yang terbaik untuk membina otot dan membakar lemak kerana pengaktifan gentian otot yang lebih banyak dan besar. Maksudnya, anda akan bakar lebih banyak kalori berbanding senaman-senaman biasa!

Konklusi

Wanita harus berlatih dengan cara yang betul. Untuk memiliki badan lebih menawan, anda harus meletakkan usaha yang setimpal. Tidak perlu datang ke gym untuk berlatih sekadar berlatih sahaja. Pastikan anda datang ke gym dengan tahap fokus yang tinggi! Buang stereotype wanita berlatih dengan beban ringan. Angkat beban berat dan mula bina otot untuk badan yang lebih kuat, sihat, dan menawan!

Rujukan:

  1. TC Luoma (29 Mei 2014), 10 Mistakes Women Make in the Gym, T-Nation, [accessed online] https://www.t-nation.com/training/10-mistakes-women-make-in-the-gym [accessed on 17 March 2017].
Aiman Radzi

Berasal dari seorang yang bersaiz kecil dan pemalu, kini menjadi lebih kuat dan berani selepas bergiat aktif dalam dunia kecergasan. Aiman Radzi merupakan seorang pelajar Fisioterapi dan peminat sukan bina badan serta angkat berat. Beliau turut mempunyai sijil sebagai NASC Fitness Instructor dan sering terlibat dengan program kecergasan untuk orang awam. Beliau juga merupakan pengamal urutan sukan.

Bagi Aiman Radzi, bersenam bukan sekadar untuk menguatkan fizikal, tetapi turut untuk membina ketahanan mental. Minatnya dalam ilmu senaman dan rehabilitasi menjadikan beliau seorang yang bermotivasi tinggi ketika berlatih dan cekap dalam penstrukturan sistem latihan.

Facebook Twitter YouTube