3 Kesalahan Wanita Dalam Pemakanan Mar12

Kongsi

3 Kesalahan Wanita Dalam Pemakanan

Wanita sering terkeliru dalam dunia kecergasan, keliru samada mereka patut lakukan begini-begini untuk kurus seperti idola-idola mereka (atau artis-artis di kaca TV). Dan, kebanyakan daripada wanita bukanlah begitu rajin untuk bersenam. Mereka lebih mudah dengan cara kurus melalui pemakanan (atau pengambilan supplement kurus cepat).

Aiman Radzi - 3 Kesalahan Wanita Dalam Pemakanan

Sama sahaja dengan lelaki, sebenarnya. Saya tidak membezakan antara kedua-dua jantina ini. Samada untuk kurus ataupun menjadi sado, mereka harus lalui proses yang sama iaitu bersenam dan menjaga pemakanan.

Selalunya, mereka tidak menggunakan cara yang tepat untuk kurus. Ada yang berdiet, tetapi dietnya terdiri daripada telur rebus 5 biji pagi, roti sekeping tengahari, buah dua biji malam. Ini bukan diet, ini seksa badan namanya! Apa yang berlaku adalah mereka berjaya menukarkan bentuk badan mereka daripada gemuk berlemak kepada kurus berlemak dan bertambah tidak sihat. Orang panggil badan jenis ini “skinny fat“. Lagi teruk sebenarnya daripada gemuk!

Wanita yang ingin kelihatan lebih anggun akan mengejar curves dari atas sampai bawah. Untuk mencip curves yang menarik, anda kena; 1) bakar lemak dan 2) bina otot. Anda bukan sebatang pokok untuk kelihatan lurus sahaja dan menegak. Tapi ramai yang melakukan kesilapan menjadikan mereka berbentuk begitu.

Kursus Kecergasan 2017

Mengabaikan Peraturan Jelas

Apabila seseorang itu hendak kurus, mereka sering cari apa benda yang mereka perlu lakukan untuk mempercepatkan pembakaran lemak. Kemudian, mulalah mereka membeli itu dan ini, dari segi gajet-gajet canggih untuk mulakan senaman, supplement-supplement yang beratus-ratus atau beribu harganya, baju-baju sukan baru, kasut sukan, dan lain-lain.

Boleh kuruskah kalau beli baju dan kasut sukan baru?

Bukan itu sahaja, nanti akan ada yang terbaca artikel-artikel yang mengatakan untuk kurus, anda perlu ambil makanan sekian-sekian yang mencairkan lemak macam ais di bawah matahari! Maka, bermula lagi kembara mencari herba-herba hebat ini di pasaraya dengan harapan menjadi lebih kurus.

Makan ayam goreng setiap hari, ikan goreng, air manis, kemudian telan 3 biji buah alpukat sebab ada artikel kata ia membantu bakar lemak. Rasanya boleh kuruskah kalau diteruskan?

Perkara Yang Jelas

Pertama sekali, dalam perjalanan untuk menjadi lebih kurus, apa yang perlu dilakukan adalah melihat apa yang kita telah makan. Bukannya, apa yang kita tidak lagi makan! Cuba buat satu log pemakanan untuk satu hari. Kemudian, nilai sendiri apa yang anda makan pada malam hari tersebut.

Kalau log anda berisi makanan-makanan segera, makanan berminyak, berkuah, tinggi dengan santan, semua goreng-goreng, masin-masin, atau manis-manis, itu yang anda perlu ubah dahulu! Ini yang paling jelas sekali mengganggu proses kurus anda, iaitu pemakanan yang di luar kawalan.

Obses Dengan Bakar Lemak

Saya yakin semua pernah jumpa dengan individu yang selalu tuturkan kata-kata popular ini:

Serious, kali ini aku nak kurus betul-betul! Esok akan start diet.

Mustahil anda tidak jumpa dengan jenis begini. Kalau masih belum jumpa, andalah orangnya!

Diet, diet, dan diet. Ada apa dengan diet, sebenarnya? Mungkin mula diet sahaja akan ada magic yang menjadikan mereka kurus. Lawaknya, yang selalu kata begini, 6 tahun kemudian pun masih sama bentuk badan (mungkin jadi lebih gemuk).

Jarang pula saya dengan wanita yang kata:

Esok, aku nak pergi ke gym untuk bina muscle sikit. Baru cun…

Memang jarang sekali, tetapi syukur masih ada. Bukan cun sahaja yang dikejar, kerana pembinaan otot akan meningkatkan metabolisme waktu rehat sekali gus menjadikan badan anda lebih efektif dalam pembakaran lemak.

Jangan risau tentang wanita kelihatan seperti lelaki jika pergi ke gym. Kemungkinan besar, anda tidak akan menghampiri sedikit pun dengan bentuk lelaki kerana perbezaan fisiologi. Yang menjadikan lelaki besar dan sado adalah hormonnya yang berbeza dan jumlah makanan mereka ambil (kadang-kadang mencecah 5-7 ribu kcal sehari).

Tidak Makan Dengan Cukup

Inilah masalah yang timbul apabila wanita berdiet. Mereka makan macam nak bagi semut makan. Kadang-kadang terlalu sedikit! Tetapi, badan masih tidak kurus-kurus. Mengapa? Badan mereka sudah mula adapt dengan pemakanan mereka. Senaman pula tidak dilakukan, macam mana nak tingkatkan metabolisme badan?

Kebanyakan wanita kekurangan pengambilan protein kerana fikir ianya hanya untuk ahli bina badan. Sedangkan, pengambilan protein sangat penting untuk pembaikpulihan sel-sel badan dan pengekalan jisim otot. Mereka yang mengambil banyak protein juga mampu meningkatkan kadar pembakaran lemak! Anda kena belajar makan banyak untuk bakar lemak dan ini adalah hakikat.

Bunyi macam berlawanan dengan hukum, untuk kurus kena makan banyak, tetapi nak buat macam mana kalau itulah yang sebenarnya anda perlu lakukan. Anda perlukan senaman dan anda perlukan pemakanan yang betul. Tiada sebarang jalan pintas untuk kurus, tetapi jalan yang terang telah lama tersuluh untuk anda. Yang tinggal adalah untuk dilalui atau diabaikan.

Aiman Radzi

Berasal dari seorang yang bersaiz kecil dan pemalu, kini menjadi lebih kuat dan berani selepas bergiat aktif dalam dunia kecergasan. Aiman Radzi merupakan seorang pelajar Fisioterapi dan peminat sukan bina badan serta angkat berat. Beliau turut mempunyai sijil sebagai NASC Fitness Instructor dan sering terlibat dengan program kecergasan untuk orang awam. Beliau juga merupakan pengamal urutan sukan.

Bagi Aiman Radzi, bersenam bukan sekadar untuk menguatkan fizikal, tetapi turut untuk membina ketahanan mental. Minatnya dalam ilmu senaman dan rehabilitasi menjadikan beliau seorang yang bermotivasi tinggi ketika berlatih dan cekap dalam penstrukturan sistem latihan.

Facebook Twitter YouTube