4 Diet Gila Yang Anda Tidak Ketahui

Aiman Radzi - 4 Diet Gila Yang Anda Tidak Ketahui

Perkataan diet berasal dari perkataan Greek ‘diaita’ yang membawa maksud cara hidup. Dewasa ini ramai dalam kalangan kita yang mulai menyedari kepentingan menjalani gaya hidup sihat. Salah satu cara yang sering kali menjadi amalan kita ialah berdiet. Seperti yang kita sudah sedia maklum, diet yang baik ialah dengan pemakanan seimbang, melakukan senaman secara berkala di samping pengambilan air yang mencukupi. Tetapi tahukah anda bahawa terdapat pelbagai jenis diet yang tidak masuk akal menjadi ikutan golongan tertentu sejak dari dahulu lagi? Mari kita lihat.

Kursus Kecergasan 2024

FLETCHERIZING

Diet yang diperkenalkan oleh Horace Fletcher ini mulai menjadi trend pada awal abad ke-20. Beliau sendiri berjaya menurunkan berat badan sebanyak 20 kg setelah mengamalkan diet ini. Kaedah diet ini dilakukan dengan mengunyah makanan sebanyak lebih 100 kali.  Kemudian, dongakkan kepala dan biarkan makanan yang sudah lumat mengalir perlahan-lahan ke dalam saluran makanan. Sisa makanan yang masih tertinggal di dalam mulut akan diludahkan. Beliau percaya bahawa kita akan menyerap vitamin dan nutrien sebanyak dua kali ganda dengan cara ini. Selain itu, beliau juga menggalakkan pengamalnya mengunyah cecair.

BREATHARIANISM

Kaedah diet ini diamalkan dengan tidak memakan apa-apa langsung melainkan bernafas sahaja. Para pengamal diet ini percaya bahawa mereka mendapat tenaga daripada cahaya matahari, iaitu ‘sumber segala kehidupan’ yang dipanggil ‘Prana’. Oleh itu, mereka tidak memerlukan makanan. Institusi Breatharian Amerika Syarikat mempromosikan diet ini dan menawarkan bengkel dengan harga deposit sebanyak 10,000 USD. Kaedah diet yang berbahaya ini sudah pasti akan menyebabkan kebuluran, dehidrasi dan akhirnya kematian.

SLEEPING BEAUTY DIET

Prinsip di sebalik diet ini cukup mudah, “Selagi anda masih tidur, anda tidak akan makan.” Jadi, pengamal diet ini akan cuba tidur selama yang mungkin agar dapat menurunkan lebih banyak berat badan. Kebiasaannya, mereka akan mengambil ubat sedatif atau ubat tidur untuk membantu mereka tidur lebih lama. Kesan sampingan daripada diet ini termasuklah sakit kepala, halusinasi, ‘mood swings’, kehilangan imbangan badan, masalah pertuturan dan daya kognitif, serta gangguan tidur.

TAPEWORM DIET

Diet ini sangat ekstrem. Pengamal akan memakan sejenis sista atau pil yang mengandungi telur cacing kerawit dan membiarkan cacing tersebut membesar dan melekat di dalam usus. Kemudian, cacing tersebut akan menyerap segala nutrien yang dimakan. Apabila sudah cukup masa, cacing tersebut akan dikeluarkan melalui najis. Kaedah ini dijamin boleh menurunkan sebanyak 1 kg dalam masa seminggu. Walaubagaimanapun, diet ini tiada bezanya dengan jangkitan cacing. Pengamal tersebut akan mengalami keletihan, cirit birit, sakit pada abdomen, rasa mual, muntah-muntah, dan demam. Lebih teruk lagi, jika cacing tersebut melekat pada tisu organ-organ lain, kesannya akan menjadi lebih parah dan boleh membawa maut.

Jadi, diet yang  manakah anda mahu cuba? Lebih baik jangan dicuba langsung! Terdapat banyak lagi cara lain yang boleh dilakukan untuk menurunkan berat badan. Diet sememangnya amalan yang sihat sekiranya dilakukan dengan cara yang betul. Sebaik-baiknya amalan diet ini dilakukan secara sederhana dengan mengutamakan keseimbangan makanan dan melakukan senaman sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Cara ini bukan sahaja meningkatkan kecergasan tubuh, malahan mencerdaskan minda.

Entri: Tini Lorna

Aiman Radzi

Aiman Radzi

Penggemar sukan melibatkan kekuatan fizikal, Aiman Radzi kini kembali lagi untuk berkongsi perjalanan dan pendapatnya tentang latihan dengan pembaca semua!

Facebook 

1 thought on “4 Diet Gila Yang Anda Tidak Ketahui

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Share This
error: