Ajak Isteri Anda Ke Gym

Aiman Radzi - Ajak Isteri Anda Ke Gym

Isteri adalah permaisuri rumah tangga kita. Merekalah yang banyak menguruskan hal-hal rumah tangga, daripada menjaga anak, membasuh pakaian, memasak, melipat kain, dan macam-macam lagi. Sebelum kita masuk berkaitan dunia kecergasan, teringin saya ingatkan para suami di luar sana, sudahkah anda mengucapkan kata penghargaan kepada isteri anda hari ini?

Kesihatan keluarga sangat penting untuk kebahagiaan bersama. Jadi, ada yang mengajak isteri dan seluruh keluarga pergi ke taman-taman awam untuk berjogging di hujung minggu. Ini adalah salah satu inisiatif yang sangat bagus! Bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan antara ahli keluarga, kecergasan juga dapat dikecapi.

Tetapi, kita bukan bercakap tentang aktiviti hujung minggu yang boleh dikira sebagai aktiviti rekreasi sahaja. Hari ini, kita bercakap tentang latihan di gym, di mana anda juga patut mengajak isteri dan anak-anak turut bersama berlatih mengangkat beban.

Kursus Kecergasan 2024

Kegemaran Isteri

Ramai yang mahukan isteri mereka berbadan lebih baik (kurus, ramping, dan yang seumpama dengannya). Mungkin bukan para suami sahaja berkata begitu, malah si isteri sendiri berasa mereka patut lakukan sesuatu untuk menjadi lebih cantik. Biasanya, mereka akan berganjak kepada beberapa solusi, seperti; berjogging, pusat rawatan kurus, dan sejenis diet yang bermula dengan huruf “A”.

Kalau anda (para suami) sudah mula atau mungkin dah lama pergi ke gym, anda memang patut ajak isteri anda untuk pergi sama-sama. Yakinkan mereka untuk pergi ke gym, kerana:

  1. Mengangkat beban akan bantu mereka membina otot.
  2. Otot yang banyak bermaksud metabolisme badan meningkat.
  3. Metabolisme tinggi membawa kepada penurunan berat badan yang mudah.
  4. Otot banyak dan rendah lemak memberikan penampilan seksi untuk tantapan suami.
  5. Kalau anda nakkan bentuk “toned”, anda kena berotot!

Wanita Berotot? Gelinya!

Kenapalah anda nak geli dengan wanita berotot, sedangkan dalam badan mereka (dan anda juga) memang sudah ada otot! Kalau anda kata geli tengok wanita bina badan yang besar-besar, itu adalah sebab mereka menggunakan bahan-bahan yang hanya digunakan untuk atlit bina badan (dan itu adalah impian mereka). Tanya diri anda, adakah anda atlit bina badan? Jika bukan, janganlah risau kerana anda tidak akan nampak seperti mereka.

Lagi, wanita takut jika angkat beban, akan nampak seperti lelaki. Macam saya kata tadi, bukan mudah untuk wanita membina otot seperti lelaki. Hatta, lelaki sendiri kena usaha sekeras-kerasnya untuk bina otot, inikan pula wanita. Yang membezakan usaha kita dalah profil hormon yang berlainan, di mana lelaki memiliki hormon bina badan secara semula jadi. Wanita kurang dengan hormon ini.

Tengok Artis Dan Model

Kalau anda meminati artis-artis berbadan lawa dan ingin menjadi seperti mereka, saya boleh kata kebanyakan artis tersebut tidak berjogging semata-mata. Sebaliknya, mereka turut mengangkat beban di gym dan melakukan latihan-latihan lasak yang lain. Kalau anda nakkan seperti mereka, sudah pasti anda juga kena berusaha seperti mereka.

Berjogging sahaja dan berlari di atas treadmill tidak akan memberikan bentuk badan yang anda idamkan. Mungkin anda boleh turunkan berat badan, tapi ini termasuk berat otot sekali. Dengan kata lain, kalau sebelum ini anda gemuk dan mempunyai punggung rata, selepas latihan kardio sahaja, anda mungkin boleh kurus, tapi masih berpunggung rata. Tadi, anda cakap nakkan badan menawan untuk suami? Cuba tanya, dia suka yang rata ataupun yang berlenggok-lenggok?

Mula Pergi Ke Gym Dengan Suami

Berlatih di gym tidak memerlukan masa yang lama. Cukup dengan latihan 1 jam selama 3 kali seminggu sahaja (bagi mereka yang sibuk dengan hal rumah). Bukan semua orang ada masa terluang, saya faham. Tetapi, jika and serius untuk mengubah kehidupan, anda akan cari masa, bukan cari alasan.

Lagipun, pasangkan juga niat untuk berlatih supaya anda menjadi lebih sihat. Bukan sekadar untuk memiliki badan yang cantik sahaja, kerana latihan angkat beban sangat bagus untuk kesihatan sendi, otot, jantung, dan keseimbangan hormon. Lagi-lagi para wanita yang ramainya mendapat kondisi osteoporosis (tulang rapuh) apabila lanjut usia. Latihan beban mungkin sekali boleh jadi pencegah unggul dan juga ubat kepada kondisi tersebut.

Aiman Radzi

Aiman Radzi

Penggemar sukan melibatkan kekuatan fizikal, Aiman Radzi kini kembali lagi untuk berkongsi perjalanan dan pendapatnya tentang latihan dengan pembaca semua!

Facebook 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Share This
error: