Angkat Berat Dan Kehidupan May02

Kongsi

Angkat Berat Dan Kehidupan

Jangan ingat kita pergi berlatih di gym, semata-mata untuk mendapatkan tubuh fizikal yang lebih baik dan untuk tujuan kesihatan. Malah, jika dikaji dengan betul-betul, golongan yang datang ke gym untuk sihatkan tubuh badan sebenarnya adalah minoriti sahaja. Yang lain, akan datang untuk memiliki badan mantap untuk tujuan-tujuan tertentu.

Itu adalah hak masing-masing. Meskipun anda buat bukan untuk kesihatan, kelebihan-kelebihan yang datang daripada latihan di gym adalah tidak disangkal lagi. Sebelum saya mula menceburi bidang kecergasan dan kesihatan, saya adalah seorang yang kurus dan agak lemah. Pemalu dengan masyarakat dan kurang keyakinan diri. Kemudian, saya mengenali dunia besi dan mula bergiat dalam sukan-sukan kekuatan. Percaya kata saya, sesiapa sahaja yang konsisten dan cekal dengan fitness akan setuju apabila saya kata, kecergasan mengubah diri mereka ke arah lebih cemerlang!

Kursus Kecergasan 2017

Tahan Dengan Cabaran Dan Dugaan

Angkat berat bermaksud anda mengerah badan anda untuk berkerja dengan bebanan-bebanan yang orang biasa hanya mampu geleng kepala tengok. Ya, bukan semua orang boleh angkat berat-berat, tetapi dengan masa dan latihan, anda boleh angkat beban yang dulu anda sangka hanya angan-angan. Kenapa? Sebab, anda berusaha dan melawan penat-lelah serta keletihan untuk mencapai tahap tersebut.

Dalam hidup, bukan mudah untuk mencapai sesuatu. Anda kena usaha sedaya upaya untuk mencapai sebarang matlamat dan kejayaan. Untuk membina otot, menjadi kuat, dan membakar lemak, ia menggunakan prinsip yang sama. Semuanya mengambil masa, tetapi jika anda mampu bertahan, anda akan berasa puas hati kerana pencapaian anda adalah berbaloi dengan usaha.

Dugaan dalam hidup semestinya berat. Dunia besi mengajar anda untuk berdiri semula apabila anda jatuh ditimpa dengan cabaran yang begitu hebat sekali. Lihat orang yang berjaya dalam dunia, mana ada yang tidak pernah jatuh! Semuanya berjaya kerana mereka mampu berdiri tegak selepas beratus-ratus kali tersungkur ke muka kegagalan. Tapi, kegagalan hanyalah cikgu yang mengajar kita untuk mencari jalan ke arah kejayaan.

Lebih Berdikari Dan Berwawasan Besar

Siapa yang sudah terjerat dalam dunia besi pasti akan tahu perasaan “ingin lebih lagi”, “belum cukup besar”, dan “kena kuat lagi”. Dulu, mungkin kita kata cukup untuk mencapai 60kg berat badan sahaja, atau cukup dapat squat 100kg. Tetapi, selepas mencapai sasaran tersebut, tak mungkin anda mahu berhenti di situ sahaja? Kita yang meminati besi ada satu masalah, iaitu kita sentiasa tamakkan pencapaian dan cabaran baru!

Saya sendiri memang ada masalah ini. Dulu, saya kata cukup naik berat badan sampai 60kg dan saya akan kekalkan di situ. Apabila saya capai 60kg, saya rasa saya mahu cuba lebih lagi. Kemudian, setelah mencapai 65kg, saya rasa 60kg dahulu kecik, dan 65kg masih tidak cukup. Maka saya ingin besar lagi. Begitu juga dengan kekuatan, dulu rasa deadlift 180kg sudah cukup berat, tetapi sekarang saya mengejar 240kg, dan saya yakin selepas mencapai sasaran tersebut, saya akan mahu lebih lagi.

Sama dengan kehidupan. Dunia bina badan dan kekuatan mengajar anda untuk berwawasan besar dan berusaha untuk mencapai wawasan tersebut. Jangan sekadar berangan sahaja untuk menjadi kaya, atau memiliki rumah besar, atau mungkin menjadi insan yang lebih baik yang gemar eorgi ke masjid. Lakukan sesuatu dan tekun dalam usaha tersebut supaya anda dapat merealisasikan impian anda!

Aiman Radzi - Angkat Berat Dan Kehidupan

Lebih Rendah Diri Dan Mesra

Kalau anda berlatih untuk diri anda sendiri dan bukan untuk memikat hati orang lain, anda akan berasa seperti anda juga mahu tolong orang lain menjadi versi mereka yang lebih baik. Maksud saya, perasaan berkongsi ilmu dan membantu orang lain mencapai sesuatu melalui pengalaman kita adalah satu perasaan yang sukar digambarkan. Seronok sebenarnya berkongsi apa yang kita tahu dan berbincang dengan ahli-ahli lain untuk mendapatkan sebarang penyelesaian.

Dunia besi mengajar anda untuk merendahkan diri dan ego terhadap orang lain. Biasanya, yang membongkak adalah yang belum mencapai apa-apa dan yang sudah berjaya besar pula yang menunduk-nunduk dengan malu. Itu yang kita mahu, iaitu mengikut resmi padi, semakin berisi semakin tunduk. Jangan kedekutkan ilmu, dan jangan pandang rendah pada yang belum berjaya. Sama-sama membantu mencapai matlamat kehidupan. Lagipun, apa yang kita dapat bukanlah milik kita 100%, bukan?

Hanyalah Perkongsian

Entri kali ini bertujuan untuk berkongsi perasaan saya dan pengalaman atau input yang saya terima sepanjang latihan saya. Bukan setiap kali kita perlu berbincang tentang bina badan, bakar lemak, cara untuk tingkatkan kekuatan, tip-tip untuk mempercepatkan metabolisme badan, tetapi kita ada topik yang lebih besar iaitu berkaitan kehidupan kita sekarang dan masa yang akan datang.

Aiman Radzi

Berasal dari seorang yang bersaiz kecil dan pemalu, kini menjadi lebih kuat dan berani selepas bergiat aktif dalam dunia kecergasan. Aiman Radzi merupakan seorang pelajar Fisioterapi dan peminat sukan bina badan serta angkat berat. Beliau turut mempunyai sijil sebagai NASC Fitness Instructor dan sering terlibat dengan program kecergasan untuk orang awam. Beliau juga merupakan pengamal urutan sukan.

Bagi Aiman Radzi, bersenam bukan sekadar untuk menguatkan fizikal, tetapi turut untuk membina ketahanan mental. Minatnya dalam ilmu senaman dan rehabilitasi menjadikan beliau seorang yang bermotivasi tinggi ketika berlatih dan cekap dalam penstrukturan sistem latihan.

Facebook Twitter YouTube