Angkat Berat Dan Sakit Sendi Jun16

Kongsi

Angkat Berat Dan Sakit Sendi

Aiman Radzi - Angkat Berat Dan Sakit Sendi

Abang-abang sado di gym, tak lari daripada latihan-latihan yang hardcore, penuh dengan hormon testosteron untuk tingkatkan tumbesaran otot! Setengah abang sado, kita tengok guna beban yang berat-berat. Dahsyat, sambil terjerit-jerit dengan kawan “Come on! One more!“. Bagus, mungkin ia boleh berikan semangat kepada gymmers yang lain (ataupun menjengkelkan?).

Masalahnya, kalau selalu sangat hardcore, dan maksud saya di sini adalah berlatih berat-berat (meskipun dengan form yang betul), tanpa rehat ataupun sebarang rehabilitasi, anda boleh merisikokan sakit-sakit sendi. Yang paling mudah sakit adalah lutut, siku, bahu, dan pinggang. Sebab itu, anda kena utamakan rehat dan rehabilitasi juga. Ingat, latihan bukannya untuk sebulan dua, tetapi untuk sepanjang hidup.

Kursus Kecergasan 2017

Sendi Semakin Mampat

Ramai daripada kita, termasuk saya, bertanggapan yang latihan berat sebenarnya lebih mudah daripada senaman-senaman ataupun usaha rehabilitasi. Paling mudah sekali adalah melakukan regangan secara konsisten, tetapi perasaan malas mengalahi semua. Angkat 200kg lebih senang daripada membuat rutin regangan, tak tahu kenapa. Padahnya, otot-otot anda pasti akan menjadi ketat, yang seterusnya akan bawa kepada kesakitan lain.

Apabila anda main berat-berat sampai 2-3x ganda berat badan, sendi anda akan terkena tempias. Sebab itu, latihan kekuatan agak tinggi risiko (bagi yang berlatih untuk bertanding). Saya sendiri mengakui latihan bina badan yang memfokuskan penggunaan beban sederhana dan latihan metabolik adalah lebih mesra untuk sendi dan berkesan untuk bina otot. Tetapi, itulah sukan kekuatan, anda kena berlatih untuk jadi lebih kuat. Cuma, ramai terlupa bahagian rehabilitasi diri.

Apa Yang Anda Boleh Buat

Pertama sekali, anda kena tahu apa yang tidak kena dengan diri anda. Bahagian manakah yang ketat, dan bahagian mana pula yang lemah. Laburkan sedikit wang untuk pergi dapatkan bantuan daripada ahli professional untuk menilai diri anda. Kemudian, laburkan juga masa untuk memperbaiki diri anda. Sememangnya, ego diri akan menyuruh anda untuk teruskan latihan berat. Manakan tidak, agak bosan latihan rehabilitasi ini. Tetapi, kalau anda ingin jadi lebih kuat pada masa hadapan, pengorbanan hendaklah dilakukan sekarang.

Kemudian, akan kena ingat untuk amalkan regangan selalu. Regangan yang dimaksudkan bukanlah yang dilakukan sebelum latihan. Malah, bukan juga regangan-regangan 10-20 saat, semudah begitu. Tidak, luangkan lebih masa sikit untuk regangan. Ambil masa tiap hari dalam 10-20 minit untuk melakukan regangan-regangan seluruh badan.

Apa lagi yang anda kena fokuskan? Mobiliti, fleksibiliti, dan juga kekuatan otot-otot sinergis yang lain. Sebagai contoh, ramai sakit bahu sebab otot rotator cuffs mereka sanagt lemah berbanding otot-otot besar yang lain pada bahu. Sama pula dengan pinggang, di mana otot hip flexor mereka lebih kuat berbanding otot hip extensor. Anda boleh Google! cara-cara meregangkan otot-otot tersebut.

Kalau boleh, anda kena dapatkan urutan-urutan untuk merehatkan otot, sekurang-kurangnya sebulan sekali. Antara urutan yang bagus adalah seperti urutan sukan. Tetapi, apa-apa sahaja urutan yang merehatkan otot masih boleh diterima. Tujuannya, adalah untuk meregangkan otot-otot yang letih berkerja. Ini adalah sebahagian daripada latihan anda, dan juga pelaburan untuk kesihatan.

Terakhir sekali, jagalah pemakanan, jagalah tidur, dan jagalah hubungan dengan orang lain. Maksud saya, jangan sampai jadikan dunia gym satu-satunya dunia anda. Melainkan kerjaya anda dan kehidupan keluarga anda bergantung pada anda untuk memenagi pertandingan-pertandingan serta pada tubuh badan anda yang mantap, anda tidak perlu mengetepikan rakan-rakan selalu hanya untuk menjadi kuat sedikit daripada abang-abang sado yang lain. Dapatkan rehat untuk badan anda, itu yang terpenting. Keluar dengan kawan-kawan, jumpa ahli keluarga, jangan terlepas kenduri-kenduri saudara-mara.

Aiman Radzi

Berasal dari seorang yang bersaiz kecil dan pemalu, kini menjadi lebih kuat dan berani selepas bergiat aktif dalam dunia kecergasan. Aiman Radzi merupakan seorang pelajar Fisioterapi dan peminat sukan bina badan serta angkat berat. Beliau turut mempunyai sijil sebagai NASC Fitness Instructor dan sering terlibat dengan program kecergasan untuk orang awam. Beliau juga merupakan pengamal urutan sukan.

Bagi Aiman Radzi, bersenam bukan sekadar untuk menguatkan fizikal, tetapi turut untuk membina ketahanan mental. Minatnya dalam ilmu senaman dan rehabilitasi menjadikan beliau seorang yang bermotivasi tinggi ketika berlatih dan cekap dalam penstrukturan sistem latihan.

Facebook Twitter YouTube