Apakah Motivasi Anda?

Aiman Radzi - Apakah Motivasi Anda

Hari ini adalah hari ketiga sejak saya mula kembali berlatih. Sewaktu hendak mula semula, perasaan malas dan rasa tak bersemangatnya, tak terucap dengan kata-kata. Tetapi, saya cuba paksakan diri juga untuk pergi ke gym lama saya di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, dan daftarkan diri untuk sebulan dahulu (saya sedang berpraktikal di sini).

Apa kebaikan yang saya dapat bermula kembali latihan? Kenapa dahulu saya berhenti berlatih? Apa yang mendorong saya untuk berlatih lagi?

Kursus Kecergasan 2024

Sibuk Berkerja Dan Belajar

Dahulunya, saya hanya fokus pada pembelajaran sahaja. Saya tak buat sebarang kerja, kalau ada pun, penulisan ditulis suka-suka sahaja. Kemudian, pintu peluang terbuka untuk saya berkongsi info sambil menjana sedikit wang saku. Lama-kelamaan, pintu semakin terbuka luas sampaikan masa untuk berlatih memang tiada lagi.

Dahulu, saya pernah berkata, kenapa pula kita perlu berhenti berlatih meskipun kita berkerja? Sebenarnya, ada sahaja masa untuk ke gym, mahu atau tidak sahaja. Tak lama kemudian, semua apa yang saya kata terkena pada batang hidung sendiri. Sekarang, baru saya paham kenapa orang sukar untuk ke gym.

Masa Hadapan

Bidang yang saya ceburi berkait rapat dengan dunia kecergasan. Semestinya, untuk menjadi mahir dalam bidang tersebut, anda kenalah membasahkan kaki anda dahulu. Mana nak tahu air cetek atau dalam kalau anda tak cuba pergi lihat sendiri? Sama dengan bidang ini, tulis banyak mana tapi kalau tak dipraktiskan, apa guna?

Kebanyakan apa yang saya tulis adalah daripada pengalaman dan pendapat saya juga. Jika saya tidak sambung berlatih, manakan boleh saya nak menulis lagi sebabnya pengalaman sudah terhenti saat saya berhenti berlatih. Duduk depan komputer sahaja memang mudah, tetapi ada hadnya. Saya kena juga “turun padang” dan luaskan lagi pengalaman.

Imej Diri

Beberapa event yang saya pergi, ada beberapa individu yang mengenali saya. Katanya, mereka sering follow penulisan saya di laman sosial (seperti blog ini). Oleh itu, saya ingin berterima kasih kepada semua yang setia bersama kami di Strength Sifoo!

Cumanya, keadaan diri saya semasa mereka berjumpa saya bukanlah kondisi terbaik saya. Jujurnya, saya berasa insecure sebabnya takut persepsi mereka terhadap saya terlalu berbeza (daripada hanya mengenali di laman sosial sampai berjumpa depan-depan). Jadi, sebagai inisiatif diri, saya perlulah teruskan berlatih untuk memaparkan imej yang baik sebagai seorang penggemar kecergasan dan kekuatan.

Angan-Angan Besar

Saya kira, diri saya ini seorang individu yang bercita-cita besar. Sudah pasti, untuk mencapai sebagai matlamat yang besar memerlukan usaha yang setimpal dengannya juga. Mana boleh kita goyang kaki sahaja dan harap nasib menyebelahi kita tanpa sebarang usaha? Berpegang dengan prinsip “kalau mahu, kena buat”, saya sentiasa berusaha untuk mencapai sebarang matlamat yang saya jadikan prioriti.

Apa yang saya nak sampaikan, kita semua ada matlamat masing-masing. Tetapi, sekuat mana usaha kita untuk mencapai matlamat tersebut? Apakah motivasi anda untuk mencapai kejayaan dalam hidup anda? Lebih menarik lagi, apakah matlamat anda?

Aiman Radzi

Aiman Radzi

Penggemar sukan melibatkan kekuatan fizikal, Aiman Radzi kini kembali lagi untuk berkongsi perjalanan dan pendapatnya tentang latihan dengan pembaca semua!

Facebook 

2 thoughts on “Apakah Motivasi Anda?

  1. Salam bro…situasi saya sekarang adalah seorang student…asrama penuh bagi saya workout tak ada masalah sebab saya pakai dumbbell ataupun bebanan badan sahaja tpi masalahnya di sini saya kurang asupan protein kerana..yeah saya kan pelajar masi jdi nda duit utk beli mkanan yg tinggi protein..jdi saya mkn mkanan yng Disediakan di asrama ja …persoalan ya boleh ke otot saya membesar walaupun saya kurang asupan protein

    1. keperluan paling minima dan kritikal 0.4g protein/kg. cuba target 0.4-0.6 paling kurang. mcm soalan sama di beberapa entri, guna nama berlainan tapi ip address sama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Share This
error: