Berapa Gelas Air Kena Minum Sehari? Dec31

Kongsi

Berapa Gelas Air Kena Minum Sehari?

Di mana-mana pun, kita pasti ada terbaca atau terdengar ungkapan semacam ini “Minum sekurang-kurangnya 6-8 gelas air kosong setiap hari.” atau “Anda harus meminum 2-3 liter setiap hari”. Tetapi, sejauh manakah kebenarannya? Pada hakikatnya, keperluan air adalah berbeza bagi setiap individu, mengikut usia, jantina, berat badan, aktiviti harian, gaya hidup termasuklah cuaca dan juga iklim.

Kursus Kecergasan 2017

National Academies of Science, Engineering & Medicine mengesyorkan pengambilan cecair sebanyak 2.7 liter setiap hari bagi golongan wanita dan 3.7 liter bagi golongan lelaki. Namun jumlah tersebut bukanlah penanda aras. Seperti yang telah disebutkan tadi, ianya bergantung kepada faktor-faktor tertentu. Lagi pula, pengambilan cecair ini bukan bermaksud pengambilan air kosong semata-mata, tetapi minuman lain seperti teh, kopi atau jus yang diminum pun dikira juga. Bukan itu sahaja, kandungan air yang terdapat di dalam makanan seperti buah-buahan dan sayur-sayuran, lauk yang berkuah, sup dan sebagainya juga termasuk di dalam perkiraan tersebut. Jadi bagaimanakah caranya untuk mengetahui bahawa pengambilan cecair anda sudah cukup atau tidak? Jawapannya senang sahaja, listen to your body. Tidak perlu obses dengan berapa banyak jumlah air yang telah diminum, malah lebih merumitkan lagi, mengira setiap gelas yang telah diminum dan berbagai cara lagi. Permudahkan hidup anda. Apabila terasa dahaga, minum. Tidak perlu memaksa diri untuk melengkapkan rutin 8 gelas sehari.

Walaupun kita memperoleh cecair daripada segala yang kita minum dan makan, sesetengahnya boleh meningkatkan tahap keperluan cecair anda. Sebagai contoh, minuman diuretik seperti kopi dan teh, juga makanan bersodium tinggi seperti coklat, bijirin sarapan, bawang putih, asparagus, makanan bertin atau diproses dan sebagainya.

Oleh yang demikian, kunci utama bagi mengekalkan hidrasi tubuh adalah dengan merasakannya sendiri. Hanya anda yang mengenali tubuh badan anda. Setiap kali terasa dahaga, minumlah air yang secukupnya. Satu lagi cara untuk mengenalpasti samada kandungan cecair di dalam badan anda mencukupi atau tidak, ialah dengan melihat warna air kencing. Warna kuning cair menandakan kandungan cecair dalam badan anda berada di tahap yang optimum. Manakala warna air kencing yang lebih gelap dan agak berbau menunjukkan bahawa tubuh anda masih kekurangan air. Bagaimana pula sekiranya warna air kencing bertukar jernih? Anda mungkin sedang mengalami penghidratan lampau, yang juga dikenali sebagai ‘overhydration’.

Tahukah anda bahawa rasa lapar juga mungkin menandakan bahawa tubuh anda sebenarnya memerlukan air? Hal ini kerana bahagian otak yang memberikan isyarat lapar dan haus adalah sama iaitu, hipotalamus. Oleh itu, sekiranya anda terasa lapar, anda harus pertimbangkan terlebih dahulu. Jika anda sedang mengalami simptom dehidrasi seperti kekeringan kulit dan bibir, nafas yang berbau, sakit kepala, kekejangan otot serta  kelesuan, mungkin anda patut minum dahulu.

Jadi pucuk pangkalnya di sini ialah, anda tidak perlu begitu taksub untuk mencapai jumlah gelas, botol atau liter tertentu untuk mencapai hidrasi tubuh yang sempurna. Cukup sekadar anda fokus kepada keperluan tubuh, dengan mengambil kira faktor-faktor seperti berat badan, cuaca, gaya hidup anda dan sebagainya. Tubuh yang ternyahhidrat memang tidak baik untuk kesihatan, tetapi penghidratan melampau pun membawa mudarat juga.

Rujukan:

  1. http://www.nationalacademies.org/hmd/Reports/2004/Dietary-Reference-Intakes-Water-Potassium-Sodium-Chloride-and-Sulfate.aspx
  2. http://www8.nationalacademies.org/onpinews/newsitem.aspx?RecordID=10925

 

Entri: Tini Lorna Lim

Aiman Radzi

Berasal dari seorang yang bersaiz kecil dan pemalu, kini menjadi lebih kuat dan berani selepas bergiat aktif dalam dunia kecergasan. Aiman Radzi merupakan seorang pelajar Fisioterapi dan peminat sukan bina badan serta angkat berat. Beliau turut mempunyai sijil sebagai NASC Fitness Instructor dan sering terlibat dengan program kecergasan untuk orang awam. Beliau juga merupakan pengamal urutan sukan.

Bagi Aiman Radzi, bersenam bukan sekadar untuk menguatkan fizikal, tetapi turut untuk membina ketahanan mental. Minatnya dalam ilmu senaman dan rehabilitasi menjadikan beliau seorang yang bermotivasi tinggi ketika berlatih dan cekap dalam penstrukturan sistem latihan.

Facebook Twitter YouTube