Kongsi

Diet Paleo: Suatu Perbincangan

Bila berbincang mengenai diet, perkara yang selalu disebut ialah “tak makan nasi” dan “eat clean”. Oleh itu, mungkin elok untuk saya kongsikan sedikit pengetahuan mengenai diet paling clean yang saya tahu iaitu diet Paleo dan masalahnya dari segi praktikal.

Asas diet Paleo

Genetik manusia tidak mengalami perubahan yang ketara sejak zaman dahulu kala iaitu zaman Paleolitik. Maka, untuk kesihatan yang optimum, mungkin elok juga kita ambil sumber makanan yang hanya wujud sebelum zaman manusia mula bercucuk tanam dan menternak. Oleh itu, mungkin kita perlu elakkan dari mengambil susu, kentang, gula, dan juga pelbagai makanan yang diproses. Secara ringkasnya makan seperti orang zaman dahulu kala.

Terdapat pelbagai variasi diet Paleo. Ada yang tak membenarkan makan kekacang, ada juga yang membenarkan mengambil ubi keledek, nasi, susu, coklat gelap dan sedikit supplemen.

Kemungkinan sebenarnya ramai mengamalkan sebahagian prinsip dari diet Paleo apabila ingin mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat. Cuma perlu elakkan makanan yang diproses, makan banyak daging dan sayuran. Mungkin sedikit buah-buahan.

Kebaikan

Kalau semua orang mengamalkan walaupun sebahagian konsep dari diet Paleo, MUNGKIN kurang sedikit masalah kesihatan. Diet Paleo MUNGKIN boleh elakkan masalah seperti diabetes type-II, kerana digalakkan makan sayur, daging, telur, mungkin sedikit buah dan susu penuh krim.

Diet Paleo menekankan supaya mengelakkan makanan rapu yang memerangkap kita dalam kitaran diet yang tak berkesudahan.

Diet Paleo juga menentang ketakutan lemak dan kolesterol yang melampau. Lemak dalam diet boleh membantu untuk kawal hormon supaya emosi lebih stabil, bantu bina otot, dan pelbagai lagi faedah apabila badan berfungsi dengan lebih baik.

Seorang yang obes kemungkinan boleh mendapat faedah jika mengamalkan salah satu variasi dari diet Paleo, sambil kawal pengambilan kalori. Saya sendiri pun ada pinjam sedikit konsep dari diet Paleo. Namun, yang saya inginkan sebenarnya lebih dari sekadar nak ‘kurangkan lemak dalam badan’.

Keburukan

Diet Paleo yang sebenar mungkin tak sesuai untuk sebahagian dari populasi masyarakat terutamanya golongan atlit, atau yang mengamalkan senaman berat seperti strongman, weight lifting, dan calisthenics. Hal ini kerana aktiviti begini perlu lebih banyak karbohidrat, dan mungkin supplemen.

Diet Paleo mungkin bagus untuk orang biasa yang cuma tak mahu jadi obes atau jatuh sakit. Tapi sebenarnya kita nak jadi lebih baik dari ‘sekadar orang biasa’ kan?

Kalau keperluan nutrisi anda tak dapat dipenuhi oleh diet yang diamalkan, anda perlu pertimbangkan semula diet yang anda. Pilihannya ialah samada mahu kekal lemah dan tak bertenaga dengan diet begitu atau diet yang dapat membantu capai matlamat kecergasan anda.

Sebenarnya, ramai orang telah mendapat manfaat dari perkembangan industri makanan. Namun, tak semua perkembangan ini bagus. Tak ada sesiapa pun mahu berkeras nak kata makanan rapu tu bagus untuk kesihatan.

Bagi yang kerap menjalani latihan fizikal yang berat, pengambilan karbohidrat adalah sangat penting. Bahkan supplemen juga mungkin boleh dikatakan perlu. Keperluan seperti ini tidak dapat dipenuhi oleh diet Paleo.

Nasi sebagai salah satu sumber karbohidrat sebenarnya tak menjadi seseorang itu obes. Sebaliknya, bagi saya sendiri ia satu keperluan. Manfaatkan karbohidrat dan lemak dengan bijak. Secara peribadi, saya tak membantah jika anda mahu elakkan makanan rapu dan gula berlebihan. Namun demikian, perkara yang lebih utama untuk anda faham sekiranya ingin kurangkan berat badan ialah konsep kalori defisit.

Rujukan

  1. Dani Shugart, Paleo: The Good, Bad, and the Ugly, https://www.t-nation.com/diet-fat-loss/paleo-the-good-bad-and-the-ugly

 

Hakim AJ

Hakim AJ

Seorang yang suka melakukan pelbagai jenis latihan untuk memperbaiki fungsi tubuh badan termasuk larian, yoga, calisthenics, dan powerlifting. Mempunyai sijil Certified Bodyweight Fitness Instructor dari NASC

Facebook