Gym Di Bawah Umur?

Saya minat untuk membina badan dan menjadi lebih kuat sejak kecil lagi. Maklumlah, dari awal lagi didedahkan dengan adegan-adegan filem lakonan Arnold Schwarzenegger, terutama sekali filem Terminator 2. Saya sering tanya ayah saya jika saya mampu jadi seperti Terminator (impian seorang kanak-kanak). Apa lagi bila menontot filem Predator, Commando, The Last Action Hero, semuanya menarik!

Aiman Radzi - Gym Di Bawah Umur

Ada juga saya mulakan latihan dengan latihan berat badan. Sebenarnya, saya ingin juga pergi ke gym tetapi sering ditegah, samada oleh ibu bapa, daripada penjaga gym, ataupun orang luar yang lain. Tidak mengapa, latihan harus diteruskan. Saya sanggup juga guna dumbbell berwarna merah jambu yang beratnya kurang 1kg.

Pertama kali saya masuk ke gym untuk berlatih adalah ketika berumur 16 tahun, itupun satu hari sahaja. Saya melakukan pelbagai jenis senaman ketika itu, tetapi saya paling ingat melakukan bicep curl seberat 5kg untuk beberapa belas rep. Besoknya, tangan saya tidak boleh lurus selama 2 minggu. Lebih malang lagi, ia adalah minggu peperiksaan. Ini antara yang terjadi ketika tiada sesiapa hendak mengajar saya berlatih. Walaupun begitu, saya betul-betul mula berlatih pada umur 19 tahun.

Cukup tentang saya, sebenarnya yang kita hendak bincangkan adalah tentang pendedahan latihan gym pada mereka yang berada di bawah umur. Adakah individu begini patut diberikan pendedahan sebegitu? Atau, benarkah mereka patut tunggu sehingga mereka dewasa sebelum memulakan sebarang latihan?

Kursus Kecergasan 2024

Mitos Tertua Dunia Kecergasan

Ramai yang tidak membenarkan anak-anak muda bergiat dengan gym kerana risaukan beberapa perkara seperti terbantut dan… hmm, saya gagal ingat alasan-alasan lain. Malah, saya rasa itulah alasan utama mengapa ramai menghalang anak muda berlatih.

Masalah terbantut bukan terletak pada latihan. Ia terletak pada genetik keluarga. Bagaimana anda hendak mengharapkan untuk menjadi setinggi 180cm jika keluarga anda secara puratanya hanya 160cm? Benar, latihan berat boleh memberi kesan pada tumbesaran tetapi kesannya sebenarnya menambahkan lagi tumbesaran, bukannya membantutkan.

Melainkan seorang pemuda itu tercedera dan bahagian tulangnya yang mengandui satu plate istimewa tumbesaran terganggu, mungkin peninggiannya turut terganggu. Ingat, saya kata kalau tercedera. Jika berlatih dalam suasana terkawal, ia tidak mendatangkan sebarang masalah. Pemuda memerlukan latihan fizikal begini, dan inilah sebab-sebabnya!

Sihat Adalah Sihat

Kalau berlatih beban di gym meningkatkan tahap kesihatan untuk individu yang sudah melepasi paras umur, mengapa tidak pada remaja di bawah umur? Apakah perbezaannya antara kedua-dua kelompok ini? Mungkin sebab umur sahaja badan yang muda terus tidak menerima kebaikan berlatih dengan bebanan… saya tidak tahu kenapa ramai yang menentang perkara sebegini.

Baiklah, saya sendiri berlatih deadlift melebihi 200kg, tidak bermakna saya menyuruh adik-adik yang berumur 8-12-15 tahun untuk menggunakan beban yang sama! Tidak sama sekali. Saya berlatih untuk kerjaya dan untuk sukan, mereka tidak perlu melakukan seperti itu. Yang membezakan saya dan orang lain adalah tujuan. Jika anda berlatih untuk sihat sahaja, anda tidak perlu impak sebegitu tinggi seperti latihan-latihan atlit.

Konsep yang sama diterapkan pada anak-anak muda. Mereka boleh jadi lebih sihat dengan latihan bebanan berbanding latihan-latihan lain! Latihan bebanan membina otot, membina integriti tulang, mengekalkan tahap kesihatan jantung, melancarkan peredaran darah, dan macam-macam lagi.

Bukan itu sahaja, apabila seseorang itu sudah mula bijak dengan latihan, mereka juga akan lebih teliti dengan pemakanan. Ini sangat bagus dididik terutama dalam kalangan orang muda. Sekarang, ramai yang melakukan pilihan pemakanan yang lemah, hanya memakan makanan sedap-sedap, berminyak, bergula tinggi. Jika diteruskan, jangan hairan mengapa ramai orang dewasa mula mendapat penyakit tiga serangkai (sakit jantung, darah tinggi, kencing manis).

Kanak-kanak Squat

Kuat Adalah Kuat

Sama juga, kalau orang dewasa boleh jadi sihat dan kuat dengan latihan bebanan, mengapa tidak dengan golongan muda? Pada masa inilah mereka sesuai didedahkan dengan latihan kekuatan untuk meningkatkan ketahanan badan. Pasangkan dalam minda, kuat adalah subjektif. Bagi orang biasa, mereka yang mengangkat 60kg sudah boleh dikira kuat, tetapi tidak bagi atlit.

Setiap orang harus menjadi kuat untuk diri mereka dan menjadi lebih kuat daripada versi mereka sebelum ini. Maksudnya, setiap hari adalah peluang penambahbaikan kepada diri kita. Mengapa kita hendak kekal sama ataupun merudumkan kondisi kita dari sehari ke sehari? Bukankah menjadi “lebih baik” itu adalah lebih baik?

Lagipun, kuat bukan sekadar pada fizikal, tetapi turut berkait dengan kuatkan tahap minda dan imej seseorang. Imej pula bukan sekadar apa yang kita nampak pada luaran, tetapi imej adalah jati diri. Latihan bebanan dan latihan kekuatan membina mental yang kuat dan jati diri yang hebat (jika dilakukan dengan betul dan ikhlas). Apabila anak muda belajar untuk mengambil serius dengan latihan, mereka mampu terapkan prinsip yang sama ke dalam kehidupan seharian.

Langkah Berjaga-jaga

Saya sangat mengesyorkan anak muda bergiat dengan latihan kekuatan atas sebab manfaatnya yang sangat banyak. Meskipun ia mendatangkan banyak kebaikan, risikonya tetap ada. Walaupun begitu, jika suasana terkawal, semuanya baik-baik sahaja. Sebab itu anda perlukan ilmu sebelum memulakan sesuatu.

Satunya, jangan pergi kepada mereka yang menawarkan anda jalan pintas melalui pengambilan bahan-bahan berbahaya seperti steroid. Jika kita hendak bercerita tentang itu, kita perlukan satu atau dua lagi artikel panjang untuk membincangkan hal tersebut. Yang kedua, cari orang yang betul untuk memberikan anda pengajaran. Blog ini sahaja sudah menawarkan anda 1001 info yang berguna, maka manfaatkan.

Dan terakhir, pastikan anda konsisten dengan latihan dan menjaga keselamatan. Jangan tergopoh-gopoh kerana kecergasan bukannya larian pecut, tetapi ia adalah larian marathon. Mereka yang bersabar dan cekal, pasti akan dapat hasilnya nanti. Jangan berlatih seminggu mengharapkan hasil seperti yang berlatih 10 tahun.

Rujukan:

  1. TC Luoma (22 December 2015), 8 Reasons Kids Should Lift Weight, T-Nation, [accessed online] https://www.t-nation.com/opinion/8-reasons-kids-should-lift-weights [accessed on 4 March 2017].
Aiman Radzi

Aiman Radzi

Penggemar sukan melibatkan kekuatan fizikal, Aiman Radzi kini kembali lagi untuk berkongsi perjalanan dan pendapatnya tentang latihan dengan pembaca semua!

Facebook 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Share This
error: