Kaca Mata: MPA Strongman Championship Jun03

Kongsi

Kaca Mata: MPA Strongman Championship

IMG_20170513_101746

Pada 13 Mei yang lalu, satu pertandingan hebat dalam sukan strongman telah berlangsung. Bertempat di Utropolis Marketplace, Shah Alam, acara yang dimaksudkan adalah acara sulung yang dianjurkan MPA (Malaysia Powerlifting Alliance) iaitu Strongman Champiohship. Semestinya, banyak atlit hebat yang bertanding. Saya tidak termasuk dalam atlit-atlit ini, kerana kali ini, saya datang untuk menyokong atlit Mesotropin, Zaki Khan dan juga Arif Khalil.

Ini adalah pertandingan pertama oleh MPA yang berkait dengan sukan strongman. Siapa yang bergiat dalam dunia powerlifting, pasti sudah kenal dengan nama MPA. Jadi, ini adalah sesuatu yang baru! Maka, acaranya juga perlulah gah, dan sudah pasti, saya tidak dikecewakan dengan prestasi serta tenaga daripada acara ini yang turut ditampilkan atlit-atlitnya!

Kursus Kecergasan 2017

Acara Yang Dipertandingkan

Antara acara yang atlit-atlit akan beradu tenaga adalah seperti berikut:

  1. Bus pull
  2. Press medley
  3. Husafell stone carry
  4. Van/car deadlift
  5. Farmer’s frame

Saya tiba lewat sedikit, jadi terlepas acara pertama. Katanya, mereka menarik bus yang cukup besar, dan semua bergelut dengan acara ini. Ruginya saya tidak dapat menyaksikan acara tersebut! Sudah pasti menyeronokkan untuk melihat manusia kuat menarik bas.

Bus Pull

Dalam acara ini, setiap peserta perlu menarik bas untuk beberapa meter yang telah ditetapkan. Mereka akan tarik secara arm-over-arm di mana ia seperti acara tarik tali. Mereka akan berpegang kepada satu tali, dan kaki mereka diberikan satu anchor untuk menahan diri mereka. Setiap peserta berjaya menggerakkan bas tersebut, soalnya, siapakah yang paling laju antara mereka semua?

Bus Pull

Antara tip yang diberikan dalam acara ini adalah:

  1. Turunkan badan seperti hendak half squat
  2. Tolak guna kaki lebih banyak daripada menarik guna tangan
  3. Selepas bergerak, jangan berhenti langsung

Ia seakan-akan anda hendak leg press sambil menarik beban. Pergerakan kaki adalah amat penting dalam gerakan permulaan. Jika anda tiada kuasa kaki, ia akan menyukarkan initial movement bas tersebut. Teknik memainkan peranan besar dalam sukan strongman dan powerlifting.

Press Medley

Apabila disebut medley, ia bermaksud acara tersebut mempunyai dua jenis pergerakan. Dalam hal ini, atlit akan melakukan axle press dahulu dan terus disambung dengan log press. Kedua-dua press ini dilakukan sebanyak 2 rep secara berturut-turut. Berat yang digunakan adalah berbeza-beza mengikut kategori. Oh ya, lupa saya nak nyatakan, pertandingan ini turut mempamerkan strongman daripada kalangan wanita (strongwoman), dan mereka benar-benar kuat!

Arif Khalil - Press Medley

Saya tertarik dengan seorang atlit international yang memulakan acara medley ini bagi kategori Open. Jarang sekali dapat lihat atlit luar beraksi di sini. Bagi kategori tersebut dan kategori bawah 90kg, hanya ada beberapa atlit sahaja yang berjaya melakukan press. Semestinya, atlit Mesotropin berjaya melakukan acara ini dengan baik! Bagi kategori terbuka, Firdaus Jamen berjaya melakukan 2 rep axle press, Zaki Khan pula 1 rep, dan Arif Khalil (kategori U90) berjaya melakukan 2 rep axle press dan 1 rep log press. Fuh, dahsyat sungguh mereka ini!

Husafell Stone Carry

Antara acara yang julung kali dipertandingkan di sini, iaitu membawa husafell stone! Pihak penganjur telah membina sendiri husafell stone yang berbeza-beza saiz, khas ini pertandingan ini. Ramai yang mengalami kesukaran sedikit kerana tidak pernah berlatih menggunakan bahan yang betul, tetapi tidak boleh tidak, mereka perlu juga berikan yang terbaik!

Arif Khalil - Husafell Stone Carry

Di sebalik tabir, sebelum acara bermula, saya melihat ramai melilit pangkal tangan (bahagian forearm) mereka dengan pita-pita tertentu. Zaki Khan memakai sleeve khas untuk angkatan sebegini. Saya teringin untuk mencuba angkat batu tersebut, tetapi masa tidak mengizinkan. Katanya, Zercher squat dapat membantu menguatkan prestasi dalam acara ini.

Van/Car Deadlift

Acara yang saya yakin pasti ditunggu-tunggu oleh semua peserta dan penonton. Saya rasa sayalah yang paling tidak sabar untuk lihat aksi-aksi atlit dalam acara deadlift! Malah, inilah acara yang paling saya suka, dan saya rasa mampu untuk beri prestasi terbaik. Setengah orang sayangkan bench press, saya sayangkan deadlift.

Arif Khalil - Van Deadlift

Bagi kategori terbuka, mereka akan mengangkat lori manakala kategori U90 dan U80, mereka mengangkat kereta kecil, seperti kereta elektrik.  Kedua-duanya mempunyai logo Red Bull, pastinya ia ditaja oleh syarikat tersebut.

Semestinya, lagak yang ditunjukkan amat menyeronokkan! Pada awalnya, peserta kita tidak ada seorang pun yang boleh mengangkat van tersebut. Mungkin atlit international tersebut sahaja yang boleh melakukan angkatan separuh. Kemudian, datanglah Firdaus Jamen! Berjaya melakukan 2 rep angkatan van yang seakan-akan 300kg lebih.

Apa lagi, pengarah program tersebut, Zarol Alfiyan, telah sukarela untuk “menunjukkan contoh” kepada semua orang cara untuk melakukan deadlift dengan sebuah van. Saya rasa, sayalah yang menjerit memberi sokongan begitu kuat sekali! Kalau anda ada di sana, sudah pasti anda juga akan mnejerit kegembiraan. Melihat mereka deadlift sahaja, mengisi kita dengan hormon testosterone mengalahkan booster yang lain.

Ada seorang lagi yang menunjukkan aksi hebat, Arif Khalil! Beliau bertanding dalam kategori U90, dan hanya perlu deadlift kereta kecil. Saya kira, dia bukan sahaja boleh deadlift, malah boleh clean and press kereta tersebut! Kerana, Arif boleh bermain-main lagi dengan mencabar Zarol dan Firdaun bagi deadlift van. Arif adalah satu-satunya peserta daripada kategori lain selain terbuka yang boleh melakukan 5 rep deadlift sebiji van. Betul-betul idola si Arif Khalil, Hulk Malaysia!

Farmer’s Frame

Acara diakhiri dengan farmer’s frame di mana mereka akan mengangkat beban dan bergerak dalam masa terpantas untuk 20m. Semua orang berjaya melakukan acara tersebut, dengan kategori terbuka memegang beban terberat sekali. Ada yang dapat habiskan, dan ada pula yang mampu separuh sahaja. Untuk acara ini, atlit dibenarkan untuk guna wrist strap dan ini membantu sedikit untuk menahan beban dalam tangan.

Zaki Khan - Farmers Frame

Walaupun begitu, di depan mata saya sendiri, ada juga wrist strap yang terputus semasa acara dijalankan! Ini menandakan, mereka turut memerlukan kekuatan genggaman yang tinggi untuk menampung beban, sebab beban yang mereka guna bukan calang-calang beban! Ia tersangatlah berat, dan percaya cakap saya, memang berat.

Ada dua cara latihan yang saya pelajari, samada anda guna beban berat selalu untuk perjalanan pendek, atau angkat ringan tapi bertahan untuk jarak yang jauh dan sangat jauh. Anda turut boleh gunakan dumbbell jika tiada alat untuk berlatih farmers.

Tahniah Diucapkan!

Semua atlit berjaya menawan hati penonton dengan jaya. Saya ingin mengucapkan jutaan tahniah kepada atlit dan juga penganjur kerana berjaya mengadakan program yang sungguh meriah. Walaupun saya tidak menyertai pertandingan ini (dan ada sedikit penyesalan kerana tidak turut serta), saya pulang dengan hati gembira serta puas hati. Tak pernah saya lihat monster-monster kita beraksi dengan begitu hebat sekali!

Superhuman - MPA Strongman Championship

Bagi kategori terbuka, Zaki Khan berjaya menempatkan diri di tempat kedua, manakala atlit Mesotropin seterusnya, Arif Khalil, berjaya memenagi tempat pertama bagi kategori U90. Jika saya masuk, saya akan menyertai kategori U80. Tidak mengapa, lain kali sahaja! Untuk pengetahuan anda juga, dalam bulan pertandingan tersebut, Arif Khalil telah mencipta sejarah dengan memasuki begitu banyak pertandingan dan hampir memenangi kesemuanya. Macam saya kata, sungguh idola!

Semoga sukan strongman terus maju dan berkembang dengan megah. Inilah sukan yang menyatu padukan penggemar kekuatan seluruh dunia. Tiada musuh antara pesaing, hanya sokongan yang kita dengar.

Aiman Radzi

Berasal dari seorang yang bersaiz kecil dan pemalu, kini menjadi lebih kuat dan berani selepas bergiat aktif dalam dunia kecergasan. Aiman Radzi merupakan seorang pelajar Fisioterapi dan peminat sukan bina badan serta angkat berat. Beliau turut mempunyai sijil sebagai NASC Fitness Instructor dan sering terlibat dengan program kecergasan untuk orang awam. Beliau juga merupakan pengamal urutan sukan.

Bagi Aiman Radzi, bersenam bukan sekadar untuk menguatkan fizikal, tetapi turut untuk membina ketahanan mental. Minatnya dalam ilmu senaman dan rehabilitasi menjadikan beliau seorang yang bermotivasi tinggi ketika berlatih dan cekap dalam penstrukturan sistem latihan.

Facebook Twitter YouTube