Kaca Mata: Perak Strongest Man

Kelmarin, baru berlangsung pertandingan strongman pertama di Perak, iaitu Perak Strongest Man, pada tarikh 26 November 2016. Ini merupakan pertandingan kedua saya dalam dunia strongman, dan ia amat berbeza dengan pertandingan di Subang Perdana pada September yang lepas. Saya sangan teruja dengan persembahan prestasi yang ditunjukkan atlit-atlit dalam pertandingan kali ini! Sememangnya menakjubkan dengan kekuatan dan kesungguhan dalam memberikan yang terbaik.

Aiman Radzi - Perak Strongest Man

Kali ini, kita juga mempunyai atlit dari seluruh Malaysia, dan saya juga terkejut dengan kehadiran seorang atlit veteran dari negara Brunei untuk turut bertanding pada hari yang amat menyeronokkan ini. Pg Azizul (atlit Brunei), walaupun sudah berumur mencecah 40an, beliau berjaya mengejutkan semua penonton dan memberikan cabaran hebat pada atlit-atlit muda yang lain!

Untuk pertandingan kali ini, kita ada kita acara yang telah dipertandingkan:

  1. Medley Race
  2. Log Press 80kg AMRAP
  3. Deadlift 190kg AMRAP
  4. Loading Race + Truck Pull

Sememangnya berbeza dengan pertandingan Malaysia’a Strongman Record Day yang lepas kerana kali ini, semua acara mencabar ketahanan setiap atlit untuk menghabiskan setiap acara dalam masa yang terpantas ataupun dengan jumlah ulangan yang terbanyak! Ini bermakna, kekuatan sahaja tidak memadai kerana anda memerlukan tahap kardio yang tinggi.

Persiapan Perak Strongest Man

Pertandingan seperti inilah yang telah mengajar saya akan kekurangan dan kelemahan yang perlu diperbaiki lagi untuk masa hadapan. Kali ini, saya hanya berjaya mendapat tempat ke 10 daripada 14 orang pesaing lain dengan markah hanya 19.5 mata sahaja! Tetapi, pengalaman dan peluang untuk belajar daripada kesilapan amatlah bernilai bagi saya.

Saya datang ke tempat pertandingan di Kamunting, Taiping dengan rasa sangat gemuruh kerana saya tahu, kali ini pengadilannya adalah amat berbeza.  Jika dahulu, kami diberikan mata dengan mengambil kira berat badan juga (bermakna saya sangat mempunyai kelebihan yang sangat tinggi kerana berat badan yang sangat ringan – bawah 70kg ketika bertanding!), hari ini semua atlit diberikan pengadilan yang sama. Maksudnya, saya bertanding setaraf dengan mereka yang berberat badan 120kg dan ke atas!

Kursus Kecergasan 2024

1- Persiapan 2 bulan Sebelum Pertandingan

Jarak antara pertandingan pertama dan yang ini hanyalah 2 bulan. Agak singkat untuk melakukan persiapan yang cukup, tetapi seperti kata-kata salah seorang rakan seperjuangan saya, itu semua hanyalah alasan! Tertawa kecil juga dalam hati, tapi betul juga kerana mungkin saya hanya menggunakan alasan itu untuk menutup hakikat yang saya masih lemah. Jadi, saya perlu berlatih dengan lebih keras lagi untuk menjadi atlit yang baik!

Latihan saya tertumpu pada peningkatan isipadu latihan (ataupun meningkatkan jumlah ulangan dengan sesuatu berat) berbanding daripada fokus kepada kekuatan maksimum. Tujuannya adalah untuk mendapatkan rentak seiring dengan acara pertandingan, iaitu untuk mendapatkan seberapa banyak rep yang boleh dalam beberapa acara. Senaman utama saya sewaktu berlatih:

  1. Flat Bench Press
  2. Barbell Overhead Press
  3. Dumbbell Shoulder Press
  4. Deadlift Touch-n-Go
  5. Rack Pull
  6. Lunges

Aiman - OHP 70kg

Sebelum saya menyertai pertandingan ini, saya risaukan beberapa perkara:

  1. Kekuatan cengkaman
  2. Kebolehan untuk log press 80kg

Siapa yang berlatih dengan saya tahu yang saya mempunyai kuasa cengkaman yang sangatlah lemah! Tambahan dengan tangan yang terlalu mudah untuk koyak, farmer’s walk bukanlah satu acara kegemaran saya. Untuk pengetahuan anda juga, saya tidak pernah berjaya untuk menghabiskan log press 80kg walaupun satu ulangan, semestinya saya akan berasa risau dengan acara yang memerlukan anda untuk melakukan sebanyak ulangan yang boleh (sedangkan saya tak boleh habiskan satu pun).

Latihan saya berkitar dengan modifikasi program latihan 5×5 dan 3×3. Kenaikan berat beban yang digunakan tetap dipentingkan, tetapi penambahan ulangan adalah prioriti.

2- Persediaan Seminggu Sebelum Bertanding

Saya berhenti daripada sebarang latihan gym dan latihan strongman 6 hari sebelum hari bertanding. Latihan terakhir saya adalah di Bangi Avenue, bersama Zaki Khan dan latihan yang dilakukan sebenarnya tiada yang berkait dengan acara yang akan dipertandingkan (walaupun begitu saya telah berjaya yoke walk 220kg untuk 20m dalam masa 45 saat).

Aiman - Latihan Log Press Taiping

Pemakanan saya selama seminggu ini lebih kepada penambahan karbohidrat (dengan harapan saya dapat meningkatkan tangki tenaga nanti) dan saya mula makan dalam kuantiti yang sangat banyak (lebih kepada pasta) untuk dua hari terakhir. Berat saya berada dalam lingkungan 69-70kg sahaja. Pada pagi 26 November, saya mula mengambil oat (makanan rendah GI) sebagai medium untuk memberikan henjutan tenaga secara berkadar sewaktu berlawan nanti.

3- Usaha Tambahan: Fisioterapi

Sebagai usaha terakhir, saya telah menghubungi seorang rakan saya yang merupakan seorang ahli fisioterapi yang sangat handal. Beliau telah bantu saya membuat penilaian terhadap biomekanik pergerakan sendi supaya saya dapat kenal apa kelemahan dan penambahbaikan yang boleh dibuat.

Apa yang beliau dapati adalah:

  1. Serratus anterior sebelah kiri saya lemah
  2. Bahagian kanan erector spinae lebih keras berbanding kiri
  3. Ketidakseimbangan otot punggung

Saya mempunyai ketidakstabilan bahu yang jelas. Postur badan saya juga turut terjejas. Ini berlaku daripada kelemahan serratus anterior dan otot trapezius bahagian bawah yang menyebabkak tulang belikat saya tidak bergerak dan berada pada posisi yang betul!

Sebagai langkah untuk membantu meningkatkan prestasi saya nanti, beliau telah pasangkan rigid tape (seumpama kinesio tape) untuk memperbetulkan postur selepas otot-otot yang lemah ini diaktifkan melalui beberapa teknik tertentu. Rancangan selepas ini, saya rasa harus beri penekanan pada senaman rehab dan juga mendapatkan urutan-urutan bagi meredakan ketegangan otot yang boleh membawa kepada masalah lain.

Medley Race

Acara ini menggabungkan farmer’s walk 100kg x2 untuk 20m dengan tyre flip 250kg untuk 5 ulangan. Dua acara ini dilakukan secara berterusan dalam masa 90 saat. Semakin pantas anda habiskan acara ini, semakin tinggi markah yang anda peroleh. Jika ada yang tidak mampu menghabiskan kedua-dua acara tersebut, maka jarak terjauh dalam farmer’s walk atau ulangan terbanyak untuk tyre flip akan diambil sebagai penentu markah.

Aiman - 100kg x2 Farmers Walk 20m

Kekuatan cengkaman adalah prioriti dalam acara farmer’s walk dan itulah kelemahan saya yang paling lemah sekali! Salah seorang peserta (bernama Wan) baru pertama kali menyertai pertandingan sebegini, dan saya mengajarnya beberapa tip untuk acara ini-tidak sangka dia berjaya mengalahkan saya dengan mata jarak jauh! Pesanan saya untuknya:

  1. Cengkam tempat pemegang tersebut sekuat yang boleh
  2. Genggam dengan cara penuh
  3. Sedaya upaya jangan lepaskan dan langkah kecil-kecil
  4. Jangan menahan nafas tetapi kawal pernafasan
  5. Pandang ke hadapan sewaktu berjalan
  6. Elakkan untuk melakukan shrug sewaktu berjalan
  7. Sapukan kapur pada tangan secara menyeluruh-jangan sikit-sikit

Aiman - 250kg Tyre Flip

Saya pula tercedera dalam acara ini. Tapak tangan saya terkoyak dan saya telah membazir banyak masa mengelap tangan saya yang berpeluh (dan kemudian berdarah). Kesilapan yang saya sering lakukan:

  1. Tidak memotong buang kematu di tangan
  2. Tidak menyuruh kawan mengikut bersama kapur
  3. Tidak menggunakan kapur yang lebih baik

Log Press 80kg AMRAP

AMRAP bermaksud anda lakukan seberapa banyak ulangan yang boleh dalam masa yang telah ditetapkan. 80kg bukanlah satu beban yang berat, tetapi dengan berat badan 10kg di bawah beban ini boleh memberi sedikit kesukaran.

Aiman - 80kg Log Press AMRAP

Log press lebih kepada teknik berbanding kekuatan mentah (jika anda tidak cukup kuat untuk menolak secara strict). Diameter log yang digunakan adalah berukuran antara 6-8 inci sahaja menjadikan bahagian menaikkan log tersebut ke bahagian bahu agak susah.

Rujuk bahagian Log Press dalam entri Malaysia’a Strongman Record Day untuk mengetahui rancangan yang saya telah tubuhkan dulu untuk menambahkan prestasi saya dalam acara ini. Bagi saya, perancangan tersebut berhasil kerana daripada gagal melakukan satu ulangan dalam acara ini, saya berjaya melakukan 3 rep (boleh lebih kalau saya perbaiki teknik henjut) dan saya rasa ia agak mudah!

Deadlift 190kg AMRAP

Aiman - 190kg Deadlift AMRAP

Walaupun saya peserta yang terkecil, saya mampu memberikan mereka cabaran dalam acara ini dengan menghabiskan 9 rep untuk deadlift seberat 190kg! Tiada apa yang istimewa, anda pegang barbell tersebut, dan mula deadlift sebanyak yang boleh dalam 90 saat.

Loading Race + Truck Pull

Bagi saya, inilah acara yang dinanti-nantikan semua orang, daripada kalangan penonton sehinggalah para atlit sendiri. Mana tidaknya, setiap peserta akan berpeluang untuk menduga kudrat mereka dengan menarik lori seberat 8 tan!

Aiman - Loading Race

Loading race dalam pertandingan ini mudah sahaja, anda perlu membawa 4 biji tayar (60kg, 80kg, 90kg, 100kg) sejauh 20m setiap sebiji tayar tersebut. Truck pull pula, pada awalnya perlu ditarik sejauh 20m tetapi hanya tiga peserta sahaja yang dapat menarik melebihi garisan permulaan sehinggalah paling jauh beberapa meter sahaja (tetapi itu sudah cukup untuk menerujakan semua orang di situ).

Aiman - Truck Pull 8 Tan

Kesilapan ramai dalam menarik lori tersebut adalah berada dalam posisi squat yang dalam, walhal mereka yang berjaya menarik mencondongkan badan ke belakang dan berada dalam posisi half squat sahaja! Ia lebih mudah digerakkan berbanding jika anda duduk dalam posisi deep squat. Sebab itu juga, mereka yang half squat di gym mampu menggunakan beban yang jauh lebih berat!

Rumusan

Saya gembira menceritakan tentang pengalaman saya dalam pertandingan ini (sebenarnya banyak lagi yang hendak diceritakan) kerana ia merupakan pengalaman yang sangat bermakna dan mengajar saya apa yang patut saya baiki untuk menjadi lebih baik.

Atlit Perak Strongest Man

Saya juga turut ingin mengucapkan ribuan tahniah kepada semua peserta dan jutaan terima kasih juga kepada pihak penganjur kerana berjaya menjalankan program yang sangat hebat ini! Semoga kita berjumpa lagi dalam acara-acara yang lain.

*Foto dari Profil FB Zailan Lan

Aiman Radzi

Aiman Radzi

Penggemar sukan melibatkan kekuatan fizikal, Aiman Radzi kini kembali lagi untuk berkongsi perjalanan dan pendapatnya tentang latihan dengan pembaca semua!

Facebook 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Share This
error: