Kaca Mata: Strongfit Challenge 2017 Jun21

Kongsi

Kaca Mata: Strongfit Challenge 2017

Aiman Radzi - Kaca Mata Strongfit Challenge 2017

Selepas selesai pertandingan strongman yang hebat di Subang Jaya (baca entri Kaca Mata: MPA Strongman Championship), berlangsung pula satu lagi pertandingan yang cukup-cukup menarik di Taiping! Dengan konsep yang berbeza daripada pertandingan strongman biasa, Strongfit Challenge 2017 menggabungkan acara strongman dan acara Crossfit dalam satu pertandingan.

Kali ini, peserta tidak cukup dicabar dengan tahap kekuatan, mereka turut terpaksa mengerah sepenuh tenaga dan ketahanan untuk melakukan 4-5 jenis acara yang dijalankan secara terus-menerus tanpa henti. Maksud saya, daripada wisel permulaan, anda akan habiskan 4-5 jenis pergerakan dalam masa yang terpantas. Dan, percayalah, mereka semua cukup pantas (dan tercungap-cungap)! Memang dahsyat, saya sendiri takut untuk turut serta.

Untuk pertandingan Strongfit Challenge 2017, Team Superhuman menghantar ramai sedikit atlit untuk menyertai pertandingan tersebut. Semestinya, juara kita turut datang ke Taiping untuk memberikan cabaran hebat pada atlit lain. Atlit tersebut adalah Arif Khalil. Kemudian, diikuti dengan atlit-atlit Superhuman yang lain, seperti Raja, Taqiuddin, Faeez, dan Diane Sera.

Kursus Kecergasan 2017

Dua Kategori

Strongfit Challenge 2017 mempertandingkan dua jenis kategori, iaitu kategori lelaki dan kategori perempuan. Tidak ada sebarang pecahan antara berat badan ataupun ketinggian. Maksudnya, anda kena kuat sekuat-kuatnya untuk mengalahkan atlit-atlit lain dalam kategori anda!

Untuk pengetahuan anda, ada lebih daripada 30 atlit yang bertanding keseluruhan, 20+ orang daripada kalangan lelaki, dan 10+ orang daripada kalangan perempuan. Dan, kita juga ada atlit-atlit daripada luar negara (Brunei Darussalam)! Sebab itulah, saya cukup terlompat-lompat melihat atlit-atlit beraksi. Memang seronok, mungkin lebih seronok menonton dan bersorak daripada menyertai sendiri. Anda kena datang tengok apa-apa sahaja pertandingan strongman jika berkemampuan.

Acara Yang Dipertandingkan

Seperti yang saya katakan, atlit-atlit semua perlu menghabiskan 4-5 jenis pergerakan sekali jalan. Pertandingan dimulakan dengan kategori perempuan dahulu, kemudian diikuti dengan kategori lelaki. Markah tidak dikira mengikut siapa cepat dalam satu-satu acara, tetapi siapa yang paling cepat menghabiskan kesemua acara sekali. Sebab itu dikatakan ini menggabungkan konsep strongman dan konsep Crossfit.

Faeez - Tyre Flip

Kategori perempuan:

  1. Kettlebell carry
  2. Tyre drag
  3. Tyre flip
  4. Sprint

Kategori lelaki:

  1. Kettlebell carry
  2. Yoke walk
  3. Tyre flip
  4. Sledgehammer
  5. Sprint

Disebabkan ia tidak mengukur kepada tahap kekuatan maksima, tetapi pada ketahanan, berbadan besar sahaja tidak cukup, anda juga perlu lincah dan cepat bertindak serta mempunyai tahap ketahanan yang luar biasa! Hampir kesemua atlit (termasuklah juara-juara) terlantar sejurus habis kesemua acara tersebut. Ada yang ambil masa lebih 20-30 minit untuk duduk dan bangun semula. Memang penat, saya sendiri tengok pun letih!

Kettlebell Carry

Anda biasa dengan farmer’s walk, jadi kettlebell carry adalah benda yang sama. Cuma, daripada anda guna alat untuk farmer, anda guna kettlebell sahaja. Bezanya pada grip, yakni kettlebell mempunyai tempat pegang yang lebih besar berbanding farmers. Tengok kepada alat juga, ada kettlebell yang licin. Jadinya, anda wajib mempunyai kekuatan genggaman yang bagus dan kestabilan yang tinggi melalui kawalan core semasa anda berlari bersama beban nanti.

Latihan yang anda boleh buat, sudah pasti adalah farmer’s walk, dumbbell carry, dan apa-apa yang menggunakan konsep yang sama (anda pegang beban dan berjalan). Kalau anda boleh guna fat grip juga amat berbaloi. Ia akan mempercepatkan lagi penguatan genggaman anda.

Tyre Drag

Tayar kecil akan diikat dengan satu rantai besi, dan di alam tayar tersebut diletakkan pula beban. Anda akan memegang rantai besi tersebut dan menarik tayar sehingga ke garisan penamat. Bunyi mudah, tetapi panas yang anda rasa pada otot quadriseps anda akan buat anda nak menangis. Saya rasa memang ada atlit yang menangis semasa menarik!

Bagi saya, latihan hi-reps dapat membantu untuk tingkatkan ketahanan kaki. Senaman-senaman seperti weighted step-ups, lunges, dan leg extension mungkin sekali bagus untuk cekalkan otot kaki anda. Boleh squat berat belum bermakna boleh tahan lama (dalam senamanlah).

Yoke Walk

Acara yang sungguh biasa dilihat dalam sukan strongman. Tiada rahsia di sini, anda angkat beban di belakang anda dan terus berjalan. Dalam pertandingan ini, yoke walk hanya dilakukan oleh atlit dalam kategori lelaki. Didapati juga, ketinggian alat tidak diubah mengikut ketinggian atlit, dan secara default, ia agak rendah. Mungkin untung juga mereka yang rendah dalam pertandingan ini.

Taqiuddin - Yoke Walk

Latihan yang boleh dilakukan, bagi saya, adalah apa sahaja jenis latihan yang menguatkan otot teras anda. Tetapi, jangan fokus pada kekuatan statik sahaja, tetapi fokus pada kekuatan dinamik juga. Maksudnya, anda kena kuatkan core dengan senaman-senaman yang berjalan dan mempunyai daya pusingan (untuk kuatkan oblique anda). Cuba latihan isometrik juga seperti squat hold (di atas dan di bawah).

Tyre Flip

Anda perlu betul-betul kental untuk melakukan tyre flip selepas habis melakukan semua acara tadi secara berterusan. Mula-mula semua kelihatan agak mudah. Tetapi, sampai sahaja masa untuk tyre flip, mulalah anda nak nampak bintang (walaupun pertandingan buat pada tengahari). Ada macam-macam teknik flip yang anda boleh buat. Jadi, jangan lupa untuk experiment apa yang terbaik untuk diri anda.

Cuba berlatih dengan melakukan clean and press. Buat dua-dua jenis, maksudnya ringan hi-reps dan berat dengan sikit rep. Pergerakan meletup sebegini amat serupa dengan pergerakan tyre flip. Masukkan juga latihan conditioning untuk meningkatkan stamina anda.

Sledgehammer Dan Sprint

Anda mengetuk sebatang sledgehammer pada sebiji tayar. Mudah sahaja. Pergerakan sebegini juga dilakukan sebagai senaman untuk melatih otot perut dan keseluruhan otot teras sekali. Kalau gym anda ada peralatan sebegini, jangan pula lari daripada melakukan latihan tersebut!

Arif Khalil - Sledgehammer

Sprint pula hanyalah berlari pecut sebagai pergerakan terakhir. Kaki anda sudah membara pada waktu ini. Bayangkan, anda kena berlari pecut pula lagi beberapa puluh meter. Memang menangislah sebab kalau tak berlari, orang lain boleh kalahkan masa anda. Jadi, anda kena banyakkan latihan conditioning untuk tingkatkan ketahanan.

Tahniah Kepada Semua Peserta

Semua atlit telah mempamerkan prestasi yang sangat bagus. Meskipun mengambil masa melebihi standard 2-3 minit, mereka tetap kerah diri untuk habiskan kesemua acara mereka. Tidak mengapa kalau tidak menang, janji anda tidak mengalah!

Superhuman - Strongfit Taiping

Kebanyakan tempat pemenang dipegang oleh atlit-atlit Johor yang sememangnya hebat daripada dulu lagi. Dan, untuk pengetahuan anda, johan bagi kategori lelaki adalah atlit yang sama memenangi Perak Strongest Man pada tahun lepas! Atlit-atlit Superhuman pula berjaya mendapat tempat-tempat Top Ten, dengan Arif Khalil memenangi tempat kedua.

Sekali lagi tahniah diucapkan kepada semua atlit. Teruskan dengan usaha anda dan semangat kesukanan dalam industri ini. Semoga sukan strongman terus berkembang dan mendapat tempat di hati masyarakat sekalian.

Aiman Radzi

Berasal dari seorang yang bersaiz kecil dan pemalu, kini menjadi lebih kuat dan berani selepas bergiat aktif dalam dunia kecergasan. Aiman Radzi merupakan seorang pelajar Fisioterapi dan peminat sukan bina badan serta angkat berat. Beliau turut mempunyai sijil sebagai NASC Fitness Instructor dan sering terlibat dengan program kecergasan untuk orang awam. Beliau juga merupakan pengamal urutan sukan.

Bagi Aiman Radzi, bersenam bukan sekadar untuk menguatkan fizikal, tetapi turut untuk membina ketahanan mental. Minatnya dalam ilmu senaman dan rehabilitasi menjadikan beliau seorang yang bermotivasi tinggi ketika berlatih dan cekap dalam penstrukturan sistem latihan.

Facebook Twitter YouTube