Kardio Lasak Meningkatkan Kelaparan Jun13

Kongsi

Kardio Lasak Meningkatkan Kelaparan

Aiman Radzi - Kardio Lasak Meningkatkan Kelaparan

Salah satu masalah yang dihadapi mereka yang mahu membakar lemak adalah kelaparan, dan kadang-kadang kelaparan ini datang tanpa prejudis. Lagi-lagi selepas habis latihan berintensiti tinggi. Tapi, kalau anda perasan, saya selalu mengesyorkan anda untuk melakukan latihan berintensiti tinggi untuk membakar lemak.

Senaman berintensiti tinggi membakar kuantiti tenaga yang sangat banyak, samada semasa senaman ataupun selepas habis sesi latihan. Otot-otot anda akan dahagakan tenaga, menjadikan senaman intensiti tinggi bagus untuk pembakaran lemak. Dengan syarat, anda tidak memanjakan kelaparan yang anda akan hadapi selepas latihan.

Kursus Kecergasan 2017

Fasa pembakaran lemak bermaksud anda akan makan kurang kalori daripada biasa. Meskipun bukannya kurangkan kuantiti makanan (anda boleh makan sayur banyak-banyak), tapi sejauh mana sayur-sayuran dan makanan-makanan rendah kalori lain boleh memuaskan kelaparan anda? Tambahan pula dengan latihan yang anda buat. Lagilah lapar jadinya sepanjang hari! Hilang nikmat senaman dan pemakanan kalau kena seksa badan begini. Melainkan anda adalah atlit yang serious bertanding, anda tidak perlukan langkah ekstrim untuk mendapatkan badan yang cantik.

Nasihat yang selalu diberikan, untuk melakukan senaman berintensiti tinggi bagi membakar lemak, bukan senang diikut begitu sahaja sebenarnya. Penggemar senaman intensiti tinggi memerlukan pengambilan kalori yang tinggi untuk membekalkannya tenaga. Kalau anda kurang makan, anda paksa bersenam, anda menahan lapar sepanjang masa, berkemungkinan besar anda membakar otot sebenarnya. Biasa buat leg day yang sangat intense, sampai rasa nak makan large pizza seorang diri?

Kardio Intensiti Rendah

Saya bukan penggemar kardio intensiti rendah (seperti berjogging dan berjalan jauh), tapi saya tidak menafikan kelebihannya. Kenapa saya tidak gemar? Sebab saya sukakan dengan latihan bebanan, bukannya sebab ia tidak berkesan. Anda kena kenal senjata-senjata yang anda ada dalam dunia kecergasan dan bila hendak menggunakannya.

Pengkaji daripada Loughborough University telah melakukan satu kajian yang hendak mencari kaitan antara tahap kelaparan dan juga kardio berintensiti rendah. Mereka telah melantik beberapa pemuda untuk menyertai kajian ini, di mana mereka akan disuruh untuk berjalan selama 60 minit dan berehat selama 7 jam. Dalam tempoh kajian, peserta diberikan makanan-makanan bufet sebanyak dua kali dan selera makan mereka dinilai setiap 30 minit bersama beberapa hormon lain.

Mereka mendapati, kardio berintensiti rendah tidak meningkatkan selera makan, menjadikan mereka lebih efficient untuk menjaga makan dan membakar lemak. Berbeza dengan intensiti tinggi, seseorang individu lebih cenderung untuk berasa lapar dan terlebih makan, menyebabkan mereka tersasar daripada keperluan pengambilan kalori harian.

Ini Adalah Soal Disiplin

Sebenarnya, ini adalah soal self-control, di mana adakah anda mampu untuk mengawal diri daripada nafsu makan. Anda boleh lakukan apa sahaja jenis latihan, jika anda tidak mengawal nafsu makan anda, sudah pasti anda akan terbabas.

Kardio berintensiti tinggi adalah lebih bagus untuk membakar lemak, membina otot, dan mengekalkan jsiim otot daripada terbakar, tetapi ia menyebabkan kelaparan yang sukar dikawal. Kardio berintensiti tinggi dapat mengurangkan kesan ini, tetapi tahap keberkesanannya untuk membakar lemak dan lain-lain tidak dapat menandingi latihan berintensiti tinggi.

Inilah yang dikatakan kepelbagaian senjata yang boleh anda guna. Pilih mengikut diri anda sendiri. Tapi, kalau saya, untuk pembakaran lemak, saya gemar menggunakan pendekatan yang lebih perlahan dan fokus pada angkatan berat.

Rujukan:

  1. Shannon Clark, Choosing Your Cardio Methods For Fat Loss Wisely
Aiman Radzi

Berasal dari seorang yang bersaiz kecil dan pemalu, kini menjadi lebih kuat dan berani selepas bergiat aktif dalam dunia kecergasan. Aiman Radzi merupakan seorang pelajar Fisioterapi dan peminat sukan bina badan serta angkat berat. Beliau turut mempunyai sijil sebagai NASC Fitness Instructor dan sering terlibat dengan program kecergasan untuk orang awam. Beliau juga merupakan pengamal urutan sukan.

Bagi Aiman Radzi, bersenam bukan sekadar untuk menguatkan fizikal, tetapi turut untuk membina ketahanan mental. Minatnya dalam ilmu senaman dan rehabilitasi menjadikan beliau seorang yang bermotivasi tinggi ketika berlatih dan cekap dalam penstrukturan sistem latihan.

Facebook Twitter YouTube