Kekalkan Jisim Otot Dengan Cara Ini! Feb26

Kongsi

Kekalkan Jisim Otot Dengan Cara Ini!

Bukan semua orang boleh pergi ke gym setiap hari untuk berlatih. Saya sendiri sibuk dengan kerja-kerja sehingga kadang-kadang tak dapat tidur kerana perlu habiskan penulisan-penulisan beberapa blog yang lain. Semua ini boleh mendorong kepada pengurangan jisim otot kerana anda tidak mendapat latihan yang cukup ataupun rehat yang memadai.

Tidak lupa juga, ada masa kita berasa seperti demam-demam, keletihan, ataupun pergi bercuti bersama keluarga. Waktu begini, kita mungkin tidak dapat berlatih. Perasaan risau akan otot kita jatuh semakin meningkat. Apa yang anda boleh buat untuk menangkis masalah ini? Mujur ada kajian oleh para pengkaji Jepun menemui satu dapatan yang boleh kita guna untuk memperlambatkan pengecutan otot!

Kursus Kecergasan 2017

BCAA Sebagai Pengganti

Para pengkaji Jepun daripada Universiti Kobe telah menemui satu cara yang membolehkan kita untuk mengekalkan jisim otot, atau sekurang-kurangnya memperlahankan kadar penguraian otot tatkala kita tidak boleh memberi sebarang rangsangan tumbesaran melalui latihan.

Mereka mewujudkan empat kumpulan tikus, di mana setiap kumpulan diagihkan menjadi:

  1. Kumpulan 1 (tiada perubahan)
  2. Kumpulan 2 (diangkatkan kaki belakang)
  3. Kumpulan 3 (diberikan BCAA)
  4. Kumpulan 4 (diangkatkan kaki belakang dan diberikan BCAA)

Kumpulan tikus yang menerima BCAA diberikan sebanyak 600mg/kg berat badan tikus tersebut, bersamaan dengan 9g BCAA untuk individu seberat 200lbs (91kg) sehari.

Dapatan Kajian

Selepas 14 hari, para pengkaji tersebut mengumpul data berdasarkan beberapa pembolehubah termasuklah berat otot dan luas keratan-rentas otot tikus-tikus tersebut. Apa yang mereka dapati ialah, BCAA tidak menghentikan pengecutan otot secara mutlak akibat daripada ketidakgerakan otot (kaki terangkat). Meskipun begitu, penggunaan BCAA telah memperlahankan pengecutan secara drastik!

Selepas kajian yang lebih terperinci, mereka membuat kesimpulan yang BCAA telah mengurangkan kesan atropi (pengecutan otot) melalui perencatan laluan ubiquitin-proteasome dan penggunaan BCAA sangat berguna untuk menghalang pengecutan otot akibat kesan atropi otot yang tidak digunakan.

Aiman Radzi - Kekalkan Jisim Otot Dengan Cara Ini

Apa Yang Anda Boleh Dapat?

Selalunya BCAA digunakan samada sebelum, semasa, atau selepas latihan. Memang ia sangat berkesan untuk membekalkan tenaga atau meningkatkan kesan anabolik otot sewaktu tempoh ini. Tetapi, ia juga boleh digunakan semasa rehat (ataupun semasa anda tidak dapat pergi ke gym).

Mungkin ada waktu anda tidak dapat ke gym buat sesuatu tempoh masa, BCAA boleh dijadikan “penyelamat” kepada otot-otot anda. Ambil 8-10g sehari (kebiasaannya 2 sudu BCAA) sehari untuk mendapatkan kesan ini. Pecahkan kepada dua (1 sudu pagi dan 1 sudu sebelum tidur) untuk mengekalkan kesan anabolik sepanjang hari.

Rujukan:

  1. T-Nation, Tip: Can’t Train? Take This to Retain Muscle, [accessed online]¬†https://www.t-nation.com/supplements/tip-cant-train-take-this-to-retain-muscle [accessed on 26 February 2017].
Aiman Radzi

Berasal dari seorang yang bersaiz kecil dan pemalu, kini menjadi lebih kuat dan berani selepas bergiat aktif dalam dunia kecergasan. Aiman Radzi merupakan seorang pelajar Fisioterapi dan peminat sukan bina badan serta angkat berat. Beliau turut mempunyai sijil sebagai NASC Fitness Instructor dan sering terlibat dengan program kecergasan untuk orang awam. Beliau juga merupakan pengamal urutan sukan.

Bagi Aiman Radzi, bersenam bukan sekadar untuk menguatkan fizikal, tetapi turut untuk membina ketahanan mental. Minatnya dalam ilmu senaman dan rehabilitasi menjadikan beliau seorang yang bermotivasi tinggi ketika berlatih dan cekap dalam penstrukturan sistem latihan.

Facebook Twitter YouTube