Kira Kalori Ikut Minggu Jul17

Kongsi

Kira Kalori Ikut Minggu

Aiman Radzi - Kira Kalori Ikut Minggu

Mengira kalori adalah langkah pertama dalam perjalanan untuk memiliki bentuk badan yang lebih baik, samada untuk bina otot mahupun membakar lemak. Daripada jumlah kalori tersebut juga, anda akan bahagikan mengikut tiga nutrisi utama; karbohidrat, protein, dan lemak. Gunakan nisbah yang bersesuaian (kebiasaannya orang menggunakan 40:40:20).

Had kalori anda dipanggil DCR (Daily Caloric Requirement), berbeza dengan BMR (Basal Metabolic Rate). DCR adalah berapa jumlah kalori yang anda perlu makan untuk mencapai matlamat anda, manakala BMR hanyalah nilai dasar untuk anda kekalkan berat badan. Jika anda hendak kurus, DCR anda hendaklah kurang daripada nilai BMR. Bina otot pula perlukan DCR lebih tinggi daripada BMR.

Kursus Kecergasan 2017Kesilapan Mudah Tapi Impak Besar

Mengira keperluan kalori adalah perkara asas dan sangat mudah dilakukan. Malah, dalam internet sahaja ada pelbagai jenis kalkulator yang anda boleh cari untuk bantu anda kira kalori. Kemudian, skil menganggar kalori dalam makanan anda pula haruslah dilatih supaya anda dapat tahu berapa banyak kalori anda makan. Kalau tidak tahu, anda boleh gunakan aplikasi telefon pintar yang menawarkan senarai makanan dan jumlah kalorinya (serta disimpan seperti diari).

Dah kira keperluan itu bagus, dan mengikutnya juga mantap. Cuma, ada daripada kalangan kita yang mengamalkan cheat day, di mana mereka mula makan seperti sudah 8 tahun tidak makan. Biasanya, cheat day berlaku di hujung minggu. Mereka boleh makan pizza, ayam goreng, air berkarbonat, aiskrim, dan lain-lain. Kadang-kadang, jumlah kalori untuk sehari cheat day boleh mencecah 12,000 kalori!

Okay, sekarang saya akan bawa anda untuk menjalani satu sesi kira-kira. Menggunakan nama “Ali” sebagai contoh, Ali mempunyai nilai BMR 2,000kcal untuk kekalkan berat badan. Jadi, untuk kuruskan badan, Ali perlu makan lebih kurang 1,800kcal (DCR) setiap hari. Maksudnya, Ali telah mengurangkan 200kcal, dan akan diteruskan sebanyak 7 hari seminggu (dengan jumlah 1,400kcal dikurangkan seminggu).

Cumanya, Ali suka cheat day hujung minggu sampai 8,000kcal pada hari Ahad. Ini bermakna, Ali telah memakan 7,200kcal lebih daripada jumlah DCR hariannya! Apa yang berlaku sekarang, Ali memakan ikut diet 1,800kcal selama 6 hari (jumlah 1,200kcal dikurangkan) tetapi dilajakkan sehingga 7,200kcal dalam satu hari di hujung minggu. Secara tak langsung, yang sepatutnya terbakar 1,400kcal seminggu telah menjadi jadi extra 6,000kcal seminggu! Disebabkan extra inilah kadang-kadang seseorang itu susah untuk nampak pembakaran lemak, dan boleh jadi juga diet gagal sampai naik berat badan.

Take-Away Message

Apa yang anda perlu paham di sini, jangan pandang perjalanan membakar lemak sehari-sehari, tetapi pandang perjalanan secara mingguan. Berdiet selama 6 hari tidak bermakna anda boleh makan apa sahaja pada hari ke-7. Konsep asas untuk berjaya adalah istiqomah (ataupun konsistensi) dalam melakukan sesuatu benda. Jadi, kalau anda nak bakar lemak dan rampingkan pinggang serta nampakkan six-pack, pandang diet sebagai satu skop yang besar dan jauh.

Aiman Radzi

Berasal dari seorang yang bersaiz kecil dan pemalu, kini menjadi lebih kuat dan berani selepas bergiat aktif dalam dunia kecergasan. Aiman Radzi merupakan seorang pelajar Fisioterapi dan peminat sukan bina badan serta angkat berat. Beliau turut mempunyai sijil sebagai NASC Fitness Instructor dan sering terlibat dengan program kecergasan untuk orang awam. Beliau juga merupakan pengamal urutan sukan.

Bagi Aiman Radzi, bersenam bukan sekadar untuk menguatkan fizikal, tetapi turut untuk membina ketahanan mental. Minatnya dalam ilmu senaman dan rehabilitasi menjadikan beliau seorang yang bermotivasi tinggi ketika berlatih dan cekap dalam penstrukturan sistem latihan.

Facebook Twitter YouTube