Kopi Decaf: Baik Atau Tidak?

Aiman Radzi - Kopi Decaf Baik Atau Tidak

Kopi merupakan antara minuman paling popular di dunia. Tetapi ramai penggemar kopi terpaksa menghadkan pengambilan kafein di atas sebab-sebab kesihatan. Oleh itu, bagi golongan ini, kopi decaf adalah alternatif yang terbaik. Artikel ini akan membawakan anda fakta-fakta menarik mengenai kopi decaf serta manfaatnya kepada kesihatan tubuh badan.

Kursus Kecergasan 2024

Apakah kopi decaf dan bagaimana ianya dihasilkan?

Decaf adalah singkatan bagi perkataan decaffeinated. Biji kopi yang digunakan untuk menghasilkan kopi decaf sebenarnya bukanlah seratus-peratus bebas kafein. Namun begitu, proses menyahkafein boleh menghilangkan kandungan kafein sehingga 97%.

Terdapat banyak cara yang digunakan bagi proses tersebut tetapi kebiasaannya ia melibatkan pelarut organik, karbon dioksida dan air. Pelarut organik digunakan untuk membasuh biji kopi dan menghilangkan kandungan kafein. Proses pembasuhan ini dilakukan sebelum biji kopi tersebut dipanggang dan dikisar. Selain daripada kafein, kandungan nutrisi yang terdapat pada biji kopi decaf tetap sama dengan biji kopi biasa. Rasa kopi decaf pula kurang pekat jika dibandingkan dengan kopi biasa dan warnanya juga sedikit berlainan.

Berapakah jumlah sebenar kandungan kafein yang terdapat di dalam kopi decaf?

Jumlah kandungan kafein berbeza mengikut jenis biji kopi yang digunakan dan cara pemprosesannya. Menurut kajian, secawan kopi decaf berisipadu 180 ml mengandungi 0-7 mg kafein. Manakala secawan kopi biasa pula mengandungi antara 70-140 mg kafein, bergantung kepada jenis kopi, cara penyediaan dan saiz cawan tersebut. Justeru, walaupun kopi decaf tidak seratus peratus bebas kafein, kandungannya jauh lebih sedikit berbanding kopi biasa.

Bagaimana dengan kandungan antioksidan dan nutrisinya?

Proses menyahkafein menyebabkan kandungan antioksidan yang terdapat di dalam biji kopi berkurangan sehingga 15%. Tetapi, kandungan antioksidan yang sedia ada tetap memberikan manfaat yang besar terhadap kesihatan tubuh. Seperti yang telah diketahui, antioksidan melindungi sel-sel tubuh daripada radikal bebas. Hal ini seterusnya membantu mengurangkan risiko penyakit kanser, penyakit jantung dan diabetes. Selain daripada itu, kopi decaf juga mengandungi nutrien penting seperti magnesium, potassium dan vitamin B3.

 

Apakah kesannya terhadap kesihatan?

Meminum kopi, decaf ataupun biasa, dipercayai mengurangkan risiko penyakit diabetes mellitus jenis 2 sebanyak 7%. Selain itu, kopi decaf juga dikatakan dapat mengurangkan risiko kematian akibat penyakit stroke dan penyakit jantung.

Kopi decaf juga memberikan kesan positif terhadap kesihatan minda. Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa kopi decaf berupaya melindungi sel otak dan seterusnya dapat mengelakkan risiko penyakit neurologi seperti Alzheimer dan Parkinson.

Selain itu, kopi decaf juga tidak menyebabkan kesan sampingan seperti pedih ulu hati dan asid refluks seperti yang biasa dialami setelah meminum kopi biasa. Bukan itu sahaja, meminum dua atau lebih cawan kopi decaf setiap hari dapat mengurangkan risiko penyakit kanser rektum sebanyak 52%.

Walaubagaimanapun, terdapat juga khasiat kopi yang tidak terdapat pada kopi decaf disebabkan kandungan kafein yang terlalu sedikit jumlahnya. Antara manfaat daripada kafein adalah seperti berikut;

  • Menguatkan daya ingatan dan fungsi mental.
  • Meningkatkan kadar metabolik dan pembakaran lemak.
  • Mengurangkan risiko penyakit kemurungan dalam kalangan wanita.
  • Mengurangkan risiko penyakit sirosis hati.

Decaf atau Biasa?

Kesan sampingan kafein sebenarnya berbeza bagi setiap individu. Ada yang boleh meminumnya sehingga lima cawan sehari, tetapi ada juga yang tidak boleh meminumnya langsung. Selain itu, pengambilan kafein yang berlebihan juga boleh menyebabkan kesan sampingan lain seperti masalah penghadaman, kesukaran tidur dan gangguan rentak jantung (aritmia jantung). Oleh itu, individu yang sensitif terhadap kafein sebaik-baiknya memilih kopi decaf ataupun teh sebagai minuman harian. Golongan individu tersebut termasuklah wanita yang sedang mengandung dan menyusukan bayi.

Namun begitu, kopi bukanlah minuman yang membawa kemudaratan semata-mata. Malahan, ianya penuh dengan antioksidan dan dikaitkan dengan pengurangan risiko penyakit serius seperti kanser. Tetapi, bagi mereka yang ingin menikmati kopi tanpa perlu mengalami kesan sampingan daripada kafein, kopi decaf adalah alternatif yang terbaik.

Rujukan:

https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/17132260

https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/15713963

Penulis: Tini

Aiman Radzi

Aiman Radzi

Penggemar sukan melibatkan kekuatan fizikal, Aiman Radzi kini kembali lagi untuk berkongsi perjalanan dan pendapatnya tentang latihan dengan pembaca semua!

Facebook 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Share This
error: