Kuat Segera Atau Kuat Berpanjangan? Jul25

Kongsi

Kuat Segera Atau Kuat Berpanjangan?

Aiman Radzi - Kuat Segera Atau Kuat Berpanjangan

Terlalu ramai yang berlatih dan ingin menjadi kuat dalam kadar yang tersangat segera, terutama sekali atlit-atlit yang terlibat dalam sukan kekuatan. Apabila mula berlatih dan ingin menjadi lebih kuat, mereka melakukan seribu satu cara untuk mencapai sasaran angkatan berat, dan mereka berjaya. Baguslah kalau begitu, tapi bagusnya hanyalah kalau anda adalah atlit serius.

Itu pun bagi atlit yang sudah lama berpengalaman dalam sukan kekuatan. Kalau masih baru lagi, anda nak cepat-cepat untuk pergi ke mana? Benar, yang berpengalaman sudah boleh deadlift 300-400kg, dan anda juga boleh. Tetapi, kalau dia sudah berlatih 8 tahun untuk angkat 300-400kg, macam mana anda boleh angkat yang sama dalam tempoh 8 minggu atau 8 bulan?

Kursus Kecergasan 2017

Think Small, Win Big

Entri kali ini hanyalah bebelan semata-mata untuk membuka hati mereka yang terlalu kejarkan hasil yang maksimum dalam masa yang paling singkat. Mereka tidak menghargai proses untuk menjadi lebih kuat. Mereka tidak menghormati masa dan memberi peluang kepada badan mereka untuk “bermanja-manja” dengan dunia kekuatan. Yang mereka tahu, hanyalah untuk berlawan siapa paling kuat.

Minda sebegini memang bagus bagi mereka yang bertanding, dengan syarat mereka sudah lalui pengalaman latihan asas. Senang kata, kalau otai-otai beradu kekuatan dan mempunyai pemikiran sebegitu, ini tidak menjadi masalah. Yang susahnya apabila orang baru masuk juga diberikan latihan sama seperti otai-otai lama, dengan prinsip “no pain no gain“.

Kenapa anda nak pandang untuk deadlift 200kg kalau deadlift 140kg pun masih terkiyal-kiyal? Tak perlulah mencuba 200kg sepanjang masa, dengan harapan satu hari nanti tiba-tiba badan mempunyai kuasa The Hulk, dan anda (secara ajaib) dapat angkat 200kg. Mungkin boleh, tetapi dengan form yang semestinya berterabur dan bersepah.

Semua orang lalui fasa “ingin cepat” dalam semua perkara. Mana tidak, pergi ke gym dan lihat badan otai berketak-ketak, saya pasti anda semua pernah bertanya apakah cara terbaik untuk dapatkan bentuk sebegitu dan cara yang paling cepat. Apabila diberikan jawapan seperti latihan serta sabar, anda ibarat tidak dapat terima realiti dan beralih kepada otai lain sehinggalah anda dapat jawapan “sebenar” anda.

Mindset Sebenar

Tak perlu pandang begitu jauh. Baiklah, mungkin anda memang mensasarkan untuk deadlift 200kg, tetapi sekarang sangkut pada 140kg. Fokuskan latihan anda untuk naikkan angkatan kepada 145kg, dan jika berjaya, raikan kenaikan tersebut. Jangan berasa naik sikit seperti tiada apa-apa pencapaian. Ini yang dikatakan “sikit-sikit lama-lama jadi bukit”. Bukannya kemampuan 140kg, tetapi cuba setiap hari untuk deadlift 180kg. Sampai ke sudah pun belum tentu naik.

Janakan fokus anda kepada kenaikan satu langkah ke hadapan. Benar, pandang 10 langkah ke hadapan, tetapi jangan cuba melangkah lebih daripada kemampuan. Bayangkan ingin menaiki tangga, adakah anda terus melangkah sampai satu tingkat ke atas, ataupun anda langkah satu persatu anak tangga sampailah tiba ke tingkat seterusnya?

Tanam dalam minda dan hati, yang kesabaran serta konsistensi adalah lebih penting daripada motivasi. Anda boleh jadi bersemangat untuk 2-3 minggu berlatih, tetapi bukan semua orang mampu konsisten berlatih meskipun mereka tiada lagi motivasi untuk mencapai misi mereka.

Kejayaan datang pada mereka yang istiqomah dalam usaha mereka, kemudian mereka bertawakkal. Latih diri anda untuk cekal dengan disiplin latihan. Malah, gunakan konsep yang sama ini untuk menjalani kehidupan seharian. Apa-apa yang kita lakukan setiap hari, dengan konsisten, dijamin akan mendatangkan pulangan yang anda mahukan. Semua orang boleh mara ke hadapan, tetapi jangan persoalkan tentang kelajuan. “Cc” setiap orang lain-lain, maka kelajuan dan prestasi juga lain-lain. Yang penting, sampai ke destinasi, bukan?

Aiman Radzi

Berasal dari seorang yang bersaiz kecil dan pemalu, kini menjadi lebih kuat dan berani selepas bergiat aktif dalam dunia kecergasan. Aiman Radzi merupakan seorang pelajar Fisioterapi dan peminat sukan bina badan serta angkat berat. Beliau turut mempunyai sijil sebagai NASC Fitness Instructor dan sering terlibat dengan program kecergasan untuk orang awam. Beliau juga merupakan pengamal urutan sukan.

Bagi Aiman Radzi, bersenam bukan sekadar untuk menguatkan fizikal, tetapi turut untuk membina ketahanan mental. Minatnya dalam ilmu senaman dan rehabilitasi menjadikan beliau seorang yang bermotivasi tinggi ketika berlatih dan cekap dalam penstrukturan sistem latihan.

Facebook Twitter YouTube