Latihan Dengan Karbohidrat Rendah

Aiman Radzi - Latihan Dengan Karbohidrat Rendah

Karbohidrat adalah penting dalam dunia bina badan. Ia sangat diperlukan untuk membina otot dan membakar lemak. Dalam dunia kekuatan seperti strongman dan powerlifting, karbohidrat adalah kunci kejayaan dan tahap kekuatan seseorang atlit.

Jika karbohidrat begitu penting, kenapa anda mahu (atau perlu) berlatih dalam keadaan rendah karbohidrat? Sebenarnya, anda tidak perlu pun melainkan dua sebab; anda ingin bakar lemak, ataupun anda sedar anda terlebih gemuk dan perlu bakar lemak segera.

Kursus Kecergasan 2024

Diet Rendah Karbohidrat

Tujuan diet-diet sebegini adalah untuk merendahkan tahap insulin dalam badan. Jadi, ini akan meningkatkan kebolehan untuk membakar lemak, ataupun lebih tepat, mengurangkan kemungkinan untuk badan anda menyimpan nutrien yang anda telah makan sebagai lemak. Cuba lihat entri Insulin Dan Senaman untuk tahu kesan insulin dalam senaman.

Jika dilakukan dengan betul, boleh dikatakan anda akan sentiasa membakar lemak sepanjang masa. Itu pun kalau dilakukan dengan betul. Ada bermacam-macam jenis diet rendah karbohidrat yang boleh diikut, tetapi bukan semuanya sesuai untuk kita.

Salah satu jenis diet rendah karbohidrat adalah dengan memakan karbohidrat secara paling minimum (seakan-akan tidak mengambil karbohidrat langsung) selama 6 hari dalam seminggu. Pada hari ketujuh, di penghujung hari selepas senja sehingga sebelum tidur, anda boleh makan apa sahaja anda mahu. Disebabkan anda sudah menahan diri daripada karbohidrat untuk jangka masa panjang, badan anda akan menggunakan kesan kenaikan insulin pada hari ketujuh ini dengan baik untuk menghantar nutrien ke dalam otot-otot.

Adakah ini cara yang sihat atau cara terbaik untuk melakukan diet rendah lemak? Tidak, dan sudah pasti ia tidak akan sesuai dengan semua orang! Jika anda ingin mencuba, maka teruskan tetapi saya cadang anda guna cara lain untuk melakukan diet rendah lemak. Rujuk entri Carb Cycle Diet untuk membaca lebih lanjut.

Kesan Diet Rendah Karbohidrat

Jika anda atlit bina badan, hilang sedikit kekuatan adalah tidak mengapa. Lagipun, sukan anda tidak mengukur seberat mana anda boleh squat, bench press, dan deadlift. Sebaliknya, anda akan diberi markah melalui simetri otot dan lain-lain. Bagi atlit kekuatan pula, hilang tahap kekuatan dalam angkatan-angkatan utama ini adalah mimpi ngeri!

Dengan diet rendah karbohidrat untuk membakar lemak, boleh dikatakan anda akan hilang tahap kekuatan sebelum anda mula berdiet. Ia adalah satu fakta yang perlu anda kunyah dan telan. Banyak mana kekuatan yang anda akan hilang? Itu bergantung pada individu kerana ada beberapa faktor yang memainkan peranan penting dalam tahap kekuatan dan tona otot (seperti pengalaman latihan).

Semasa anda berbadan besar dan “gemuk” juga, anda akan ada tahap leverage yang berbeza. Dalam keadaan badan besar (dan perut besar) anda akan lebih mudah untuk bench press. Bagi sesetengah orang juga, squat dan deadlift mereka turut menjadi lebih mudah kerana perubahan posisi badan. Jadi, apabila mereka menjadi kurus, leverage ini hilang menjadikan mereka lemah sedikit daripada dahulu.

Nisbah Kekuatan

Ubah Mindset Anda

Apa yang anda boleh buat sebagai seorang penggemar dunia kekuatan adalah mengubah mindset anda terhadap tahap kekuatan. Apabila anda melakukan diet rendah karbohidrat untuk membakar lemak, nescaya berat badan anda juga akan turun, begitu dengan leverage yang kita telah bincangkan tadi.

Kalau sebelum ini anda mampu deadlift 200kg dengan berat badan 90kg, bermakna anda mampu mengangkat beban 2.2x berat badan anda. Mungkin anda tidak mampu untuk kekal mengangkat 200kg apabila anda turun sehingga 80kg (sesetengah orang boleh dengan teknik yang betul), tetapi anda cuba kekalkan nisbah kekuatan atau mungkin tingkatkan nisbah tersebut.

Cuba kira, jika sewaktu 90kg anda boleh angkat 2.2x berat badan, kalau semasa 80kg anda boleh angkat nisbah yang sama (atau lebih), secara teknikalnya anda telah mengekalkan tahap kekuatan, malah boleh membina kekuatan. Dalam hal berat badan 80kg, 2.2x berat badan adalah 176kg. Secara pandangan rambang, jika sebelum ini anda boleh angkat 200kg, walaupun anda telah turun berat badan, anda boleh angkat sangat hampir dengan beban tersebut, anggaran 190kg? Ini bermakna anda telah angkat lebih daripada nisbah sebelum ini!

Nisbah Kekuatan Boleh Jadi Ukuran

Apa yang saya hendak katakan adalah untuk menggunakan nisbah kekuatan dengan berat badan sebagai ukuran tahap kekuatan anda. Bukan sekadar pada nombor kilogram sahaja. Dengan cara ini, anda akan lebih fokus dan kekal bermotivasi untuk berdiet, membakar lemak, memiliki badan yang lebih sihat dan rendah lemak, serta menjadi lebih kuat!

Rujukan:

Mark Bell, Ask The Super Strong Guy: Can Strength Athletes Go Low Carbs?, T-Nation

Aiman Radzi

Aiman Radzi

Penggemar sukan melibatkan kekuatan fizikal, Aiman Radzi kini kembali lagi untuk berkongsi perjalanan dan pendapatnya tentang latihan dengan pembaca semua!

Facebook 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Share This
error: