Mengapa Perempuan Perlu Angkat Berat? Apr10

Kongsi

Mengapa Perempuan Perlu Angkat Berat?

Semakin ramai wanita yang menjinakkan diri dengan latihan-latihan di gym. Tanggapan bahawa bermain besi adalah tidak baik untuk wanita semakin berkurangan. Ini adalah petanda yang baik untuk masyarakat kita. Wanita yang aktif dan konsisten berlatih mampu menjana kesihatan yang lebih optimum!

Aiman Radzi - Mengapa Perempuan Perlu Angkat Berat

Cumanya, belum ramai lagi tahu kebaikan mengangkat berat. Maksudnya di sini, bukan sekadar mengangkat besi berkali-kali. Ini bukan maksud “angkat berat” yang saya katakan. Definisi “angkat berat” di sini adalah menggunakan beban yang agak tinggi di mana anda hanya mampu untuk angkat sekitar 3 kali sahaja secara maksimum. Biasanya, ramai mengangkat beban yang mereka boleh lakukan ulangan sebanyak 8-12-20 kali.

Kalau anda biasa angkat 10kg untuk 15 kali, mungkin anda kena bermain dengan 40kg kali ini sebanyak 3 ulangan maksimum. Agak berat, bukan, untuk wanita? Berat adalah sesuatu yang subjektif. Mungkin bagi anda, 40kg adalah terlalu berat, tetapi bagi wanita lain adalah berat warm-up sahaja. Jadi, gunakan beban yang berat untuk anda sahaja, yang mampu diangkat maksimum 3 ulangan.

Tetapi, mengapa perlu sampai berat begitu? Apa kelebihannya berbanding angkat banyak kali? Bukankah mengangkat banyak kali lagi berkesan untuk membakar kalori dan mendapatkan badan lebih kurus?

Kursus Kecergasan 2017

Growth Hormone

Salah satu hormon yang kita rembes secara semula jadi adalah growth hormone di mana ia sangat penting untuk tumbesaran kita. Malah, proses pemulihan kita juga terkesan dengan hormon ini. Lelaki dan perempuan, kedua-duanya memanfaatkan hormon ini. Mungkin lelaki lebih cenderung untuk mendapatkan rembesan testosterone yang tinggi, tetapi perempuan sangat memerlukan rembesan semula jadi growth hormone dalam badan mereka untuk tahap kesihatan yang mantap.

Apa yang berlaku, growth hormone berperanan dalam penjanaan ketumpatan tulang dan pertumbuhan saiz otot. Ia juga penting untuk fungsi metabolisme dan mengekang penguraian tisu badan. Bagaimana anda hendak dapatkan peningkatan rembesan hormon ini? Melalui angkatan berat!

Kajian Terhadap Wanita

Ada satu kajian yang dilakukan meneliti hal ini di mana mereka mencari kesan-kesan penggunaan jenis beban yang berbeza-beza terhadap rembesan hormon ini. Mereka mendapati, para wanita yang berlatih dengan beban yang hanya mampu dilakukan sebanyak 12 rep (moderate-intensity) dan 3 rep (high-intensity) adalah lebih responsif untuk merembes growth hormone yang tinggi.

Para pengkaji tersebut mengatakan, para wanita bergantung pada rembesan hormon ini untuk meningkatkan tona otot dan kekuatan tulang. Jadi, latihan yang menjana lebih rembesan growth hormone adalah lebih baik untuk mereka daripada jenis latihan lain.

Kajian yang dijalankan selama 24 minggu ini lengkap dengan ujian-ujian darah yang banyak. Mereka mendapati, semakin tinggi intensiti yang digunakan (semakin berat beban – rendah rep), semakin aktif badan mereka untuk merembes growth hormone.

Salah seorang daripada pengkaji menyatakan yang para wanita harus meletakkan satu kitaran latihan berat dalam rutin latihan mereka. Ini tidak bermakna mereka perlu mengangkat berat sepanjang masa. Sebab itu, ia dinamakan “kitaran” di mana anda akan menyusun program mengikut kesesuaian.

Angkatan Ringan

Seperti yang dikatakan, bukannya sepanjang masa anda perlu angkat berat. Penggunaan beban ringan turut mempunyai manfaat untuk membakar lemak, membina otot, dan meningkatkan kekuatan. Cuma, ia adalah peringatan yang anda tidak patut jauhi beban berat.

Rujukan:

Chris Shugart, 9 April 2017, Tip: The Scientific Reason Women Need to Go Heavy, T-Nation, https://www.t-nation.com/training/tip-the-scientific-reason-women-need-to-go-heavy

Aiman Radzi

Berasal dari seorang yang bersaiz kecil dan pemalu, kini menjadi lebih kuat dan berani selepas bergiat aktif dalam dunia kecergasan. Aiman Radzi merupakan seorang pelajar Fisioterapi dan peminat sukan bina badan serta angkat berat. Beliau turut mempunyai sijil sebagai NASC Fitness Instructor dan sering terlibat dengan program kecergasan untuk orang awam. Beliau juga merupakan pengamal urutan sukan.

Bagi Aiman Radzi, bersenam bukan sekadar untuk menguatkan fizikal, tetapi turut untuk membina ketahanan mental. Minatnya dalam ilmu senaman dan rehabilitasi menjadikan beliau seorang yang bermotivasi tinggi ketika berlatih dan cekap dalam penstrukturan sistem latihan.

Facebook Twitter YouTube