Kenapa MLM? May09

Kongsi

Kenapa MLM?

Kenapa saya menentang MLM atau multilevelmarketing? Pertama sekali, disebabkan para peniaga itu sendiri, yang berusaha mempromosikan cara kuruskan badan tanpa senaman.

‘Tidak perlu bersenam dah boleh kurus’
‘Buat apa susah-susah bersenam, ada cara lagi mudah’
‘Duduk dalam mangkuk ini dah boleh bakar kalori lebih daripada bersenam’
‘Senam itu sakit badan’

Kursus Kecergasan 2017

Tahukah anda senaman yang betul akan menyasarkan 5 komponen kesihatan iaitu kesihatan kardiovaskular, daya tahan otot, kekuatan otot, keleturan dan komposisi badan. Jika benar sekali pun, produk multilevel ada menyasarkan komposisi badan, bagaimana pula dengan 4 komponen yang lain? Adakah dengan mengambil serbuk kesihatan jantung kita boleh menjadi lebih baik? Ataupun adakah dengan memakai bekung, duduk dalam sauna, mengambil fibre dan sebagainya, kesihatan anda boleh jadi lebih baik? Kelebihan-kelebihan yang sedikit cuba dibesarkan oleh peniaga MLM dengan melebih-lebih sesuatu, menakutkan orang ramai supaya semua beranggapan, ‘tanpa produk begini, aku tak boleh berjaya’

Antara produk yang cuba dipopularkan melalui multilevel seperti herbalife, sd2, jus mate 5, rx-lite dan lain-lain dalam bentuk serbuk protein. Apakah asas pembinaan dan penggunaan produk ini sehinggakan mereka boleh claim produk mereka mampu turunkan berpuluh-puluh kilo dalam masa singkat dengan pelbagai testimonial untuk menarik pembeli?  Produk-produk begini dicipta dengan bahan yang mengenyangkan. Jika seseorang itu sebelum ini, makan 4 kali sehari contohnya, mereka mengambil 1 hidangan produk ini, mereka akan rasa kenyang untuk 1 jangka waktu. Atau kita ambil contoh lain, sebelum ini seorang itu makan 4 pinggan nasi ayam, tetiba berubah ke 1 pinggan nasi ayam sehari, apa akan jadi dengan badan dia? Badan dia akan mengecut disebabkan tiba-tiba kurang kalori. Tetapi disitu adalah penurunan itu disebabkan turun lemak atau turun otot? Seperti yang saya sering beritahu sebelum ini, bila badan tidak mendapat makanan untuk 1 jangka masa lama, badan akan mula catabolisme. Akan berlaku pembakaran otot. Jika berlaku pembakaran, sudah tentu badan akan mengecut. Di manakah lemak? Badan akan cuba simpan lemak selama mungkin disebabkan badan mula berfikir, ‘tuan aku ini kelaparan’.

Bila berlaku penyusutan otot, secara tak langsung berlaku penurunan kadar metabolisme. Kadar pembakaran menjadi sangat perlahan. Bila perlahan dan tiba-tiba berhenti menggunakan produk-produk begitu, badan akan naik mendadak. Percayalah. Pembakaran ketika itu tidak sama dengan pembakaran sebelum mula diet menggunakan produk-produk itu. Produk-produk ini direka supaya penggunanya terus menggunakannya. Bila terus menggunakannya, keuntungan multilevelnya terus berjalan. Orang di atas ketawa besar.

Jika dibanding dari segi kualiti, saya ambil beberapa contoh. SlimDiet2 atau SD2 satu tin berharga RM144 dengan 28 hidangan dan 10.3g protein sahaja untuk setiap hidangan, Herbalife satu tin berharga RM163.08 dengan 21 hidangan dan cuma 9g protein untuk setiap hidangan. Jika hendak dibanding dengan purata produk berasaskan protein bukan multilevel sekitar RM200-250 dengan 80 hidangan dan 25g protein untuk setiap hidangan. Produk-produk berasaskan sistem multilevel menyediakan produk yang sangat rendah kualiti untuk memastikan keuntungan besar untuk diberi kepada ahli-ahli, upline-upline, downline-downline dan sebagainya. Mungkin akan ada yang kata, syarikat sekian-sekian ada award, ada anugerah, keluar paper dan sebagainya. Ini cuma sebahagian strategi pemasaran. Tunjukkan saya satu syarikat yang ada ‘pihak ketiga’ buat kajian?

Manakala bagi yang Islam pula, jika nak diulas dari sudut agama, sistem multilevel atau MLM dalam bentuk piramid, yang paling mudah 1 cari 2 dan sebagainya, lebih sukar diurai, lebih senang nak menipu. Bisness model seperti ini akan menyebabkan jumlah ahli bertambah secara eksponential da apabila mencapai peringkat tepu, bila mana tiada ahli baru didapati, iainya akan crash dan kadar kerugian dapat di kira dengan formula di atas.

1 downlines 2, kadar kerugian > 50%
1 downlines 3, kadar kerugian > 67%
1 downlines 4, kadar kerugian > 75%
1 downlines 5, kadar kerugian > 80%
1 downlines 6, kadar kerugian > 83%
1 downlines 7, kadar kerugian > 86%
1 downlines 8, kadar kerugian > 88%
1 downlines 9, kadar kerugian > 89%
1 downlines 10, kadar kerugian > 90%
1 downlines 11, kadar kerugian > 91%
1 downlines 12, kadar kerugian > 92%
Dan seterusnya.

Hasil daripada downline dalam bentuk riba. Ia merupakan Riba Nasiah dan Riba Al-Fadl. Dalam al-Quran memang tiada ditulis MLM itu haram, tetapi ada ditulis riba itu haram. Fikir2kan lah. Berikut adalah jawapan daripada pihak JAKIM berhubung Hukum MLM. MLM telah diharamkan di beberapa buah negara Islam. Tetapi di Malaysia masih ramai yang menjual Islam untuk keuntugan wang ringgit. Mempermainkan ayat seperti, ‘rezeki perniagaan 90%’ dan sebagainya. Periksa balik apa jenis perniagaan yang dijalankan. Jangan kerana wang ringgit yang sedikit itu dan harapan hendak hidup mewah, kita mengabaikan kesihatan orang lain demi wang poket kita sendiri. Marilah kita ke arah hidup yang sihat, dengan bersenam dan jaga pemakanan.

Saya tahu, bila ada yang membantah, adalah mulut-mulut yang akan kata, dia ini dengki, kacau periuk nasi orang lain dan sebagainya. Siap ada yang keluar isu kata, kita bekerja di pejabat pun menggunakan multilevel dan sebagainya. Saya kira kebanyakan daripada kita sudah besar, dewasa, jadi boleh fikir sendiri. Cuba lah masuk beberapa laman web seperti
http://aididmuaddib.blogspot.com/ untuk memahami kenapa kami menentang perniagaan berasaskan multilevel ini. Jika nak bantu mereka yang dah benar-benar tegar mungkin susah, jadi harap-harap yang baru berjinak-jinak ini, lupakan hasrat menggunakan produk-product multilevel untuk kuruskan badan. Jangan terpengaruh dengan iklan-iklan di luar sana tentang produk-produk ini.

Zaki Khan adalah seorang terapi senaman yang diperakui. Pernah berkhidmat sebagai jurulatih kepada jurulatih untuk Majlis Kecergasan Kebangsaan di bawah kelolaan Dato Azalina Othman. Berpengalaman lebih dari 10 tahun dalam bidang kecergasan.

Sebagai seorang terapi senaman, Zaki Khan terlibat bukan sahaja sebagai seorang jurulatih kecergasan tetapi juga dalam rehabilitasi, berhadapan dan membetulkan masalah-masalah ketidakseimbangan otot, menguatkan kembali otot-otot yang lemah supaya seseorang itu dapat menjalankan fungsi asas badan. Zaki Khan juga banyak terlibat dalam kempen-kempen mempromosikan kesihatan samada sebagai seorang penceramah, penganjur atau jemputan.

Facebook Twitter YouTube