Osteoporosis: Wanita, Berwaspada! Jul22

Kongsi

Osteoporosis: Wanita, Berwaspada!

Aiman Radzi - Osteoporosis Wanita Berwaspada

Fakta tentang kondisi osteoporosis:

  1. Osteoporosis adalah satu kondisi tulang yang menyebabkan tulang menjadi rapuh.
  2. Mereka yang mengalami masalah ini mungkin sekali mudah untuk terpatah atau retak  tulang.
  3. Densiti tulang berkurang selepas berumur 35 tahun.
  4. Lebih ramai wanita yang mendapat kondisi ini berbanding lelaki.

Kursus Kecergasan 2017

Apakah Osteoporosis?

Osteoporosis adalah nama kepada penyakit tulang rapuh (ataupun lemah). Ia dikenalpasti melalui pengurangan densiti tulang dan juga kekuatan strukturnya, menyebabkan tulang terlalu mudah untuk tercedera. Kalau anda lihat struktur tulang mereka yang berkondisi ini, tulang mereka kelihatan banyak rongga-rongga akibat kurangnya densiti tulang (nampak seperti span dan tidak padat).

Mereka yang hidup dengan osteoporosis sangat mudah untuk mengalami patah tulang mahupun retak. Terjatuh sedikit pun boleh menyebabkan mereka masuk ke hospital. Perasan atau tidak, orang yang berumur ataupun tidak aktif, kalau terjatuh selalu akan mengalami retak pada bahagian pinggul ataupun tulang belakang? Orang muda tidak pula, kerana densiti tulang yang sudah lari. Antara struktur yang selalu tercedera melalui osteoporosis adalah bahagian pinggul, tulang belakang, tulang rusuk, siku, dan juga pergelangan tangan.

Apa Yang Menyebabkan Osteoporosis?

  1. Jantina (perempuan lebih cenderung untuk mendapat penyakit ini).
  2. Keturunan dan genetik.
  3. Perokok dan orang sekeliling yang hidup sekali dengan perokok.
  4. Penggunaan alkohol yang melampau.
  5. Kurang bersenam dan beraktiviti.
  6. Tidak mendapatkan nutrisi yang secukupnya melalui pemakanan seimbang.
  7. Masalah penghadaman.
  8. Rendah hormon estrogen (seperti wanita yang sudah menopause).
  9. Rendah hormon testosteron (bagi lelaki yang bermasalah – hypogonadism).
  10. Perjalanan rawatan kemoterapi.
  11. Penyakit-penyakit sendi seperti arthritis.
  12. Kekurangan vitamin D.
  13. Penggunaan ubat-ubat tertentu dan steroid.

Amalkan Tip-tip Ini!

Sebagaimana yang kita tahu, untuk menguatkan otot dan tulang, anda perlukan dua perkara yang saling memerlukan antara satu sama lain, iaitu pemakanan yang seimbang dan juga senaman yang teratur. Ingat, senaman dan bersukan adalah perkara berbeza. Malah, orang yang mengalami masalah tulang rapuh tidak patut bersukan dahulu, tetapi fokus pada senaman.

Pertama sekali, adalah memakan makanan yang tinggi kalsium, seperti produk tenusu dan juga sayuran-sayuran yang hijau (gelap). Kalau anda tengok sayur-sayur berdaun hijau gelap, ini adalah natara jenis sayur berkalsium tinggi, seperti bok choi, kale, dan juga sayuran-sayuran yang mengandungi vitamin K tinggi seperti lobak.

Lagi makanan yang bagus untuk menguatkan tulang anda adalah seperti keledek. Menariknya keledek, ia boleh menjadi pengganti karbohidrat yang sangat bagus (sebagai gantian utama kepada nasi yang menjadi masalah ramai). Sekali gus, anda boleh mengurangkan kalori harian dan menuju ke arah badan yang lebih rendah lemak!

Pucuk pangkalnya, anda perlu lebihkan makanan-makanan yang kaya dengan kalsium, vitamin D, dan juga selitkan dengan senaman-senaman yang menguatkan otot serta tulang seperti latihan kekuatan. Perlu diingatkan, kalau boleh dapatkan penyeliaan jurulatih bertauliah. Tahukah anda, mereka yang kerap berjogging sahaja tanpa memasukkan latihan kekuatan lebih cenderung untuk mendapat sakit sendi dan masalah tulang?

Aiman Radzi

Berasal dari seorang yang bersaiz kecil dan pemalu, kini menjadi lebih kuat dan berani selepas bergiat aktif dalam dunia kecergasan. Aiman Radzi merupakan seorang pelajar Fisioterapi dan peminat sukan bina badan serta angkat berat. Beliau turut mempunyai sijil sebagai NASC Fitness Instructor dan sering terlibat dengan program kecergasan untuk orang awam. Beliau juga merupakan pengamal urutan sukan.

Bagi Aiman Radzi, bersenam bukan sekadar untuk menguatkan fizikal, tetapi turut untuk membina ketahanan mental. Minatnya dalam ilmu senaman dan rehabilitasi menjadikan beliau seorang yang bermotivasi tinggi ketika berlatih dan cekap dalam penstrukturan sistem latihan.

Facebook Twitter YouTube