Perempuan Sado Menjijikkan?

Sedang sibuk scrolling melalui cerita-cerita yang ada dalam Timeline di FB, terserempak dengan satu artikel yang mengenengahkan tentang seorang jurulatih wanita bertudung dan mempunyai badan agak berotot. Dalam ayat yang disampaikan media info tersebut, katanya jurulatih ini mencabar perempuan zaman kini untuk melanggar pantang larang dan stereotaip untuk turun ke gym dan bersenam.

Aiman Radzi - Perempuan Sado Menjijikkan?

Kemudian, disertakan dengan beberapa gambar jurulatih tersebut yang mengenakan pakaian agak ketat. Saat itu, saya terus mengetik butang komen kerana saya tahu, akan ada seribu satu manusia yang akan memberikan komen serta kritikan yang sama.  Saya berani jamin lagi, kebanyakan komen tersebut adalah daripada kalangan wanita.

Hah, betullah apa yang saya teka! Buka-buka sahaja ruangan komen, nampak sudah beratus-ratus komen serta share. Ramai yang mengecam jurulatih tersebut, tidak kurang mengecam admin laman berita itu kerana tiada berita lain yang lebih berfaedah untuk disampaikan. Kecaman ditujukan kepada cara pemakaian dan keterlaluan minatnya untuk memiliki badan sado.

Daripada segi pemakaian, saya sangat bersetuju, mungkin adalah lebih baik jika dikenakan pakaian yang lebih bersesuaian. Tidaklah perlu kepada pakaian yang begitu ketat sehingga menampakkan seluruh bentuk badan. Tetapi, saya tidak menyokong langsung mereka yang mengecam atas dasar wanita tidak patut ke gym dan berlatih kerana ia akan menyerupai lelaki, dan hanyalah jijik semata-mata.

Kursus Kecergasan 2024

Mudahkah Perempuan Untuk Jadi Sado?

Wahai wanita semua yang mengecam latihan bebanan, anda tidak akan menjadi berotot seperti lelaki. Itu adalah kepastian, melainkan anda mengambil sebarang bahan tambahan yang membekalkan anda dengan hormon testosterone sintetik. Sedangkan lelaki yang kaya dengan testosterone perlu lakukan seribu satu usaha untuk menaikkan otot, apatah lagi diri wanita yang sangat rendah dengan hormon ini berbanding lelaki?

Perempuan Tidak Sesuai Berlatih Dengan Beban!

Siapa kata? Selain daripada anda, tolong kemukakan bukti yang perempuan tidak sesuai melakukan latihan rintangan menggunakan beban. Jika anda ada sebarang bukti yang menyatakan perempuan hanya merosakkan kesihatan dengan latihan bebanan, bukti itu hanya datang daripada rekaan anda semata-mata. Kalau ketidaksesuaian ini berasaskan “latihan bebanan hanya untuk lelaki”, anda sangat silap!

Perempuan Tidak Sesuai Berlatih Dengan Beban!

Latihan bebanan adalah untuk lelaki dan perempuan, muda dan tua. Sesiapa yang kata tidak sesuai itu, mereka hanya malas bersenam (dan yang kata itu pastinya tidak bersenam pun). Daripada mengecam tanpa mencuba, apa kata anda masuk ke gym dan lalui latihan-latihan seperti ahli gym yang lain untuk beberapa bulan. Nescaya, anda akan suka dengan hasil yang anda dapat!

Suami Saya Terima Saya Seadanya

Saya tidak pasti samada ini alasan ataupun tajuk drama televisyen pukul 7. Satunya, suami anda memang akan terima anda kerana mereka sayangkan anda. Tetapi, ini bukan alasan untuk tidak menjadi lebih sihat dan cergas untuk suami dan anak-anak!

Jangan gunakan alasan ini untuk malas bersenam. Dahulu, sebelum berkahwin mungkin anda memiliki badan yang sangat sihat dan baik. Selepas melahirkan anak, badan anda semakin merosot. Tambahan lagi dengan penafian senaman, anda biarkan sahaja badan anda lekang dek zaman. Sampai satu-satu masa, anda berasa mahu berubah. Lalu, anda membeli pelbagai jenis produk kurus bukan-bukan atau losyen-losyen ajaib kurus 10kg dalam 1 bulan. Soalan saya…apakah semua ini?

Isu Aurat

Saya hanya bersetuju bahagian ini, iaitu anda tidak perlu menayangkan tubuh badan anda kepada orang awam, meskipun anda memiliki badan yang cantik. Itu hanyalah untuk tatapan suami anda sahaja! Pakailah pakaian-pakaian yang bersesuaian untuk berlatih  di gym. Jangan hanya jadi santapan untuk lelaki-lelaki di gym mencuci mata sahaja. Jangan gunakan alasan yang lelaki perlu jaga mata sedangkan anda juga berpakaian menjolok mata-mata kami. Walaupun begitu, betullah yang lelaki juga perlulah merendahkan pandangan.

Nota: Pesanan tersebut juga ditujukan kepada diri saya yang kadang-kadang terlajak perahu juga.

Hasad Dan Dengki

Sebenarnya, banyak kecaman yang dilontarkan kepada jurulatih tersebut berbaur hasad dan dengki. Saya ingat perempuan sahaja yang melontarkan komen-komen begitu, rupanya ada juga lelaki yang mengaitkan beliau dengan perkataan jijik. Semua lelaki yang melontarkan komen tersebut adalah daripada kalangan mereka yang tidak melakukan laithan bebanan. Dengan kata lain, jurulatih ini lebih berotot dan cergas berbanding pahlawan papan kekunci ini!

Hadan Dan Dengki

Adakah ini perkara baik? Saya tidak berkata yang jurulatih ini menyerupai lelaki atau lebih daripada lelaki dengan memiliki badan berotot. Saya mengaku, beliau mempunyai badan yang jauh lebih baik daripada lelaki-lelaki sekarang, dan inilah masalahnya! Lelaki zaman sekarang tidak mampu mencapai tahap kesihatan yang sepatutnya seorang lelaki miliki. Hatta, sampaikan perempuan boleh mengalahkan spesis kita atas dasar disiplin dan rajin serta usaha, adakah kita tidak berasa malu kerana hanya tahu mengecam sesuatu yang patutnya kita contohi?

Kebaikan Latihan Bebanan Pada Wanita

Hentikanlah kecaman sekarang terhadap wanita yang mendaftarkan diri mereka sebagai ahli gym dan melakukan latihan-latihan berkaitan bebanan. Rugi kalau anda tidak mencuba, dan lagi rugi kalau anda sudah mencuba tetapi hanya buat sambil-lewa sahaja. Cuba lihat kelebihan-kelebihan ini:

1- Anda Akan Bakar Lemak

Kajian oleh Wayne Westcott menyatakan perempuan yang melakukan latihan kekuatan untuk 2-3 kali seminggu selama dua bulan mampu menambah 2lbs otot dan membakar sebanyak 3.5lbs lemak! Otot-otot ini akan meningkatkan kadar metabolisma badan secara semula jadi dan akan terus membakar lemak.

2- Anda Akan Jadi Lebih Kuat Tanpa Membesar

Banyak kajian yang menyatakan bahawa perempuan hanya akan jadi kuat, tidaklah membesar seperti lelaki. Hal ini terjadi melalui adaptasi otot dengan ransangan bebanan. Sistem saraf anda juga akan berkerja dengan lebih baik untuk mengaktifkan otot sewaktu berkerja!

3- Anda Rendahkan Risiko Osteoporosis

Osteoporosis adalah penyakit tulang rapuh dan wanita sangat cenderung dengan penyakit ini apabila meningkat usia. Tambahan pengambilan kalsium dan latihan bebanan mampu meningkatkan integriti tulang sebanyak 13% dalam masa 6 bulan, dan ini adalah cara terbaik mencegah osteoporosis!

4- Anda Kurangkan Sakit Badan

Latihan bebanan bukan sekadar menguatkan otot, tetapi menguatkan struktur-struktur persekitaran. Anda turut meningkatkan kestabilan sendi seperti pinggul, lutut, dan pinggang. Semua ini hanyalah satu bantuan ke arah bebas kecederaan dan merendahkan kemungkinan sakit-sakit badan.

5- Anda Merendahkan Risiko Penyakit 3 Serangkai

Kencing manis, darah tinggi, dan sakit jantung. 3 penyakit popular yang selalu menyerang rakyat seluruh dunia. Rakyat Malaysia tidak dapat lari daripada masalah ini, tambahan lagi dengan cara masakan kita yang sentiasa tidak kedekut dengan minyak dan gula. Langkah pencegahan terbaik adalah melalui senaman dan penjagaan makan. Muktamad!

Konklusi

Saya berharap makin ramai sedar akan kepentingan senaman menggunakan beban dalam hidup kita. Mereka yang sihat haruslah berusaha untuk mempertahankan status sihat mereka, manakala yang sudah jatuh sakit, jangan mudah mengalah, teruskan berdoa dan ikhtiar untuk menjadi lebih sihat!

Rujukan:

  1. Franco J. 2014, 10 Reasons Why Women Should This Training, Bodybuilding.com, [accessed online] http://www.bodybuilding.com/fun/franco7.htm [accessed on 8 February 2017]
Aiman Radzi

Aiman Radzi

Penggemar sukan melibatkan kekuatan fizikal, Aiman Radzi kini kembali lagi untuk berkongsi perjalanan dan pendapatnya tentang latihan dengan pembaca semua!

Facebook 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Share This
error: