Perkara Menjengkelkan Dalam Gym Apr11

Kongsi

Perkara Menjengkelkan Dalam Gym

Kursus Kecergasan 2017

Kita pergi ke gym untuk berlatih. Ada pula yang pergi ke gym untuk bersuka-suka, mencari kawan, atau mencuci mata. Tiada masalah untuk datang ke gym dengan tujuan untuk “berehat-rehat” selagi mana anda tidak mengacau orang lain. Ia menjadi masalah apabila ahli yang lain terganggu dengan apa yang anda buat.

Bukan itu sahaja, pemilik pusat kecergasan itu sendiri mungkin boleh berasa jengkel dengan anda. Adakah anda melakukan perkara-perkara ini di gym anda? Ataupun, anda kenal mereka yang melakukan sebegini?

1- Tamak Dumbbell

Bohong anda tidak pernah jumpa jenis ini dalam gym anda. Kalau anda belum lagi jumpa mereka yang tamak dumbbell, mungkin andalah orangnya! Biasanya, mereka yang tamak dumbbell adalah daripada kalangan mereka yang suka melakukan set-set seperti dropset, superset, giant set, dan lain-lain.

Tamak Dumbbell

Tolong jangan ambil banyak-banyak dumbbell dan kumpul sekeliling kerusi anda duduk. Satu, anda mengganggu laluan. Kedua, orang lain juga nak gunakan dumbbell. Paling letih apabila jenis tamak dumbbell tidak menyusun semula apa mereka ambil.

2- Hujan Peluh Tapi Tak Lap Balik

Hujan Peluh Tapi Tak Lap

Betul, apabila kita bersenam dan berkeja keras, mestilah kita berpeluh. Semua orang begitu! Tetapi, kalau anda dah berpeluh macam mandi hujan, dan anda baru lepas guna mana-mana alat dalam gym, cuba lap balik peluh-peluh anda?

Orang lain nak guna pun risau tengok kerusi-kerusi habis basah atas bawah. Mesin treadmill pun dibanjiri peluh anda macam ombak Tsunami. Tak susah pun untuk bawa tuala sendiri kalau gym tak sediakan tuala untuk lap peralatan. 5-10 saat sahaja diperlukan, tak hilang pun otot anda untuk mengelap!

3- Guna Alat Gym Sambil Bermain Telefon

Orang nak guna mesin Smith, dia tengah WhatsApp dengan kawan. Di tempat lain pula, kita nak guna mesin leg press, dia tengah kemaskini status di laman Facebook. Macam mana pula dengan tempat untuk bench press? Tuan tengah duduk sedang melayar Instagram.

Main Telefon Bimbit

Klik… klik.. klik.. itu sahaja yang selalu kita nampak! Tidak salah untuk guna telefon semasa dalam gym, tetapi jika anda duduk-duduk sahaja pada sesuatu mesin dan masa rehat antara set anda sampai 5-10 minit, mana orang lain tak naik angin tunggu untuk guna mesin tersebut?

Kalau anda rasa nak guna telefon bimbit lama, dan anda nampak ramai orang di sekeliling gym seperti menunggu-nunggu peralatan, apa kata anda pergi ke tepi sebentar?

4- Geng Menjerit/Campak 10kg

Menjerit maksudnya susah, dan susah maksudnya anda sedang berkerja kuat. Mungkin beban anda guna berat dan anda sedang berusaha untuk habiskan set anda. Baiklah, perkara biasa menjerit dalam gym. Tetapi, perkara luar biasa kalau menjerit tak kena dengan beban.

Geng Menjerit Campak 10kg

Jangan setiap rep anda menjerit, jangan pula beban ringan pun anda menjerit macam angkat 100kg untuk bicep curl! Menjerit sikit-sikit tidak mengapa, bukannya menjerit macam ada orang mengacu pisau dan mahu membunuh anda.

Selalu jumpa geng 3-4 orang terjerit-jerit di satu bahagian gym. Kita pun terkejut, lalu kita tercari-cari dari mana datang jeritan tersebut. Tengok-tengok, geng sedang buat lateral raise untuk bahu seberat 10kg. Itu pun terhayun-hayun, lepastu campak dumbbell… macam mana? Kalau anda hendak deadlift berat maksimum dan ada jeritan sikit, saya sendiri akan sokong anda dari tepi!

5- Geng Berat Turun Separuh

Ini kita tengok dekat geng-geng squat, geng deadlift, atau geng barbell bend-over row yang guna beban berat-berat tapi form semua ke laut. Biasanya, geng ini adalah geng yang sama dengan geng yang di atas.

Aiman Radzi - Perkara Menjengkelkan Dalam Gym

Kalau anda boleh angkat berat dengan form yang baik, tiada salah untuk guna beban yang tinggi. Kalau form anda tidak baik, saya tiada masalah juga. Cuma, kalau anda tercedera, orang sekeliling terganggu. Ini termasuklah pemilik gym yang pening kepala untuk menangani kecederaan yang berlaku dalam gymnya.

Anda melatih badan, bukan melatih ego. Jangan angkat berat dan lihat sekeliling untuk tengok samada ada atau tidak orang yang memerhati dan terpegun dengan anda. Ini bukan latihan, ini riak.

Buatlah Apa Sahaja

Anda bayar duit anda untuk masuk ke gym. Jadi, anda berhak untuk melakukan apa sahaja anda rasa betul. Tetapi, ini adalah bersyarat. Jangan ganggu orang lain, dan jangan menyusahkan orang sekeliling.

Anda kenal mana-mana kawan anda sebegini? Atau mungkin anda ada jumpa jenis-jenis lain yang lagi dahsyat daripada ini? Apa kata anda cuba kongsikan bersama supaya kita dapat kenalpasti dan bantu mereka yang ada masalah-masalah seumpamanya.

Aiman Radzi

Berasal dari seorang yang bersaiz kecil dan pemalu, kini menjadi lebih kuat dan berani selepas bergiat aktif dalam dunia kecergasan. Aiman Radzi merupakan seorang pelajar Fisioterapi dan peminat sukan bina badan serta angkat berat. Beliau turut mempunyai sijil sebagai NASC Fitness Instructor dan sering terlibat dengan program kecergasan untuk orang awam. Beliau juga merupakan pengamal urutan sukan.

Bagi Aiman Radzi, bersenam bukan sekadar untuk menguatkan fizikal, tetapi turut untuk membina ketahanan mental. Minatnya dalam ilmu senaman dan rehabilitasi menjadikan beliau seorang yang bermotivasi tinggi ketika berlatih dan cekap dalam penstrukturan sistem latihan.

Facebook Twitter YouTube