Social Media Cleanse Jan13

Kongsi

Social Media Cleanse

Bertitik tolak daripada tindakan beberapa selebriti terkenal seperti Ed Sheeran, Taylor Swift dan ramai lagi, social media cleanse sangat trending pada ketika ini. Istilah ini merujuk kepada tindakan seseorang menjarakkan diri daripada sebarang aktiviti di laman sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter. Ada yang melakukannya untuk tempoh 24 jam, dan ada juga yang terus ‘bersara’ sekaligus memadam kesemua akaun media sosial yang berkenaan. Mungkin anda  tertanya-tanya apa pula kaitannya dengan kesihatan? Adakah amalan ini berbaloi atau tidak? Mari kita lihat.

Kursus Kecergasan 2017

Tidur lebih lena.

Pasti ramai di antara kita yang menghabiskan masa di laman media sosial sebelum tidur, bukan? Namun pada hakikatnya, penggunaan telefon pintar sebelum waktu tidur sebenarnya mengganggu corak tidur anda. Menurut National Sleep Foundation, pancaran sinaran biru dari skrin telefon pintar menganggu penghasilan hormon melatonin yang sepatutnya mencetuskan rasa mengantuk. Jadi dengan merehatkan diri daripada media sosial untuk seketika boleh menbantu anda tidur dengan lebih baik.

 

Memperbaiki interaksi anda dengan orang sekeliling

Menghabiskan masa yang terlalu lama di laman media sosial membawa kepada kecederungan untuk mengasingkan diri, rasa kesunyian dan akhirnya mengakibatkan  kemurungan. Satu kajian mendapati bahawa individu yang meluangkan masa lebih dari dua jam sehari di laman media sosial adalah dua kali ganda lebih cenderung untuk mengasingkan diri berbanding individu yang menghabiskan masa 30 minit sahaja. Laman sosial memang platform yang baik dalam mengekalkan hubungan kekeluargaan dan sahabat handai. Walau bagaimanapun, penggunaan yang tidak terkawal akhirnya mewujudkan komunikasi virtual atau komunikasi bisu yang seterusnya menjejaskan pergaulan fizikal dan komunikasi verbal di dalam situasi sebenar.

 

Mengurangkan kecelaruan emosi

Laman media sosial juga dikaitkan dengan kecelaruan emosi yang melibatkan kemurungan, keresahan, kekecewaan, iri hati dan sebagainya. Apabila anda berehat seketika daripada media sosial, sekurang-kurangnya cetusan emosi yang negatif ini dapat dihindari.

 

Lebih masa untuk hobi!

Apabila berhenti menghabiskan masa di laman sosial, anda bolehlah beralih kepada hobi yang lebih sihat seperti membaca, melukis, menulis, memasak, bersenam, meluangkan masa bersama keluarga atau kawan-kawan, menyertai aktiviti sukarelawan dan banyak lagi! Hobi yang sihat bukan sahaja baik untuk kesihatan mental dan fizikal, ia juga membantu melegakan stress, mengeratkan hubungan kekeluargaan dan persahabatan, malahan menjadikan anda insan yang lebih baik. Hobi bukan sahaja melegakan stress, malahan ia membantu menurunkan tekanan darah, mengurangkan hormon kortisol dan mencetuskan emosi yang positif.

Kesimpulannya di sini ialah, laman sosial media yang digunakan secara berhemah sebenarnya membawa banyak kebaikan. Tetapi penggunaan yang tidak terkawal pula akan menjejaskan kualiti kehidupan. Samada anda selesa atau tidak dengan tahap penggunaan anda sekarang, fikirkan terlebih dahulu. Sekiranya anda rasa perlu untuk melakukan perubahan, tidak semestinya harus memadam terus akaun laman sosial dan cuba melupakannya, sebab amalan ini boleh dilakukan secara berkala. Apa-apapun semuanya terpulang kepada pendirian masing-masing.

 

Rujukan:

  1. https://sleepfoundation.org/sleep-topics/how-blue-light-affects-kids-sleep
  2. https://www.psychologytoday.com/blog/the-athletes-way/201703/social-media-exacerbates-perceived-social-isolation

 

Entri: Tini Lorna Lim

Aiman Radzi

Berasal dari seorang yang bersaiz kecil dan pemalu, kini menjadi lebih kuat dan berani selepas bergiat aktif dalam dunia kecergasan. Aiman Radzi merupakan seorang pelajar Fisioterapi dan peminat sukan bina badan serta angkat berat. Beliau turut mempunyai sijil sebagai NASC Fitness Instructor dan sering terlibat dengan program kecergasan untuk orang awam. Beliau juga merupakan pengamal urutan sukan.

Bagi Aiman Radzi, bersenam bukan sekadar untuk menguatkan fizikal, tetapi turut untuk membina ketahanan mental. Minatnya dalam ilmu senaman dan rehabilitasi menjadikan beliau seorang yang bermotivasi tinggi ketika berlatih dan cekap dalam penstrukturan sistem latihan.

Facebook Twitter YouTube