Squat Atau Leg Press? Apr29

Kongsi

Squat Atau Leg Press?

Otot Kaki

Saya tak berapa biasa dengan hari-hari tertentu untuk bahagian tertentu. Maksud saya, biasanya ramai akan jadikan Isnin sebagai latihan dada, dikenali juga sebagai Hari Latihan Dada Sedunia (International Chest Day). Bagi saya, tiada sebarang hari tertentu untuk melatih bahagian tertentu. Tapi, itu bukan perbincangan kita hari ini.

Apa hari anda berlatih kaki? Ada yang berlatih kaki di awal minggu, ada yang di hujung. Sesetengah orang berlatih sekali seminggu, ada juga yang boleh buat lebih. Tidak lupa juga, yang berlatih kaki sebulan sekali, tiga bulan sekali, setahun sekali, atau tidak pernah langsung! Itu adalah pilihan mereka, dan tidak pelik lagi apabila kita lihat abang sado di gym berbadan besar berkakikan lidi.

Kalau anda penggemar latihan kaki atau tidak pernah tinggalkan latihan tersebut, mana anda pilih dulu, squat ataupun leg press? Selalunya, ramai lagi guna leg press daripada beratur dekat squat rack. Kenapa ramai takut untuk squat? Ataupun, adakah leg press lebih baik untuk hipertropi kaki?

Kursus Kecergasan 2017

Dengar Dan Lihat Dahulu

Tengok atlit bina badan professional. Banyaknya akan buat leg press dengan banyak sekali! Tengok di YouTube sahaja ada beratus-ratus video jaguh bina badan dunia dengan senaman leg press. Sebelah kaki, dua kaki, kaki tinggi, kaki rendah, buka lebar, buka kecil, macam-macam jenis variasi ada! Dan, mereka ini juga memiliki kaki yang sangat besar dan mantap. Maksudnya, leg press lebih baik daripada squat, bukan?

Salah seorang jurulatih terkemuka, Charles Poliquin, sendiri telah menyatakan beberapa kajian yang mendapati, apabila squat dan leg press yang dilakukan dengan jumlah rep yang sama, leg press mampu menjana lebih banyak rembesan growth-hormone (GH) berbanding squat.

Tapi, Sebenarnya Begini…

Meskipun atlit-atlit dunia gemar melakukan leg press, mereka yang betul-betul mempunyai kaki mantap sebenarnya turut mempunyai prestasi squat yang sangat menakjubkan! Mereka akan menjadikan squat sebagai prioriti dahulu sebelum melakukan leg press. Atau, mereka dahulunya telah membina asas yang mantap dengan squat sebelum menjadikan leg press sebagai “pencukup perisa” kepada latihan dan pembesaran otot kaki mereka.

Menurut beberapa kajian, ia telah terbukti yang squat lebih banyak mengaktifkan gentian-gentian otot kaki berbanding leg press (meskipun leg press boleh merembes lebih banyak GH). Jadi, kenapa leg press masih digunakan untuk membina badan, kalau squat adalah lebih baik kerana boleh kerjakan lagi banyak otot? Kenapa squat rasa begitu susah sekali berbanding leg press?

Pro Dan Kontra

Leg press ada kelebihannya tersendiri dalam dunia bina badan mahupun dunia sukan kekuatan. Jangan pandang rendah dengan leg press kerana mungkin senaman ini boleh jadi ubat kepada kelemahan anda! Apakah kelebihan-kelebihan leg press berbanding squat? Satunya, kelebihan leg press hanya boleh dimaksimumkan selepas anda menjadikan squat sebagai prioriti. Tidak guna anda leg press 400kg kalau hendak squat 100kg pun masih terkial-kial.

Aiman Radzi - Squat Atau Leg Press

Jika anda sudah mantap dengan squat, senaman leg press boleh jadi alat hipertropi yang sangat berkesan untuk melengkapkan pembesaran otot kaki anda! Kerana ROM leg press yang lebih pendek berbanding squat, ia adalah senaman yang bagus untuk kekalkan tegangan pada quadriseps. Leg press juga boleh bantu tingkatkan kekuatan deadlift kerana posisinya yang seakan-akan sama.

Kekurangannya? Entahlah, saya tidak dapat fikir sangat kekurangan leg press. Sebab, semua senaman ada tujuan dan kelebihan tersendiri. Jika dilakukan dengan betul, ia pasti dapat membantu anda mencapai sesuatu matlamat. Mungkin satu sahaja yang saya dapat fikir, iaitu leg press kurang mengaktifkan sistem saraf (CNS) berbanding squat. Disebabkan squat memerlukan anda tahan beban di atas badan, jadi satu badan anda berkerja semasa buat senaman tersebut. Sebab itu, squat lebih mudah untuk besarkan seluruh badan!

Konklusi

Tiada sebab untuk mengutuk mereka yang suka dengan leg press tetapi tiada sebab juga untuk tinggalkan squat. Kenapa pilih antara dua jika anda boleh buat dua-dua? Benar, squat adalah lebih baik daripada leg press, tetapi jika digabungkan kedua-duanya sekali dengan penyusunan program yang betul, sudah pasti anda akan mengaut lebih banyak keuntungan.

Rujukan:

Bret Contreras, Leg Press vs. Squat: The Final Chapter, T-Nation

Berkaitan: 5 Sebab Untuk Deep Squat

Berkaitan: Squat vs Deadlift

Berkaitan: Kaki Patah Sebab Leg Press

Aiman Radzi

Berasal dari seorang yang bersaiz kecil dan pemalu, kini menjadi lebih kuat dan berani selepas bergiat aktif dalam dunia kecergasan. Aiman Radzi merupakan seorang pelajar Fisioterapi dan peminat sukan bina badan serta angkat berat. Beliau turut mempunyai sijil sebagai NASC Fitness Instructor dan sering terlibat dengan program kecergasan untuk orang awam. Beliau juga merupakan pengamal urutan sukan.

Bagi Aiman Radzi, bersenam bukan sekadar untuk menguatkan fizikal, tetapi turut untuk membina ketahanan mental. Minatnya dalam ilmu senaman dan rehabilitasi menjadikan beliau seorang yang bermotivasi tinggi ketika berlatih dan cekap dalam penstrukturan sistem latihan.

Facebook Twitter YouTube