Strategi Untuk Meningkatkan Metabolisme Apr18

Kongsi

Strategi Untuk Meningkatkan Metabolisme

Aiman Radzi - Strategi Untuk Meningkatkan Metabolisme

Jangan khuatir, anda memang boleh tingkatkan metabolisme badan anda! Bukan sekadar waktu bersenam sahaja. Sudah semestinya waktu bersenam badan anda akan berkerja lebih keras, jadi ia membakar lebih banyak kalori. Yang kita mahu, bagaimana untuk menaikkan metabolisme secara terus?

Sesetengah orang, makan apa sahaja pun tiada masalah kenaikan berat badan. Kita pula, sesudu nasi lebih, esoknya tengok penimbang meleleh air mata kita. Adakah mereka mempunyai metabolisme tinggi secara semula jadi. Ini sudah masuk soalan lain (berkaitan pro-biota dan macam-macam). Fokus kita adalah strategi-strategi yang anda boleh guna untuk diri sendiri.

Kursus Kecergasan 2017

Latih Dengan Bebanan

Apabila anda berlatih dengan bebanan atau rintangan, anda memberikan kerosakan kecil pada otot-otot anda. Ini adalah perkara normal untuk merangsang pertumbuhan otot yang lebih kuat. Mudahnya, banyak kajian mengesahkan latihan sebegini akan meningkatkan metabolisme badan lebih daripada 10% sehingga 15 jam selepas anda habis berlatih!

Untuk memaksimakan kesan kenaikan ini, cuba utamakan senaman-senaman kompaun yang melibatkan pergerakan banyak otot dan sendi. Lakukan senaman sekitar 8-12 rep, hatta hingga 20 rep untuk sesetengah masa.

Latih Dengan Intensiti Tinggi

Intensiti boleh membawa maksud beban yang digunakan ataupun tahap kesusahan senaman. Jadi, kalau intensiti tinggi, kita boleh faham samada guna senaman berbebankan bebanan berat, ataupun melakukan senaman dengan kadar yang sangat susah.

Macam mana nak tahu senaman itu susah atau tidak? Kalau selepas beberapa rep kita buat dan pernafasan kita tercungap-cungap, sehinggakan nak menyebut nama sendiri pun memerluka dua tiga nafas, itulah intensiti tinggi!

Senaman begini meningkatkan EPOC, ataupun penggunaan oksigen selepas senaman. Peningkatan ini menyebabkan metabolisme badan anda meningkat sehingga 72 jam selepas anda habis berlatih. Bayangkan, anda berlatih bersungguh-sungguh hari ini, esok waktu tengok televisyen pun badan anda masih berkerja membakar kalori dengan berkesan dan banyak.

Ambil Protein Secukupnya

Pengambilan protein yang mencukupi akan menjaga jisim otot kita daripada terurai secara berlebihan dan membantu pembakaran lemak. Protein juga merupakan komponen penting untuk mengaktifkan “suis” metabolisme kita. Macam mana?

Semakin banyak otot anda ada, semakin tinggi metabolisme rehat anda. Sebab itu, abang-abang sado mudah untuk kurus dan mudah untuk gemuk kembali. Mereka sudah mempunyai jisim otot yang tinggi, menjadikan badan mereka sangat efficient dalam membakar kalori dan lemak!

Dapatkan sekurang-kurangnya 25g (satu scoop protein whey – sebagai contoh) antara sarapan pagi, makan tengahari, dan makan malam. Maksudnya, kalau anda makan 3 kali sehari, ambil snek tinggi protein juga antara 3 kali makan tersebut. Sandwich tinggi protein amat sesuai dijadikan snek.

Jangan Terlalu Ber”diet”

Nak kurus bukanlah bermaksud kena menyiksa diri anda sepanjang tahun. Kecergasan adalah satu “larian marathon” dan bukannya “larian pecut 100m”. Anda akan mengharungi pelbagai jenis cabaran sepanjang perjalanan anda dalam dunia kecergasan.

Jadi, jangan terlalu tegas dengan diet anda sepanjang tahun. Ada masa, rehatkan badan dariapada sebarang penyekatan makanan, tetapi bukan bermakna anda boleh makan mengikut nafsu sesuka hati. Kawal juga, tapi bukanlah sehingga anda berasa tertekan melihat orang lain boleh makan itu dan ini. Wujudkan fasa di mana ada satu tempoh anda akan berdiet bersungguh-sungguh, dan satu tempoh lain untuk merehatkan badan anda. Ini memastikan badan anda tidak adapt dengan diet sepanjang tahun, lantas sentiasa memberikan “kejutan” kepada badan anda untuk menyesuaikan diri.

Aiman Radzi

Berasal dari seorang yang bersaiz kecil dan pemalu, kini menjadi lebih kuat dan berani selepas bergiat aktif dalam dunia kecergasan. Aiman Radzi merupakan seorang pelajar Fisioterapi dan peminat sukan bina badan serta angkat berat. Beliau turut mempunyai sijil sebagai NASC Fitness Instructor dan sering terlibat dengan program kecergasan untuk orang awam. Beliau juga merupakan pengamal urutan sukan.

Bagi Aiman Radzi, bersenam bukan sekadar untuk menguatkan fizikal, tetapi turut untuk membina ketahanan mental. Minatnya dalam ilmu senaman dan rehabilitasi menjadikan beliau seorang yang bermotivasi tinggi ketika berlatih dan cekap dalam penstrukturan sistem latihan.

Facebook Twitter YouTube