Sudahkah Anda Membersihkan Lidah Hari Ini? Apr23

Kongsi

Sudahkah Anda Membersihkan Lidah Hari Ini?

Kita tahu bahawa memberus gigi adalah amalan kebersihan yang harus dipatuhi setiap hari. Tetapi bagaimana pula dengan membersihkan lidah? Amalan yang mudah ini sering kali disisihkan dan ada juga yang kurang pengetahuan mengenainya. Berikut adalah sebab-sebab mengapa anda harus mulai membersihkan lidah hari ini.

Kursus Kecergasan 2017

Membersihkan bakteria mulut

Bakteria mulut memakan sisa makanan, sel epitelium yang mati dan titis postnasal (lebihan lendir yang mengalir daripada hidung ke farinks) dan kesemuanya ini tertumpu di bahagian belakang lidah. Membersihkan lidah terbukti dapat mengurangkan jangkitan bakteria mutans streptococci dengan lebih efektif berbanding kaedah kebersihan oral yang lain. Mutans streptococci adalah sejenis spesies patogen yang boleh mengakibatkan kerosakan gigi (karies gigi) dan pembentukan kaviti.

Mengelakkan nafas berbau

Sebanyak 85% kes halitosis (nafas berbau) berpunca daripada mulut. Mungkin terdapat banyak lagi penyebab halitosis seperti penyakit gusi, penyakit metabolik dan kesan sampingan ubat, tetapi kebanyakan kes halitosis adalah berpunca daripada bakteria mulut. Hal ini kerana bakteria mulut merembeskan sisa kumuh yang terdiri daripada asid dan volatile sulphur compounds yang menyebabkan nafas berbau.

Memperbaiki sistem pencernaan

Membersihkan lidah juga membantu sistem pencernaan kerana ianya merangsang penghasilan air liur. Air liur sangat diperlukan bagi proses pencernaan yang lebih baik kerana ianya bertindak sebagai pelincir bagi melancarkan laluan makanan ke saluran esofagus. Selain itu, air liur juga mengandungi enzim pencernaan yang diperlukan dalam proses penghuraian kanji dan lemak.

Memperbaiki tunas rasa

Pembentukan lebihan selaput di permukaan lidah akan mengurangkan fungsi tunas rasa sekaligus memberi kesan terhadap deria rasa juga. Apabila tidak dapat merasa makanan sepenuhnya, anda mungkin akan cenderung untuk mengambil makanan yang lebih tinggi kandungan garam, gula dan bahan perasa lain, seterusnya membawa kepada tabiat pemakanan yang kurang sihat.

Apakah alat yang digunakan untuk mengikis lidah?

Paling senang, berus gigi anda sendiri. Tetapi cara ini kurang efektif jika dibandingkan dengan alat pembersih lidah (tongue cleaner/tongue scraper) yang memang direka khas untuk tujuan tersebut. Kajian menunjukkan bahawa alat pembersih lidah dapat mengurangkan volatile sulphur compounds sebanyak 75% berbanding berus gigi iaitu 45% sahaja. Lagipun, berus gigi tidak direka untuk memberus lidah dan boleh jadi akan mencederakan tunas rasa. Ada juga yang menggunakan sudu yang diterbalikkan untuk mengikis lidah. Bolehlah daripada tiada langsung. Yang penting, permukaan lidah dikikis dengan berhati-hati.

Bagaimanakah pula caranya?

  • Jelirkan lidah dan letakkan pembersih lidah di bahagian belakang lidah.
  • Kemudian tarik pembersih lidah dari belakang menuju ke bahagian hadapan lidah.
  • Bilas pembersih lidah dan ulangi langkah tersebut sehingga selaput putih di permukaan lidah telah dibersihkan sepenuhnya.
  • Elakkan mengikis permukaan lidah terlalu kuat bagi mengelakkan kecederaan.
  • Sekiranya refleks geg tercetus (rasa hendak muntah), itu bermakna anda mengikis lidah terlalu kuat atau terlalu ke belakang.

Amalkan membersihkan lidah setiap hari dan sebaik-baiknya setiap pagi, sebelum memberus gigi, memakan dan meminum apa-apa. Lebih baik lagi jika amalan ini dilakukan dua kali sehari. Sebelum tidur dan selepas bangun tidur. Amalan membersihkan lidah hanya memerlukan beberapa saat sahaja dan mudah untuk diselitkan  ke dalam rutin harian, tidak kiralah samada menggunakan tongue scraper, berus gigi atau sudu. Jadi, sudahkah anda membersihkan lidah hari ini?

 

Rujukan:

  1. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/14969377
  2. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/15341360

Entri: Tini Lorna Lim

Aiman Radzi

Berasal dari seorang yang bersaiz kecil dan pemalu, kini menjadi lebih kuat dan berani selepas bergiat aktif dalam dunia kecergasan. Aiman Radzi merupakan seorang pelajar Fisioterapi dan peminat sukan bina badan serta angkat berat. Beliau turut mempunyai sijil sebagai NASC Fitness Instructor dan sering terlibat dengan program kecergasan untuk orang awam. Beliau juga merupakan pengamal urutan sukan.

Bagi Aiman Radzi, bersenam bukan sekadar untuk menguatkan fizikal, tetapi turut untuk membina ketahanan mental. Minatnya dalam ilmu senaman dan rehabilitasi menjadikan beliau seorang yang bermotivasi tinggi ketika berlatih dan cekap dalam penstrukturan sistem latihan.

Facebook Twitter YouTube