Syarat Kardio Bakar Lemak May17

Kongsi

Syarat Kardio Bakar Lemak

Aiman Radzi - Syarat Kardio Bakar Lemak

Kalau saya katakan kardio yang membakar lemak, saya sentiasa maksudkan latihan berintensiti tinggi, bukannya kardio biasa yang selalu dilakukan seperti berjogging. Tidak! Kenapa anda masih mahu berjogging, sedangkan ada banyak cara lain yang lebih berkesan dalam membakar lemak dan mengekalkan (malah membina) jisim otot anda?

Kardio yang menggunakan konsep intensiti tinggi adalah sebarang pergerakan yang anda buat untuk beberapa saat sampai jantung berdegup kencang, rehat seketika, dan sambung semula. Untuk pengetahuan anda, mengangkat beban dan berlatih di gym turut dikira sebagai HIIT, bukan hanya perlu bergantung dengan senaman berat badan sahaja.

Apa-apa pun, untuk menjadikan latihan kardio bakar lemak anda mencapai keberkesanan 100%, anda kena patuhi beberapa syarat supaya latihan anda tidak akan mengecewakan sesiapa. Bersiap sedia untuk memiliki badan yang lebih lean dan shredded!

Jangan Sampai Adapt

Adapt bermaksud anda sudah biasa dengan pergerakan atau latihan tersebut. Seperti berjogging atau berlari marathon, anda akan terbiasa dengan larian, sebab itu jadi kurang penat dan boleh berterusan berlari untuk jarak yang sangat jauh. Untuk latihan bebanan juga, untuk menjadi semakin kuat, anda juga kena adapt dengan pergerakan anda buat. Tetapi, kita sedang bercakap tentang kardio yang membakar lemak. Untuk matlamat itu sahaja, anda kena pastikan badan anda tidak adapt dengan latihan yang anda kenakan!

Mudah kata, anda kena sentiasa cabar diri dengan pergerakan-pergerakan baru, tahap intensiti yang lebih tinggi, masa rehat antara set yang kurang, dan macam-macam lagi. Anda kena berlatih sampaikan anda rasa setiap kali latihan anda buat, ia tidak pernah rasa atau bertambah senang. Barulah anda akan berterusan untuk bakar lemak.

Jangan Rumitkan Latihan

Orang selalu keliru berapa banyak rep kena buat, berapa lama kena bersenam, berapa kali itu dan ini. Untuk latihan kardio yang membakar lemak, ia adalah sangat mudah sebenarnya. Selagi anda berkerja sampai jantung berdegup dan agak tercungap-cungap, anda berada di jalan yang betul. Begini:

  • Pilih satu pergerakan
  • Buat untuk 15-30 saat
  • Ambil nafas bagi hilang penat sedikit
  • Ulang semula untuk 15-30 saat dan ambil nafas lagi
  • Buat untuk 10-20 minit.

Sebagai panduan yang mudah, anda boleh lakukan latihan kardio bakar lemak dengan guideline seperti ini selama 10 minit selepas habis latihan gym. Jika dilakukan pada hari selain daripada latihan gym, anda boleh buat selama 20 minit. Lihat, tidak perlu lama-lama pun seperti berjogging untuk membakar lemak!

Contoh Senaman Mudah

Kalau boleh, anda sentiasa tukar-tukar jenis senaman untuk mengurangkan adaptation dalam latihan bakar lemak. Apabila anda masih boleh menggunakan telefon pintar atau bersembang dengan rakan sewaktu rehat antara set latihan anda, itu bermaksud anda belum cukup usaha habis baik. Letakkan telefon ke tepi dan suruh rakan tunggu sebentar, 10 minit bukannya lama!

Contoh senaman yang anda boleh buat:

  1. Battle ropes
  2. Larian pecut
  3. Punching bag
  4. Farmer’s walk
  5. Lompat tali
  6. Kompleks barbell
Aiman Radzi

Berasal dari seorang yang bersaiz kecil dan pemalu, kini menjadi lebih kuat dan berani selepas bergiat aktif dalam dunia kecergasan. Aiman Radzi merupakan seorang pelajar Fisioterapi dan peminat sukan bina badan serta angkat berat. Beliau turut mempunyai sijil sebagai NASC Fitness Instructor dan sering terlibat dengan program kecergasan untuk orang awam. Beliau juga merupakan pengamal urutan sukan.

Bagi Aiman Radzi, bersenam bukan sekadar untuk menguatkan fizikal, tetapi turut untuk membina ketahanan mental. Minatnya dalam ilmu senaman dan rehabilitasi menjadikan beliau seorang yang bermotivasi tinggi ketika berlatih dan cekap dalam penstrukturan sistem latihan.

Facebook Twitter YouTube