Terapi Muzik Jan12

Kongsi

Terapi Muzik

Apakah jenis muzik yang anda gemari? Kebaikan muzik tidak terhad kepada menghilangkan rasa bosan semata-mata. Tahukah anda bahawa muzik juga memberikan kesan yang positif terhadap kesihatan tubuh dan jasmani? Terdapat banyak kelebihan muzik yang mungkin anda belum ketahui.

Kursus Kecergasan 2017

Meningkatkan daya ketahanan

Rasanya ramai di antara kita yang memang mendengar muzik ketika bersenam, bukan? Muzik yang rancak boleh meningkatkan daya ketahanan dan motivasi seseorang terutamanya semasa melakukan gerakan senaman yang ekstrem.

 

Meningkatkan kualiti tidur

Antara punca gangguan tidur adalah stress dan keresahan. Oleh sebab muzik yang menyenangkan memberi kesan positif dalam mengatasi kedua-dua faktor berkenaan, ia membantu memperbaiki corak tidur dan dikatakan efektif dalam merawat sesetengah kes insomnia.

 

Merangsang sistem imunisasi tubuh

Kajian mendapati bahawa mendengar muzik yang digemari selama 50 minit dapat meningkatkan tahap antibodi. Mereka juga mendapati bahawa hormon stress (antara faktor yang melemahkan sistem imunisasi) menjadi berkurangan setelah didedahkan dengan muzik.

 

Melegakan rasa sakit

Secara keseluruhannya, muzik memberikan kesan yang positif terhadap pengendalian nyeri (pain management). Percaya atau tidak, terapi muzik mambantu mengurangkan sakit kronik yang disebabkan oleh penyakit osteoartritis, sakit tulang belakang dan reumatoid artritis. Ia juga digunakan bersama-sama dengan anaesthesia di dewan pembedahan dan membantu mengurangkan nyeri pascabedah (postoperative pain). Terapi muzik bukan sahaja membantu melegakan keresahan dan kesakitan pesakit, penggunaan morfin juga dapat dikurangkan.

Terdapat beberapa teori yang menjelaskan bagaimana muzik memberikan kesan positif kepada pengendalian nyeri:

  • Muzik membantu memperbaiki daya pengawalanterhadap rasa sakit.
  • Muzik membantu tubuh merembeskan hormon endorfin bagi mengatasi rasa sakit.
  • Muzik berentak perlahan memperlahankan kadar denyutan jantung dan pernafasan.

 

Mengurangkan simptom kemurungan dan memperbaiki mood.

Menurut kajian, rawatan psikologi yang digandingkan dengan terapi muzik dikatakan lebih berkesan berbanding rawatan biasa tanpa diiringi muzik. Muzik dipercayai membantu mengurangkan simptom kemurungan  selain meningkatkan fungsi dalam melakukan aktiviti seharian dan sebagainya. Dalam satu kajian lain pula mendapati bahawa muzik klasik dan meditasi merupakan jenis muzik yang paling ideal dalam mengurangkan gejala kemurungan dan memperbaiki mood secara efektif. Manakala muzik metal dan techno pula tidak efektif bahkan menambahkan tekanan stress dan mempercepatkan kadar degupan jantung.

 

Mengurangkan selera makan

Satu kajian oleh John’s Hopkin’s University mendapati bahawa muzik sebenarnya mempengaruhi berapa cepat kita makan. Secara puratanya, peserta memakan lima suapan seminit tanpa muzik latar belakang. Manakala peserta yang mendengar muzik berentak perlahan pula hanya memakan tiga suapan seminit. Ini bermakna, muzik berentak perlahan mungkin boleh membantu mengurangkan kadar kalori yang diambil kerana makan secara perlahan merangsang isyarat kenyang dengan lebih cepat.

 

Meningkatkan tahap IQ dan prestasi akademik

Terdapat kajian yang menjangka bahawa kanak-kanak yang mengikuti kelas muzik menunjukkan peningkatan IQ dan prestasi akademik. Di dalam kajian tersebut, kanak-kanak berumur 6 tahun yang mengambil kelas muzik keyboard atau kelas menyanyi dalam tempoh 36 minggu menunjukkan peningkatan prestasi yang memberangsangkan di dalam ujian akademik berbanding kumpulan kanak-kanak yang mengambil kelas drama atau yang tidak mengambil mana-mana kelas.

Siapa sangka muzik yang didengari setiap hari sedikit sebanyak mempengaruhi bagaimana tubuh kita berfungsi kan? Jadi terpulanglah kepada cara masing-masing dalam memanfaatkan muzik bagi meningkatkan kualiti kehidupan.

 

Rujukan:

  1. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/18426457
  2. http://www.telegraph.co.uk/news/uknews/2569640/Music-can-boost-your-immune-system.html
  3. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/15816586
  4. http://www.cochrane.org/ms/CD004517/terapi-muzik-untuk-kemurungan
  5. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/20013543
  6. http://journals.plos.org/plosone/article?id=10.1371/journal.pone.0003566

 

Entri: Tini Lorna Lim

Aiman Radzi

Berasal dari seorang yang bersaiz kecil dan pemalu, kini menjadi lebih kuat dan berani selepas bergiat aktif dalam dunia kecergasan. Aiman Radzi merupakan seorang pelajar Fisioterapi dan peminat sukan bina badan serta angkat berat. Beliau turut mempunyai sijil sebagai NASC Fitness Instructor dan sering terlibat dengan program kecergasan untuk orang awam. Beliau juga merupakan pengamal urutan sukan.

Bagi Aiman Radzi, bersenam bukan sekadar untuk menguatkan fizikal, tetapi turut untuk membina ketahanan mental. Minatnya dalam ilmu senaman dan rehabilitasi menjadikan beliau seorang yang bermotivasi tinggi ketika berlatih dan cekap dalam penstrukturan sistem latihan.

Facebook Twitter YouTube