Tidur Lewat Dan Kegemukan Feb26

Kongsi

Tidur Lewat Dan Kegemukan

Tidur adalah penting untuk tumbesaran otot. Malah, ia juga penting untuk pembakaran lemak. Tidur yang kurang akan meningkatkan tahap tekanan pada badan (stress). Ini akan mendorong kepada peningkatan rembesan hormon kortisol. Mudah kata, hormon ini banyak mendatangkan kesan yang kita tidak mahu apabila mengejar tumbesaran otot dan pembakaran lemak.

Ada satu lagi perkara yang menyebabkan kita gemuk, dan ia berkaitan dengan psikologi manusia. Jika malam tersebut kita tidur lewat, keesokan harinya berkemungkinan besar menyebabkan kita rasa ingin memakan secara berlebihan ataupun memakan makanan-makanan segera. Ia turut berkait dengan perasaan tekanan dan keletihan.

Kursus Kecergasan 2017

385 Lebih Kalori Dimakan

Ada satu kajian (meta-analisis) yang diterbitkan oleh European Journal of Clinical Nutrition yang mengatakan bahawa apabila seseorang itu tidak mendapat tidur yang cukup, mereka akan memakan sebanyak 385 kalori (lebih kurang) pada hari berikutnya. Situasi begini dipanggil partial sleep deprivation. Kurang tidur di sini dikatakan hanya tidur 4-5 jam sahaja.

Kenapa Jadi Begini?

Ada beberapa teori yang terlibat dalam kajian ini. Apabila anda kurang tidur, ia akan mengaktifkan satu bahagian pada otak anda yang berkait dengan pemberian ganjaran, dalam hal ini ialah makanan (terutama makanan yang menggemukkan).

Gangguan pada kitaran tidur anda juga akan mengganggu pengimbangan regulasi hormon-hormon seperti hormon leptin dan ghrelin. Leptin adalah hormon kekenyangan manakala ghrelin adalah hormon kelaparan. Subjek-subjek yang terlibat dalam kajian ini lebih cenderung kepada pemakanan tinggi lemak dan mereka juga kurang mengambil protein apabila kekurangan tidur.

Tahap Testosterone Turut Terjejas

Dalam kajian lain pula mengatakan bahawa individu yang kekurangan tidur (kurang daripada 5 jam sehari) mengalami pengurangan hormon testosterone. Kesan daripada pengurangan ini boleh membawa kepada kelemahan ciri-ciri lelaki, kekurangan tenaga, tahap keletihan yang tinggi, malah mengurangkan jisim otot dan meningkatkan penyimpanan lemak.

Untuk pengetahuan anda, subjek-subjek yang terlibat dalam kajian ini pula adalah dalam kalangan 20an di mana pada waktu ini, testosterone mereka berada pada tahap tinggi. Kekurangan tidur telah menurunkan tahap hormon itu sebanyak 10-15%. Bayangkan apa yang berlaku pada golongan berumur lebih dewasa yang semula jadi memiliki kadar rembesan testosterone yang lebih rendah.

Aiman Radzi - Tidur Lewat Dan Kegemukan

Konklusi

Tidur adalah komponen penting untuk pembinaan otot dan pembakaran lemak, malah untuk kesihatan menyeluruh. Mereka yang tidak tidur dengan cukup lebih cenderung untuk jatuh sakit berbanding yang cukup rehat. Oleh itu, bahagikan masa dengan sebaiknya.

Cuba rujuk 3 Cara Untuk Tidur Yang Lebih Lena jika anda ingin tahu beberapa cara yang boleh bantu anda tidur dengan lebih berkesan!

Rujukan:

  1. Shugart C. (25 February 2017), Tip: The Bad Habit That Makes You Overeat, T-Nation, [accessed online] https://www.t-nation.com/living/tip-the-bad-habit-that-makes-you-overeat [accessed on 26 February 2017].
  2. H K Al Khatib, S V Harding, J Darzi, G K Pot. The effects of partial sleep deprivation on energy balance: a systematic review and meta-analysis. European Journal of Clinical Nutrition, 2016
  3. R. Leproult, E. Van Cauter. Effect of 1 Week of Sleep Restriction on Testosterone Levels in Young Healthy Men. JAMA: The Journal of the American Medical Association, 2011; 305 (21): 2173
  4. Erin C. Hanlon, Esra Tasali, Rachel Leproult, Kara L. Stuhr, Elizabeth Doncheck, Harriet de Wit, Cecilia J. Hillard, Eve Van Cauter. Sleep Restriction Enhances the Daily Rhythm of Circulating Levels of Endocannabinoid 2-Arachidonoylglycerol. SLEEP, 2016
Aiman Radzi

Berasal dari seorang yang bersaiz kecil dan pemalu, kini menjadi lebih kuat dan berani selepas bergiat aktif dalam dunia kecergasan. Aiman Radzi merupakan seorang pelajar Fisioterapi dan peminat sukan bina badan serta angkat berat. Beliau turut mempunyai sijil sebagai NASC Fitness Instructor dan sering terlibat dengan program kecergasan untuk orang awam. Beliau juga merupakan pengamal urutan sukan.

Bagi Aiman Radzi, bersenam bukan sekadar untuk menguatkan fizikal, tetapi turut untuk membina ketahanan mental. Minatnya dalam ilmu senaman dan rehabilitasi menjadikan beliau seorang yang bermotivasi tinggi ketika berlatih dan cekap dalam penstrukturan sistem latihan.

Facebook Twitter YouTube