Tip Pemakanan Untuk Atasi PMS May07

Kongsi

Tip Pemakanan Untuk Atasi PMS

Aiman Radzi - Tip Pemakanan Untuk Atasi PMS
Wanita adalah golongan yang sangat hebat dan unik. Mereka terpaksa menempuh kitaran-kitaran yang meletihkan setiap bulan. Berperang darahlah jadinya! Tidak seperti lelaki, boleh goyang kaki sahaja tanpa perlu fikir tentang masalah haid yang tidak akan dialami langsung. Tetapi, benarkah lelaki hanya goyang kaki sahaja? Itu sudah menjadi persoalan lain.

Bagi wanita, datang bulan adalah satu rutin bulanan (mengikut individu) yang harus dihadapi, tetapi ada pula masa yang menyebabkan meresa berasa tidak senang. Emosi dan pemikiran agak terganggu. Tenaga fizikal pun berkurangan secara drastik. Inilah yang dipanggil gejala PMS! Mari kita lihat beberapa tip untuk bantu kurangkan simptom-simptom PMS.

Kursus Kecergasan 2017

Apakah Itu PMS?

Premenstrual Syndrome (PMS) merujuk kepada tanda-tanda perubahan fizikal dan emosi yang berlaku sebelum melalui proses haid. Gejala ini berlaku melalui ketidakseimbangan  hormon estrogen dan progesterone semasa kitaran tersebut. Boleh dikatakan, 85% wanita mengalami simptom PMS semasa hendak datang bulan.

Apakah simptom-simptom PMS?

  1. Kenaikan acne (jerawat)
  2. Rasa sakit-sakit pada bahagian payudara
  3. Perut berangin
  4. Keletihan
  5. Cepat marah
  6. Perubahan emosi

Biasanya, simptom-simptom ini boleh berterusan untuk enam hari tetapi ia akan berbeza antara individu dan corak simptom turut boleh berubah sepanjang hidup seseorang wanita. Mereka juga boleh mengalami masalah kekejangan otot, sakit perut, masalah mengidam, dan sakit-sakit otot serta sendi.

Pemakanan Untuk PMS

Jadi, apa yang anda boleh buat untuk kurangkan gejala PMS semasa hendak datang bulan? Mudah sahaja, mulakan dengan mengubah pola pemakanan anda kepada diet yang lebih sihat. Dengan mengambil makanan-makanan yang betul, anda akan kawal tahap gula dalam darah anda untuk menjadi lebih stabil. Ini adalah asas kepada banyak benda, iaitu pemakanan kerana apa yang anda makan, ia bakal melambangkan diri anda.

Fiber Dalam Sayur-sayuran dan Buah-Buahan

Susah untuk terlebih makan sayur, malah lebih ramai yang kekurangan sayur dalam diet harian mereka. Sayur-sayuran mempunyai sejumlah vitamin dan mineral yang tinggi. Semakin segar sayur tersebut, semakin tinggi khasiat. Kalau mampu tanam sendiri, itu adalah lebih baik! Bayam, sawi, kubis, dan lain-lain adalah antara sayur-sayuran yang sangat baik.

Buah-buahan juga patut diambil dengan berhemah. Kalau anda jadikan buah-buahan sebagai jus harian, pastikan anda tidak menambah gula begitu banyak. Kalau boleh, jangan tambah langsung gula. Serat dari buah dan sayur-sayuran yang larut dalam air mampu menstabilkan gula dalam darah serta menurunkan keinginan untuk memakan makanan manis.

Cuba Makan Yogurt Rendah Lemak

Kalau anda tiada masalah untuk meminum susu, apa kata anda cuba makan yogurt! Masukkan sedikit buah-buahan seperti pisang, strawberry, anggur, dan lain-lain untuk menambah kelazatan! Secawan yogurt membekalkan kalsium yang amat berguna untuk wanita. Menurut kajian yang dilakukan di University of Massachusetts, wanita yang memakan produk tenusu tinggi kalsium mempunyai risiko yang lebih rendah untuk mendapat simptom PMS.

Kalau anda perasan, dari tadi kita ada sebut tentang buah. Sebab apa? Buah memang bagus untuk kesihatan kita! Ia menggantikan gula yang diproses dengan gula semula jadi. Anda kena kurangkan gula dalam masakan harian kerana gula turut boleh memberi kesan kepada pengimbangan hormon dalam badan. Nampak remeh, tetapi ia adalah benar dan mampu terkesan besar pada kita! Jadi, masukkan buah secara kerap untuk “mencantikkan” mood anda sepanjang hari!

Pernah Minum Teh Chamomile?

Teh chamomile merupakan teh yang dibuat daripada bunga chamomile. Bunga ini memiliki banyak manfaat dan juga khasiat untuk kesihatan serta kecantikan diri wanita. Ia kaya dengan kalsium, zat besi, sodium, potasium, zink, pelbagai jenis vitamin, dan macam-macam lagi. Apa lagi kebaikan teh chamomile?

  1. Ia melancarkan pencernaan
  2. Ia mengubati masalah buasir dan sakit perut
  3. Sistem imun badan bertambah kuat
  4. Mampu mengawal masalah diabetes
  5. Menjaga kesihatan kulit
  6. Mengatasi sakit kepala
  7. Menangani masalah susah tidur (insomnia)

Pendek cerita, ia mampu membantu anda mengurangkan segala simptom yang ditonjolkan gejala PMS. Jadi, apa lagi tunggu? Ada masalah dengan PMS, cubalah tip-tip ini dan jalani hidup yang lebih ceria serta aman daripada kemuraman!

Rujukan:

  1. Clara Augustina, 13 Manfaat dan Khasiat Teh Chamomile untuk Kesehatan, Khasiat.co.id
  2. Everyday Health, 8 Foods That Help Fight PMS
  3. Wahyu Triwidianto, 8 Langkah Mudah Mengatasi Gejala PMS Dengan Aman, Inspirasi Alami
Aiman Radzi

Berasal dari seorang yang bersaiz kecil dan pemalu, kini menjadi lebih kuat dan berani selepas bergiat aktif dalam dunia kecergasan. Aiman Radzi merupakan seorang pelajar Fisioterapi dan peminat sukan bina badan serta angkat berat. Beliau turut mempunyai sijil sebagai NASC Fitness Instructor dan sering terlibat dengan program kecergasan untuk orang awam. Beliau juga merupakan pengamal urutan sukan.

Bagi Aiman Radzi, bersenam bukan sekadar untuk menguatkan fizikal, tetapi turut untuk membina ketahanan mental. Minatnya dalam ilmu senaman dan rehabilitasi menjadikan beliau seorang yang bermotivasi tinggi ketika berlatih dan cekap dalam penstrukturan sistem latihan.

Facebook Twitter YouTube