Tip Raya Elak Gemuk Semula Jun21

Kongsi

Tip Raya Elak Gemuk Semula

Aiman Radzi - Tip Raya Elak Gemuk Semula

Lagi beberapa hari sahaja lagi kita akan menyambut hari raya di tahun 2017. Maknanya, banyak rumah akan mengadakan majlis-majlis untuk rumah terbuka dan tidak lari juga dengan kenduri-kenduri kahwin serta lain-lain. Benda pertama saya nak ingatkan, anda jangan risau untuk keluar beraya dan berjumpa dengan saudara-mara!

Mari kita lihat beberapa tip mudah yang anda boleh amalkan untuk pastikan anda tidak gemuk semula selepas berjaya menurunkan berat badan di bulan sebelumnya menjelang bulan raya ini!

Kursus Kecergasan 2017

Mula Pergi Ke Gym

Betul, bersenam tidak semestinya perlu pergi ke gym. Tapi, saya sentiasa sarankan pembaca-pembaca saya untuk daftarkan diri sahaja ke mana-mana gym yang mereka mampu. Apabila mereka sudah bergiat dengan gym, mereka patutnya lebih bermotivasi untuk bersenam. Lagipun, latihan bebanan sangat bermanfaat untuk kesihatan. Variasi senaman pun banyak boleh dilakukan.

Kalau anda sudah membaca entri sebelum ini (Turun 7kg Dalam 7 Minggu), anda akan tahu yang cara termudah untuk turun dan naik berat adalah dengan mengambil masa untuk membina otot dahulu kerana ini akan meningkatkan metabolisme badan semula jadi. Maksudnya, badan anda akan bakar lebih banyak kalori berbanding orang yang kurang berotot meskipun anda berdua sedang rehat!

Apa yang saya nak katakan, untuk pastikan anda tidak gemuk semula selepas raya dan masa-masa selepas ini, anda kena bergiat dalam latihan-latihan yang membantu anda untuk membina otot. Saya tidak pula menyuruh anda untuk jadi atlit bina badan. Tidak sama sekali, tetapi cukup sekadar menjadikan otot-otot anda lebih kuat. Dapatkan bantuan jurulatih bertauliah untuk membantu anda merangka program latihan.

Makan Untuk Merasa

Pernah dengar tak cerita di mana Sazali Samad dikatakan tidak menyentuh langsung sebarang juadah raya kerana hendak menjaga kondisi badannya. Ya, kalau anda seorang atlit professional yang mengharapkan kepada kondisi badan tip-top untuk bertanding, mestilah anda kena buat macam itu. Kalau anda rakyat biasa sama macam saya, tidak perlulah sampai begitu extreme sekali!

Macam saya kata, perkara pertama anda kena pastika adalah untuk tidak takut beraya di rumah saudara-mara. Memang juadah raya sungguh banyak dan menyelerakan. Tetapi, tiada siapa memaksa anda untuk memakan semua sampai kenyang, bukan? Anda sendiri yang ambil banyak. Kalau ada sampai 4-5 buah rumah untuk diziarah dan semuanya anda makan sampai kenyang, memanglah berat akan naik mendadak!

Apa yang anda patut buat adalah hanya makan untuk merasa sahaja. Tuan rumah akan faham kalau anda ada banyak lagi rumah untuk diziarah. Ini adalah atas diri anda sendiri. Cuba rancang pemakanan anda supaya pada rumah terakhir yang anda akan ziarah barulah rasa kenyang dan sedia untuk pulang ke rumah.

Pilih Air Dengan Baik

Air manis adalah minuman yang biasa dihidangkan semasa majlis hari raya. Air oren, air anggur, air berkarbonat, air itu dan ini, semuanya manis-manis belaka! Dan, kalau kita cakap tentang air manis, maksudnya kandungan gulanya juga tinggi. Ini turut bermaksud kalori yang tinggi. Sudahlah anda makan macam-macam jenis kuih dan lauk-pauk, tak perlulah tambahkan lagi kalori dengan air manis.

Samada anda kurangkan kepada satu cawan sahaja minuman manis, atau minum air kosong sahaja. Dengan meminum air manis setiap kali anda menziarah rumah saudara-mara, anda boleh tambah sampai 500-800kcal. Ini datang daripada meminum manis sahaja! Oleh itu, buatlah pilihan yang bijak.

Semua Bermula Dari Diri

Kalau anda nak kurus, sebenarnya semuanya bermula dengan diri anda sendiri. Tak salah untuk memakan makanan kegemaran anda di hari raya. Cuma, anda perlu kawal sahaja apa yang anda makan. Jika anda dapat kawal dengan sedar, Insha Allah semuanya akan berjalan lancar.

Aiman Radzi

Berasal dari seorang yang bersaiz kecil dan pemalu, kini menjadi lebih kuat dan berani selepas bergiat aktif dalam dunia kecergasan. Aiman Radzi merupakan seorang pelajar Fisioterapi dan peminat sukan bina badan serta angkat berat. Beliau turut mempunyai sijil sebagai NASC Fitness Instructor dan sering terlibat dengan program kecergasan untuk orang awam. Beliau juga merupakan pengamal urutan sukan.

Bagi Aiman Radzi, bersenam bukan sekadar untuk menguatkan fizikal, tetapi turut untuk membina ketahanan mental. Minatnya dalam ilmu senaman dan rehabilitasi menjadikan beliau seorang yang bermotivasi tinggi ketika berlatih dan cekap dalam penstrukturan sistem latihan.

Facebook Twitter YouTube