Turun 7kg Dalam 7 Minggu Jun19

Kongsi

Turun 7kg Dalam 7 Minggu

Aiman Radzi - 7kg Dalam 7 Minggu

Pada yang belum tahu, saya sebenarnya sudah berada dalam fasa cutting, atau fasa untuk turunkan berat badan. Sebenarnya, saya jangkakan untuk turun lambat sedikit dalam masa 6 bulan. Tetapi, apa yang saya capai terlalu cepat sebenarnya, agak tidak menepati apa yang saya mahu. Tidak mengapa, perjuangan masih diteruskan!

Kalau anda belum baca entri permulaan cutting, saya cadangkan anda baca Misi Untuk Mula Cutting yang menceritakan sedikit apa yang saya rancang sepanjang proses penurunan berat badan ini. Secara ringkas, saya mencadang untuk turun 8kg dalam masa 6 bulan. Rupa-rupanya, saya sekarang dah turun 7kg dalam masa 7 minggu. Bermula daripada 78kg, sekarang saya berdiri dengan berat 71kg.

Kursus Kecergasan 2017

Kenapa Saya Tidak Suka?

Ramai suka turun berat cepat-cepat, tapi sebagai seorang yang pentingkan saiz, penurunan dengan cepat sebenarnya merisikokan kehilangan jisim otot. Tapi, anda kena paham juga, kenapa anda boleh turun begitu banyak sekali pada awal-awal perjalanan cutting. Satunya, ia mungkin sekali berat air dalam badan.

Saya menggunakan creatine dalam latihan saya. Jadi, penggunaan creatine akan meningkatkan water retention. Badan mungkin akan nampak lebih sebu sedikit kerana anda menyimpan lebih banyak air daripada biasa. Ini sebenarnya bagus untuk bulking, kerana air yang banyak memberikan tenaga kepada otot-otot dan meningkatkan penyerapan nutrien ke dalam otot.

Saya Tidak Berhenti Guna Creatine

Untuk 4-5 minggu pertama, saya tidak berhenti daripada menggunakan creatine. Saya teruskan sahaja, cuma yang bertukar adalah pada pemakanan saya. Apa yang saya lakukan hanyalah tidak meminum manis, dan mengurangkan pengambilan nasi kepada separuh setiap kali makan. Saya lebihkan protein melalui pengambilan ayam, daging, dan telur. Dengan melakukan ini sahaja, saya telah turun sebanyak 4kg (daripada 78kg kepada 74kg) dalam masa 4-5 minggu pertama tersebut.

Warteg Ipoh

Siapa yang ada ikuti saya di laman sosial Instagram (@TheTherabeast), mereka tahu yang saya sangat tidak tegas dengan pemakanan saya. Maksud saya, pemakanan dan pilihan makanan saya tidak sama dengan mereka yang cutting lain. Bukan sebab saya ada rahsia sendiri, saya cuma malas untuk menyiapkan makanan-makanan yang clean. Kalau anda nak tahu, saya masih makan ayam goreng, makanan segera, saya makan pizza bersaiz large seorang diri, saya makan sepinggan makanan Western yang berporsi sungguh besar. Macam mana saya masih boleh turun berat? Saya cuma kena pastikan pengambilan kalori harian saya tidak melebi keperluan cutting.

Kemudian, dalam minggu ke-5 hingga ke-7, saya teruskan dengan konsep pemakanan saya. Sekali pun, saya tak ingat saya memakan makanan clean bodybuilding yang cliche. Tambahan pula, dalam minggu ke-3 sampailah ke sekarang sebenarnya dalam bulan Ramadhan. Puasa, sedikit sebanyak, membantu saya untuk kekal berada dalam fasa defisit kalori untuk turunkan berat badan. Bulan puasa ini, saya juga telah berhenti guna creatine (sebab tidak sempat ambil), menjadikan berat saya semakin menurun lagi 3kg (daripada 74kg kepada 71kg) dan saya yakin akan turun lagi.

Latihan Yang Saya Buat

Tak ada satu kardio pun saya buat sepanjang fasa ini, dan saya sendiri mengaku saya patut buat. Ia penting untuk kesihatan dan kondisi badan, terutama sekali bagi mereka yang hendak bertanding. Saya pun mahu bertanding, tapi ada macam-macam halangan sekarang. Cuma, saya nak kata, kardio bukanlah kompulsari untuk menurunkan berat badan. Jadi, macam mana saya buat yang boleh buat saya turun berat banyak sekali?

Pizza Hut Large

Pertamanya, latihan anda buat haruslah sekitar latihan kekuatan. Ini untuk mengekalkan jisim otot. Saya hanya main berat, untuk sikit rep tapi banyak set. Latihan isipadu ada juga dilakukan tapi bukanlah begitu intense sangat. Fokus hanyalah pada beberapa senaman utama, seperti squat, deadlift, bench press, overhead press, clean, dan push press.

Kedua, untuk memudahkan lagi penurunan berat badan, anda mesti kena ada otot dahulu. Ini maksudnya, anda kena fokus pada bina otot dalam beberapa tahun pertama latihan, bukannya fokus untuk jadi kurus! Apabila anda fokus untuk jadi kuat dan berotot, anda akan tingkatkan metabolisme badan secara semula jadi kerana otot memerlukan tenaga untuk berfungsi. Pendek kata, semakin banyak otot anda ada, semakin cepat berat yang boleh anda turunkan!

Otot, Otot, Dan Otot Lagi!

Fokus entri ini adalah untuk mengatakan, semua orang boleh turunkan berat dengan mudah. Syaratnya, anda kena bina otot dahulu dan bina kekuatan. Apabila anda ada dua ini, turun naik berat badan sangat senang dilakukan. Saya tidak menyangka saya turun begitu banyak, dan saya harap saya dapat turun lagi perlahan sebenarnya. Saya tidak mengejar apa-apa lagi dalam masa terdekat. Sebab itu, saya sasarkan penurunkan 7-8kg dalam masa 6 bulan.

Mungkin sekali, lepas puasa ini, saya akan kembali dengan latihan biasa. Pemakanan sahaja dijaga seperti fasa cutting. Kemungkinan, saya akan naik 2-3kg. Kemudian, saya akan cuba kekalkan kekuatan atau bina lagi. Fokus saya adalah untuk membakar lemak secara perlahan-lahan. Saya juga akn masukkan latihan kardio. Ingat, kalau anda nak turun berat cepat, anda kena mulakan dengan bina otot dahulu!

Aiman Radzi

Berasal dari seorang yang bersaiz kecil dan pemalu, kini menjadi lebih kuat dan berani selepas bergiat aktif dalam dunia kecergasan. Aiman Radzi merupakan seorang pelajar Fisioterapi dan peminat sukan bina badan serta angkat berat. Beliau turut mempunyai sijil sebagai NASC Fitness Instructor dan sering terlibat dengan program kecergasan untuk orang awam. Beliau juga merupakan pengamal urutan sukan.

Bagi Aiman Radzi, bersenam bukan sekadar untuk menguatkan fizikal, tetapi turut untuk membina ketahanan mental. Minatnya dalam ilmu senaman dan rehabilitasi menjadikan beliau seorang yang bermotivasi tinggi ketika berlatih dan cekap dalam penstrukturan sistem latihan.

Facebook Twitter YouTube