Wanita Patut Makan Lebih Lemak Apr28

Kongsi

Wanita Patut Makan Lebih Lemak

Aiman Radzi - Wanita Patut Makan Lebih Lemak

Apabila kita hendak mencipta satu pelan pemakanan, khusus untuk diri kita, apa yang kita akan buat adalah mengukir pelan tersebut mengikut matlamat latihan, jadual atau masa terluang kita, kondisi kesihatan, alahan-alahan, pilihan kesukaan, cheat meal, dan macam-macam lagi. Tapi, jangan lupa juga untuk mengambil kira satu lagi faktor penting, iaitu jantina kita.

Wanita berbeza dengan lelaki (sudah semestinya). Kita dapat kesan perbezaan daripada segi fizikal, ketinggian dan berat badan normal, profil hormon, dan juga jisim otot dan lemak keseluruhan. Disebabkan perbezaan-perbezaan ini, anda kena ukir pendekatan anda mengikut kriteria tersendiri.

Kursus Kecergasan 2017

Sumber Tenaga

Secara umum, badan kita gemar menggunakan karbohidrat sebagai tenaga. Sebab itu, kita disarankan untuk mengambil karbohidrat yang banyak untuk kita berfungsi setiap hari, malah lebih lagi jika kita jenis yang suka bersenam dan bersukan lasak. Badan kita turut boleh menggunakan protein dan lemak sebagai sumber tenaga, di mana penggunaan lemak akan turut bergantung pada jantina.

Badan anda memilih sumber tenaga antara karbohidrat dan lemak melalui satu nisbah yang dipanggil respiratory exchange ratio (RER). Ringkasnya, mereka yang mempunyai nisbah RER yang tinggi akan lebih berharap pada karbohidrat sebagai sumber tenaga. Jika nisbah ini rendah, anda akan lebih menggunakan lemak. Nilai 0.85 dikira sebagai tengah-tengah.

Kajian Berkaitan

Kajian yang telah diterbitkan dalam beberapa jurnal seperti  Journal of Applied Physiology dan Journal of the International Society of Sport Nutrition mengatakan secara umum yang perempuan, rata-ratanya memiliki nilai RER yang rendah dalam kedua-dua jenis latihan (intesiti tinggi dan rendah). Ini memberi kita idea yang perempuan lebih cenderung untuk menggunakan lemak sebagai sumber tenaga.

Kenapa Begini?

Profil hormon wanita yang tinggi dengan hormon estrogen dan progesterone merupakan salah satu faktor kepada kecenderungan ini. Hormon-hormon tersebut mempengaruhi metabolisme karbohidrat dan lemak. Lebih tepat lagi, kedua-dua hormon ini meningkatkan pergantungan terhadap lemak sebagai sumber tenaga.

Semasa kitaran haid, profil hormon ini akan berubah sedikit tetapi kesan kepada metabolisme karbohidrat dan lemak tidak berubah secara drastik.

Ada kajian juga yang menyatakan wanita mempunyai simpanan lemak intra-otot  yang lebih banyak berbanding lelaki dan mereka akan berharap pada simpanan ini semasa mereka bersenam berdurasi panjang. Kenyataan ini diteguhkan dengan penemuan lama di mana perempuan, kebanyakannya memiliki otot jenis 1 (rujuk entri Jenis Otot dan Latihan). Otot jenis ini memiliki simpanan lemak intra-otot yang lebih tinggi. Lagi, satu hormon diberi nama HSL bertindak lebih tinggi dalam golongan wanita, dan hormon ini membantu dalam metabolisme lemak intra-otot.

Konklusi

Jangan takut untuk memakan lemak. Tetapi, ini tidak memberi anda lampu hijau untuk memakan semua benda yang berminyak, bersantan, dan macam-macam lagi. Apabila kita bercakap tentang memakan lemak, ini bermaksud memakan makanan berlemak sihat seperti buah-buahan, kekacang, dan beberapa pilihan makanan lain. Jadikan pengambilan lemak sekurang-kurangnya 20% daripada pengambilan kalori harian anda.

Rujukan:

Paul Salter, Reasons Women Should More Fat, Bodybuilding.com

Aiman Radzi

Berasal dari seorang yang bersaiz kecil dan pemalu, kini menjadi lebih kuat dan berani selepas bergiat aktif dalam dunia kecergasan. Aiman Radzi merupakan seorang pelajar Fisioterapi dan peminat sukan bina badan serta angkat berat. Beliau turut mempunyai sijil sebagai NASC Fitness Instructor dan sering terlibat dengan program kecergasan untuk orang awam. Beliau juga merupakan pengamal urutan sukan.

Bagi Aiman Radzi, bersenam bukan sekadar untuk menguatkan fizikal, tetapi turut untuk membina ketahanan mental. Minatnya dalam ilmu senaman dan rehabilitasi menjadikan beliau seorang yang bermotivasi tinggi ketika berlatih dan cekap dalam penstrukturan sistem latihan.

Facebook Twitter YouTube