Cara-cara Hendak Konsisten Menggunakan Teknik SMART

Motivasi merupakan salah satu penggerak kepada semangat untuk bersenam. Tanpa motivasi, kita akan lebih cenderung untuk tidak bersenam. Pelbagai alasan yang kita timbulkan untuk mengelak daripada kerja keras. Namun, secara logiknya, jikalau bukan dengan melalui kerja keras, bagaimana kita hendak mencapai matlamat? Kalau kejayaan tidak mewajibkan kerja keras, maka semua orang sudah berjaya.
Selain daripada motivasi, perancangan juga adalah sangat penting untuk mencapai sesuatu matlamat. Tanpa perancangan, kita akan lebih cenderung untuk gagal berbanding tanpa motivasi.
Terdapat satu pepatah mengatakan, “Sekiranya anda gagal untuk merancang, maka anda merancang untuk gagal.” Anda perlu merancang dengan rapi supaya matlamat kesukanan anda dapat dicapai. Salah satu kaedah yang terbaik untuk anda gunakan ialah SMART.
Apakah itu SMART?
SMART merupakan akronim kepada Specific, Measurable, Achievable, Relevant dan Time-bound. Mari kita pelajari satu per satu:
S: Specific
Anda perlu perincikan apa yang anda ingin capai. “Saya mahu badan yang cergas/fit” adalah satu matlamat yang umum. Sebaliknya, anda perlu perincikan lagi matlamat kepada pecahan-pecahannya seperti membuang lemak yang menggelebeh di lengan, berlari sejauh 10km dalam masa 20 minit, melakukan bench press dengan beban 150kg sebelum tahun 2024 dan sebagainya.
Anda perlu jelas dan spesifik dengan “kenapa” anda melakukan sesuatu. Dalam konteks ini ialah kecergasan. Kenapa ada ke gim? Apa yang hendak ingin capai? “Apa” yang anda ingin capai itu pula perlu terperinci. Setiap kali ke gim, apa matlamat kecil anda? Dalam jangka masa yang panjang, apa matlamat anda? Matlamat perlu jelas dan khusus.
M: Measurable
Matlamat anda mestilah boleh diukur dengan khusus. Apabila anda mempunyai matlamat yang terperinci, maka itu akan membawa kepada akronim kedua, iaitu measurable atau kebolehukuran. Anda perlu khususkan lagi, kalau anda mahu menurunkan berapa badan, berapa kg yang anda hendak capai? Dalam masa seminggu pula, berapa kg anda mahu turunkan berat badan? Semua itu perlu diukur.
Anda juga boleh manfaatkan alat untuk mengukur benda-benda begini seperti aplikasi di telefon bimbit.
A: Achievable
Kebolehcapaian. Pastikan matlamat yang anda tetap itu secara realistiknya boleh dicapai. Janganlah anda menetapkan sesuatu yang tidak masuk akal. Itu akan menghampakan anda sahaja. Bagaimana anda hendak tahu bahawa sesuatu itu logik dicapai atau tidak?
Pertama, anda perlu profilkan diri anda. Anda perlu tulis berat badan, tinggi, berapa kali anda bersenam seminggu, apa yang anda selalu makan dan sebagainya. Semua ini menjadi penentu kepada adakah sesuatu matlamat yang anda tetapkan itu boleh dicapai atau tidak dalam satu garis masa. Kalau anda tidak mengurangkan pengambilan makanan yang tidak sihat, maka mustahillah anda hendak menurunkan berat badan dalam masa yang cepat.
Lakukan profiling diri!
R: Relevant
Pastikan apa yang anda hendak capai itu betul-betul menyumbang kepada diri anda. Anda perlu abaikan mana-mana yang tidak perlu. Dalam sesuatu perancangan, anda perlu padamkan mana-mana yang tidak menyumbang kepada matlamat anda. Tetapkan mana-mana yang relevan sahaja.
Contohnya, dalam anda bersenam, anda juga pastikan bahawa setiap matlamat anda ini benar-benar menyumbang kepada keseluruhan hidup anda, bukan semata-mata pada kecergasan sahaja, tetapi juga kepada disiplin, pengurusan stres, kesihatan mental dan sebagainya. Hidup manusia ini bukanlah hanya tertumpu pada satu aspek sahaja. Namun, macam-macam aspek yang akan terlibat. Pastikan anda memberi tumpuan kepada yang relevan!
T: Time-bound
Setiap perancangan mesti ada penghujungnya. Kalau anda ada matlamat, tetapi tidak ada tarikh akhir, maka bila masanya anda hendak pastikan sejauh mana anda telah mencapai kemajuan? Tarikh akhir adalah sangat penting untuk menjayakan sesuatu perancangan. Tarikh akhir itulah menentukan sama ada kita telah mencapai matlamat atau tidak. Tarikh akhir itu jugalah membuatkan kita konsisten dan berdisiplin untuk bekerja keras.
Kesimpulan
SMART membantu anda untuk mensistematikkan perancangan anda supaya anda dapat mencapai matlamat anda mengikut masa yang anda mahu. SMART juga meletakkan anda di posisi yang realistik untuk mencapai matlamat anda. Maka, SMART tidak wajar diabaikan dalam mana-mana perancangan kecergasan di gim. Amalkan teknik ini supaya tindakan anda mempunyai hala tuju yang jelas.
Ini merupakan lima artikel yang anda boleh baca untuk meningkatkan motivasi mengangkat berat:
- Motivasi dalam Sukan
- Motivasi dan Demotivasi
- Apakah Motivasi Anda?
- 10 Cara Memotivasikan Diri
- Kekal Motivasi