Cara-cara Tingkatkan Stamina Selain Joging
Apabila kita bercakap tentang meningkatkan stamina, pasti kita akan bercakap juga tentang joging. Siapa-siapa yang mahu meningkatkan stamina, pasti disuruh joging. Namun, adakah dengan joging sahaja boleh meningkatkan stamina? Mari kita lihat senaman-senaman lain yang mampu meningkatkan stamina selain joging.
Apakah itu Stamina?
Kata Lucas Keating, stamina ialah ketahanan fizikal dan mental dalam situasi yang sangat intens. Seseorang dikatakan mempunyai stamina yang tinggi bilamana dapat bertahan dalam jangka masa yang lama bagi pergerakan yang berintensiti tinggi. Contohnya, pemain bola sepak, seni bela diri, berenang, ragbi, berbasikal dan sebagainya.
Mudah kata, stamina ialah mampu bertahan dengan lama tanpa cepat penat. Ini adalah sangat diperlukan bagi ramai atlet. Mereka perlu memberikan keupayaan maksimum dalam permainan, namun ini tidak boleh dicapai sekiranya stamina mereka rendah.
Jadi, apakah perbezaan antara stamina dan endurance (ketahanan)?
Sebenarnya, perbezaan antara dua ini sangatlah halus. Bahkan, sesetengah sarjana menyamakan sahaja konsep dua istilah ini. Namun, menurut Debbie Luna, stamina adalah apabila kita mampu mempersembahkan prestasi maksimum dalam satu jangka masa, manakala endurance ialah berapa lama kita mampu bertahan.
Berdasarkan ini sahaja, kita dapat faham bahawa stamina lebih tertumpu kepada keupayaan maksimum atlet. Berapa efisien seseorang atlet ini boleh mempersembahkan kemampuan maksimum fizikalnya? Berapa efektif oksigennya dapat dibawa ke otot-otot yang bekerja? Berapa cepat badannya pulih daripada kelesuan?
Kalau endurance pula, berapa lama badan boleh bertahan? Tidak kiralah dengan kemampuan maksimum atau tidak, tetapi berapa lama? Contohnya, pelumba maraton. Ketahanan badan mereka ini sering dikaitkan dengan istilah endurance kerana mereka tidak perlu bergerak secara maksimum, melainkan sederhana sahaja, cuma mereka akan mengukur jarak dan masa mereka berlari. Coach Morako, selaku pelumba maraton ada membincangkan hal ini dalam artikelnya: 3 Fasa Utama Latihan Asas Aerobik – Ke Arah Meningkatkan Stamina.
Sekarang, ayuh kita lihat satu per satu senaman yang boleh dilakukan selain daripada joging:
Latihan Berjeda Keamatan Tinggi (HIIT)
Menurut Zaki Khan dan Aiman Radzi, HIIT ialah senaman berintensiti tinggi yang berselang-seli antara beberapa senaman dalam jangka masa tertentu. HIIT ini pula berorientasikan masa berbanding repetisi. Contohnya, 50 saat tekan tubi, 10 saat rehat, 50 saat lompat bintang, 10 saat rehat, 50 saat squat dan seterusnya sehinggalah habis satu pusingan, iaitu selama 30 minit. HIIT ini sangat memenatkan kerana melibatkan seluruh badan dan kemampuan maksimumnya. Nama pun keamatan tinggi, maka setiap senaman yang berselang-seli itu perlu dilakukan sepantas dan seefisien yang mungkin.
Ashish Sharma, Narendra Yadav dan Abishek Kumar menghasilkan satu kertas kerja yang mendapati HIIT membawa banyak manfaat kepada pengamalnya seperti pembakaran kalori yang banyak, peningkat stamina dan signifikan dan sebagainya. Menurut pengkaji, HIIT sekurang-kurang perlu dilakukan dua kali seminggu.
Angkat Berat
Terdapat satu kajian yang dilakukan oleh Bent R. Ronnestad dan Inigo Mujika meneliti kesan langsung angkat berat terhadap prestasi sukan yang berasaskan stamina seperti berlari dan berbasikal. Kajian mendapati senaman angkat berat memberi kesan yang signifikan kepada peningkatan stamina kerana otot mampu bertahan sesuatu tekanan dalam satu jangka masa yang lebih panjang. Ini dapat dicapai melalui sesi latihan di dalam gim.
Mesin Rowing
Hakikatnya, mesin rowing lebih menyeluruh berbanding berlari kerana melibatkan seluruh badan, kata Peloton. Ini tidaklah bermakna mesin rowing lebih utama berbanding berjoging, tetapi bergantung pada matlamat kita masing-masing. Seeoloknya, kita lakukan variasi dalam latihan kita supaya dapat mencapai manfaat secara maksimum.
Kesimpulan
Demikian tiga alternatif yang kita boleh lakukan untuk meningkatkan stamina badan. Seperti yang dikatakan sebelum ini, variasi adalah yang terbaik supaya badan input yang lebih menyeluruh.