Diet Hormon – Benarkan Hormon Boleh Diset Semula?

Sejarah Diet Hormon
Pengasas
Dr. Natasha Turner adalah seorang doktor naturopati terkenal yang mempunyai minat dalam perubatan holistik dan mengkaji mengenai kesan hormon dalam tubuh manusia. Beliau telah menulis beberapa buku mengenai topik tersebut, termasuk buku yang berjudul The Hormone Diet: A 3-Step Program to Help You Lose Weight, Gain Strength dan The Hormone Boost: How To Power Up Your 6 Essential Hormones For Strength, Energy and Weight Loss.
Diet hormon
Penulis menerangkan kepentingan keseimbangan hormon di antara semua hormon yang mempengaruhi berat badan. Dr. Natasha Turner percaya bahawa hormon memainkan peranan penting dalam mengawal berat badan, tahap tenaga, dan keadaan kesihatan secara keseluruhan. Konsep diet hormon ini merangkumi tiga langkah utama iaitu:
1- Mengenal pasti masalah hormon
Langkah pertama dalam diet hormon adalah mengenal pasti masalah hormon individu melalui ujian atau analisis kesihatan. Ini mungkin termasuk mengukur tahap hormon seperti insulin, kortisol, estrogen, progesteron, dan hormon tiroid.
2 – Mempertimbangkan pemakanan
Setelah masalah hormon dikenal pasti, langkah seterusnya adalah melaksanakan pemakanan yang sesuai untuk mengimbangi hormon. Pemakanan yang tepat dapat membantu mengurangkan keradangan dalam tubuh dan meningkatkan tahap tenaga serta memastikan hormon berfungsi dengan baik.
3- Mengambil langkah-langkah tambahan
Di samping pemakanan, diet hormon juga mungkin melibatkan penggunaan suplemen, perubahan gaya hidup, dan pengurusan stress untuk membantu keseimbangan hormon secara semulajadi.
Selain itu, perubahan tabiat gaya hidup perlu dibuat untuk membantu meningkatkan hormon untuk membakar lemak iaitu:
- Gaya pemakanan
- Kualiti Tidur
- Menguruskan tekanan
- Bersenam
Cara Diet Hormon
Fasa Pertama – detoks
Perlu elakkan makanan seperti
- Alkohol
- Kafein
- Gula
- Daging merah
- Susu lembu
- Produk tenusu
Makanan yang boleh diambil
- Lebihkan buah-buahan dan sayur-sayuran,
- Ayam
- Ikan
- Telur
- Produk tenusu daripada biri-biri dan kambing
- Susu tumbuhan
Fasa Kedua
Pendiet mesti memotong makanan yang diproses, diet potong gula, gluten dan pemanis tiruan. Disebalik diet ini adalah pengurangan dalam produk makanan yang biasanya tinggi kalori dan rendah nilai pemakanan, seperti alkohol, makanan tinggi gula dan makanan diproses. Diet juga menggalakkan makanan seperti sayur-sayuran, ikan dan buah-buahan, yang meningkatkan pengambilan serat untuk sistem penghadaman dan menyediakan badan dengan pelbagai vitamin dan mineral yang melakukan banyak fungsi badan yang diperlukan untuk kesihatan dan kesejahteraan keseluruhan.
Fasa Ketiga
Langkah ketiga melibatkan peningkatan dalam latihan kardiovaskular dan kekuatan. Senaman diperlukan untuk meningkatkan pembakaran kalori bersama-sama dengan manfaat kesihatan yang lain.
Menu diet hormon
Berbeza-beza untuk setiap individu berdasarkan keperluan hormon mereka, tetapi secara amnya ia akan menekankan makanan yang rendah gula, rendah karbohidrat, tinggi protein, serta kaya dengan lemak sihat dan serat. Ini mungkin termasuk makanan seperti sayur-sayuran hijau, protein tanpa lemak seperti ayam dan ikan dan lemak sihat dari sumber seperti avokado minyak zaitun, dan kekacang.
Keberkesanan diet hormon
Bukti kejayaan diet hormon oleh Dr. Natasha Turner mungkin berdasarkan pengalaman peribadi pesakit-pesakitnya atau kajian klinikal yang dilakukan olehnya. Bagaimanapun, adalah penting untuk diingat bahawa setiap pendekatan pemakanan adalah peribadi dan apa yang berkesan bagi seseorang mungkin tidak berkesan bagi orang lain. Secara amnya, diet hormon yang disyorkan dalam buku ini bukanlah nasihat pemakanan yang buruk. Tetapi jika kita faham, sebarang penurunan berat badan adalah disebabkan perubahan dalam pengambilan kalori, bukannya kesan pada hormon.
Benarkah gemuk sebab hormon?
Apa itu hormon?
Hormon adalah isyarat kimia yang mencetuskan semua tindakbalas dalam badan. Seperti contoh hormon insulin, untuk bawa masuk gula dalam darah. Haid, kehamilan, penyusuan susu ibu semua terhasil dari tindakbalas hormon. Termasuk rasa kenyang dan lapar juga tindakbalas hormon.
Bagaimana hendak mengaitkan hormon dengan metabolisme rendah atau tinggi seseorang?
Metabolisme adalah sebarang proses yang terjadi badan secara ringkasnya membakar kalori seperti penghadaman, pertumbuhan, baiki dan bina sel otot, regulasi suhu badan dan sebagainya. Melibatkan hormon yang pelbagai. Adakah 1 hormon yang menaikkan dan menurunkan metabolisme. Tiada. Lagi banyak proses, lagi banyak bakar kalori.
Adakah perubahan hormon merendahkan metabolisme?
Tidak. Sebagai contoh proses haid, proses kehamilan, proses penyusuan ibu, semuanya membakar lebih kalori untuk proses itu terjadi. Tiada mungkin hormon mengurangkan pembakaran kalori.
Tetapi kenapa mereka yang ada ‘ganguan’ ketidakseimbangan hormon atau terapi hormon biasanya mengalami kenaikan berat badan? kerana biasanya disebabkan tidak boleh kawal makan oleh isu binge eating, craving dan stress. Kenaikan berat badan tetap disebabkan pengambilan kalori yang berlebihan.
Bagaimana hormon menyebabkan peningkatan berat badan?
1- Insulin
Insulin pada dasarnya tidak menyebabkan penambahan berat badan atau kegemukan secara langsung. Sebaliknya, kegemukan terjadi apabila seseorang mengambil lebih banyak kalori dari yang keperluan. Namun, peranan insulin dalam metabolisme glukosa boleh menyebabkan kegemukan apabila mengalami kerintangan insulin, sel-sel tubuhnya tidak bertindakbalas insulin dengan baik, sehingga glukosa tinggi dalam darah. Keadaan ini menyebabkan tubuh menghasilkan lebih banyak insulin untuk menurunkan kadar glukosa dalam darah.
Jika seseorang mengambil kalori berlebihan, terutama dalam bentuk karbohidrat ringkas dan menyebabkan kenaikan glukosa darah cepat, insulin akan membantu menyimpan lebihan glukosa sebagai lemak dalam tubuh. Selain itu, makan makanan tinggi indeks glikemik tinggi atau makanan manis menyebabkan roller-coaster insulin menyebabkan rasa lapar lebih cepat dan keinginan untuk makan lebih banyak makanan tinggi kalori.
2 – Ghrelin
Ghrelin lebih popular dengan gelaran hormon lapar, memberi kesan orexigenic (merangsang selera makan), peningkatan pengambilan makanan dan peningkatan simpanan lemak. Ketika perut kosong, penghasilan ghrelin akan meningkat, mengirimkan isyarat ke otak untuk merasa lapar dan menggerakkan orang untuk mencari makanan. Sebaliknya, ketika seseorang telah makan, tahap ghrelin akan menurun, dan hal ini membantu memberi isyarat ke otak untuk merasa kenyang. Oleh itu, ia memainkan peranan dalam meransang selera makan, kekerapan makan, dan kelaparan, mempengaruhi tidur, mengawal motilitas gastrik dan memodulasi fungsi pankreas.
3- Leptin
Leptin adalah hormon kenyang, kita tidak mungkin gemuk sebab hormon leptin, tetapi disebabkan ‘kerintangan leptin’. Akibatnya, isyarat kenyang dari leptin tidak diterima oleh otak secara efektif, jadi orang tersebut menjadi kurang sensitif terhadap perasaan kenyang. Ini menyebabkan nafsu makan yang tidak boleh dikawal dan orang cenderung makan lebih banyak daripada yang sepatutnya. Ia juga disebabkan ketidakseimbangan hormon leptin bekerja dalam hubungannya dengan hormon lain, termasuk ghrelin dan insulin. Ketidakseimbangan antara hormon-hormon ini dapat menyebabkan pengambilan kalori berlebihan.
4- Kortisol
Kortisol adalah hormon steroid adrenal yang mengawal tindak balas penyesuaian kepada pelbagai jenis tekanan. Stress dan kadar kortisol yang tinggi dapat mempengaruhi nafsu makan dan tabiat makan seseorang. Ramai orang lebih cenderung untuk makan berlebihan dan mencari makanan tinggi kalori dan tinggi lemak ketika mengalami stres sebagai cara untuk mengatasi emosi yang tidak menyenangkan.
KESIMPULAN
Jadi apa yang perlu anda lakukan untuk turunkan berat?
Cuma jawapan klasik.
Defisit kalori dari diet dan senaman.
RUJUKAN
-
The Hormonal Control of Food Intake, PMID: 17448988
- Pre- and post- prandial appetite hormone levels in normal weight and severely obese women
-
A Review of Weight Control Strategies and Their Effects on the Regulation of Hormonal Balance, PMID: 21822485
Terbaik perkongsian