Diet Tinggi Protein dan Kesihatan Buah Pinggang
Di Malaysia, >50.1% daripada populasi memenuhi kriteria untuk menjadi obes atau berat badan berlebihan. Dalam konteks ini, minat yang semakin meningkat dalam diet rendah karbohidrat dan diet tinggi protein telah muncul sejak kebelakangan ini.
Populariti semula diet rendah karbohidrat dan tinggi protein dipromosi di media sosial sebagai cara yang berkesan untuk penurunan berat badan dan kawalan glisemik yang lebih baik. Bagi pesakit CKD (kerosakan buah pinggang kronik) atau berisiko CKD, pengambilan protein diet yang tinggi, termasuk protein haiwan, mungkin mempunyai kesan buruk terhadap fungsi buah pinggang dan kesihatan buah pinggang jangka panjang. Artikel kali ini memfokuskan pada kemungkinan akibat pengambilan protein diet tinggi terhadap kesihatan buah pinggang.
World Health Organization (WHO) mensyorkan pengambilan protein sebanyak 0.83 g/kg sehari. (1) Walaupun terdapat kekurangan konsensus mengenai definisi formal diet tinggi protein namun kebanyakan kajian menetapkan pengambilan protein tinggi diet di ambang antara 1.2 dan 2.0 g/kg sehari. Dalam julat ini, penggunaan protein >1.5 g/kg sehari secara amnya dianggap sebagai diet protein tinggi. Data daripada Tinjauan Pemeriksaan Kesihatan dan Pemakanan Kebangsaan (NHANES) menunjukkan bahawa purata penggunaan protein semasa di Amerika Syarikat dianggarkan kira-kira 1.2–1.4 g/kg sehari.(1)
Kajian oleh Ko et al melaporkan yang pengambilan protein diet yang tinggi boleh menyebabkan hipertensi intraglomerular, yang boleh mengakibatkan hiperfiltrasi buah pinggang, kecederaan glomerular dan proteinuria. Kajian oleh Ko et al juga melaporkan yang ada kemungkinan pengambilan protein tinggi jangka panjang boleh menyebabkan penyakit ginjal kronik. Kualiti protein pemakanan juga mungkin memainkan peranan dalam kesihatan buah pinggang. Berbanding dengan protein daripada sumber tumbuhan, protein haiwan telah dikaitkan dengan peningkatan risiko kegagalan ginjal. (2)
Mediator yang berpotensi dalam kerosakan buah pinggang daripada protein haiwan termasuk beban asid diet, kandungan fosfat, dysbiosis mikrobiom usus, dan keradangan atau infeksi. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Ko et al pengambilan diet tinggi protein untuk pengurangan berat badan atau kawalan glisemik harus dipertimbangkan dengan berhati-hati bagi mereka yang berisiko tinggi untuk penyakit buah pinggang.(2)
Bukan itu sahaja, malahan secara mekanikal pengambilan protein yang tinggi boleh menyebabkan peningkatan dalam jumlah dan berat buah pinggang pada manusia, yang ditunjukkan dalam model tetikus sebagai pengembangan matriks mesangial dengan fibrosis tubulointerstitial.(3)
Walaupun penyelidikan tidak menjelaskan sepenuhnya mekanisme tepat bagi hiperfiltrasi glomerular yang disebabkan oleh protein, ia dianggap berlaku sebagai mekanisme maklum balas evolusi yang memudahkan perkumuhan peningkatan jumlah sisa nitrogen yang berasal dari protein. (3, 4)
Faktor lain yang dicadangkan sebagai mekanisme asas untuk memudahkan peningkatan perkumuhan sisa nitrogen termasuk perubahan dalam mediator endokrin (cth., glukagon dan IGF-1), yang membawa kepada vasodilasi, dan perubahan dalam tindak balas neurohormonal (iaitu, maklum balas tubuloglomerular) dalam buah pinggang.(3)
Menurut Cadangan Pengambilan Nutrien Malaysia (RNI Malaysia 2018), keperluan protein bagi purata orang dewasa Malaysia ialah 10-20% daripada jumlah pengambilan tenaga. Purata orang dewasa Malaysia memerlukan 1 gram protein setiap kilogram berat badan setiap hari. (5)
Jika anda ingin mengambil diet tinggi protein yang melebihi cadangan RNI Malaysia maka dinasihatkan agar orang awam mendapatkan konsultasi dari dokter atau pakar pemakanan. Orang ramai juga digalakkan untuk melakukan pemeriksaan kesihatan untuk memantau kesihatan buah pinggang setiap 6-12bulan bergantung kepada kesihatan dan sejarah penyakit individu masing-masing.
1. Organization WH, University UN. Protein and amino acid requirements in human nutrition: World Health Organization; 2007.
2. Ko G-J, Rhee CM, Kalantar-Zadeh K, Joshi SJJotASoNJ. The effects of high-protein diets on kidney health and longevity. 2020;31(8):1667.
3. Björnson Granqvist A, Ericsson A, Sanchez J, Tonelius P, William-Olsson L, Dahlqvist U, et al. High-protein diet accelerates diabetes and kidney disease in the BTBR ob/ob mouse. 2020;318(3):F763-F71.
4. Kalantar-Zadeh K, Fouque DJNEJoM. Nutritional management of chronic kidney disease. 2017;377(18):1765-76.
5. Ng AK, Hairi NN, Jalaludin MY, Majid HAJBo. Dietary intake, physical activity and muscle strength among adolescents: the Malaysian Health and Adolescents Longitudinal Research Team (MyHeART) study. 2019;9(6):e026275.