Hati-hati! Penipuan Produk Makanan Tambahan

Industri makanan tambahan mencecah 157.22 billion USD pada tahun 2021. Dijangka mencecah 340.62 billion USD menjelang 2030 menurut laporan yang diterbitkan dalam The Brainy Insights.
Semakin lama, semakin banyak lambakan syarikat pengeluar makanan tambahan di dunia, termasuk di Malaysia. Setiap pengeluar kata, produk mereka terbaik.
Bagaimana mereka menipu?
Penipuan paling besar berlaku adalah apa kita panggil sebagai ‘nitrogen/protein spiking‘. Mereka masukkan bahan murah untuk keluarkan tuntutan produk mereka tinggi protin.
Asid amino yang murah seperti glycine dan taurine dimasukkan berlebihan. Asid amino non-proteinogenic seperti creatine, beta-alanine dan hydroxyproline juga dimasukkan berlebihan. Bila buat ujikaji lab untuk kandungan nitrogen, hasilnya tinggi. Kesemua asid amino dikira sebagai protin walaupun ia tak bantu bina otot.
Sebagai contoh, label di luar tunjuk 25 gram protin setiap hidangan, dalam masa sama ada 5 gram creatine dan 5 gram beta-alanine. Tak masuk glycine dan taurine lagi. Daripada 25 gram di label, tolak 5 gram creatine dan 5 gram beta-alanine, dapat 15 gram protin sahaja sebenarnya.
Produk itu jadi lebih mencurigakan apabila tidak menunjukkan maklumat lengkap di dalam fakta nutrisi. Kebiasaanya leucine tidak dilabelkan berapa gram. Leucine tidak sepatutnya lebih 11 peratus daripada jumlah protin setiap hidangan. Leucine merupakan pemula sintesis protin dalam badan kita.
Satu lagi yang patut dilihat adalah kandungan BCAA. BCAA atau nama penuhnya Branched Chain Amino Acids adalah 3 amino iaitu leucine, isoleucine dan valine. Kandungan BCAA sepatutnya 20 hingga 25 peratus daripada setiap hidangan. Sekiranya saiz hidangan 25 gram protin, BCAA sepatutnya antara 5 hingga 7.5 gram.
Banyak protin whey dalam pasaran sekarang termasuk dalam pasaran tempatan. Ada sebahagian mencurigakan. Sebagai contoh, dakwa 1 hidangan 30 gram ada 30 gram protin. Sesuatu yang tidak masuk akal. Ada juga harga terlalu murah dibandingkan dengan harga pasaran. Ada yang rasa seperti minuman milo.
Protin whey konsentrasi boleh didapati daripada 25 hingga 89 peratus protin tulen. Ada pengeluar yang letak sekitar 30 peratus sahaja protin konsentrasi. Jadi selain protin, ada bahan tambahan lain seperti laktosa, lemak dan sebagainya yang badan tak perlukan. Periksa label dan pastikan konsentrasi protin cecah sekurang-kurang 80 peratus.
Ada juga penipuan menggunakan campuran protin whey konsentrasi, isolasi dan hydrolyzed. Kandungan protin whey konsentrasi paling tinggi dengan hanya sedikit whey isolasi dan hydrolyzed. Tapi menaikkan nama protin yang sedikit supaya nilai produk bertambah. Sama kes seperti telur tinggi omega, berapa peratus omega yang dimaksudkan? Hati-hati dengan perkataan protein blend atau proprietary blend pada label. Kebanyakan bertujuan menyembunyikan kuantiti sebenar kandungan.
Ada juga pengeluar tempatan kata produk luar negara tapi sebenarnya daripada sini, demi melariskan produk.
Rujukan