Kuat Bersukan Tetapi Akademik Lemah

Beliau bukan sekadar jaguh skuasy, tetapi cemerlang dalam akademik juga

Mengapa?

Orang yang kuat bersukan atau selalu terlibat dalam aktiviti kesukanan selalu dikaitkan dengan kelemahan dari segi akademik.

Hal ini dibangkitkan oleh Datuk Sieh Kok Chi, bekas Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Negara (MOM) pada tahun 2018.

Menurut beliau, sekolah sukan patut mengimbangkan sukan dengan akademik. Kita tidak mahu melihat lepasan sekolah sukan menjadi pekerja di kilang, pemandu lori dan sebagainya.

Tidak kena dengan kelayakan status lepasan sekolan sukan. Bukannya pekerjaan-pekerjaan itu hina sifatnya. Bukan.

Kita hendak melahirkan lebih ramai lepasan sekolah sukan seperti Datuk Nicol Ann David. Beliau bukan sekadar hebat di gelanggang, tetapi hebat juga dalam akademik.

Beliau mendapat keputusan cemerlang 7A bagi SPM. Bukan biasa-biasa bagi seorang lepasan sekolah sukan bilamana aktif bermain skuasy pada ketika itu.

Pergi ke kejohanan sana sini. Walapun beliau sibuk dengan aktiviti skuasynya, beliau tetap cemerlang dalam akademik.

Jadi, di manakah silapnya?

Seorang ahli psikiatri di Universiti Harvard, John J. Ratey pernah melakukan kajian MRI untuk melihat hubungan antara sukan dan mental.

Hal ini beliau muatkan dalam bukunya Spark: The Revolutionary New Science of Exercise and the Brain.

Beliau mendapati, memang ada hubungan antara sukan dengan mental bahagian hippocampus, yakni bahagian otak yang signifikan menjalan fungsi kognisi dan pembelajaran.

Jadi, mereka yang bersukan akan mendapati lebih mudah untuk menyerap pengetahuan sebetulnya. Mereka lebih mudah faham. Mereka lebih kreatif dan inovatif.

Terlalu banyak kajian yang dilakukan memperlihatkan aktiviti sukan dapat meningkatkan prestasi akademik. Hal ini kerana mereka lebih cerdas.

Kita selalu mendengar, badan cergas minda cerdas, bukan?

Hal ini bukanlah sekadar kata-kata, tetapi ia fakta biologi. Memang otak kita makin cerdas selepas bersukan.

Tetapi, perkara yang sebaliknya berlaku di Malaysia. Satu kajian dibuat di UiTM Shah Alam. Kertas kerjanya bertajuk Academic achievement and sports involvement of Malaysian university athletes.

Kajian ini ingin melihat hubungan penglibatan sukan dan pencapaian akademik para pelajar di UiTM Shah Alam.

Kajian tersebut mendapati, tidak ada hubungan yang signifikan antara penglibatan sukan dan pencapai akademik.

Pada mereka (para pengkaji), yang bagus dari segi akademik itu bukan sebab sukan sangat, tetapi mereka sudah sedia bagus dari segi pengurusan masa dan sebagainya.

Namun, hal ini penulis tidak setuju. Sebab, melalui sukan jugalah mereka boleh belajar menguruskan masa. Melalui sukan mereka belajar memupuk sifat kepimpinan.

Kajian ini bercanggah dengan kajian-kajian antarabangsa seperti di Universiti Chicago dan sebagainya.

Kajian di Amerika Syarikat banyak mendapati memang ada hubungan yang signifikan antara sukan dengan akademik.

Orang yang bagus dalam sukan pasti bagus juga dalam akademik. Melalui sukan mereka lebih aktif, cerdas, berani, strategis dan sebagainya.

Namun, mengapa perkara yang berbeza berlaku di Malaysia? Ini pendapat penulis.

Tidak nampak kepentingan akademik

Para pelajar sukan atau di sekolah sukan tidak nampak kepentingan untuk berjaya dalam akademik. Pada mereka, seolah-olah mereka sudah ada masa depan dalam sukan.

Jadi, untuk apa berjaya dalam akademik lagi? Berjaya satu benda sahaja sudahlah.

Hal ini tidak betul. Akademik bukan sekadar untuk kerjaya selepas sekolah atau selepas universiti.

Akademik membantu seseorang untuk meningkatkan daya kognitif ke aras yang lebih tinggi dan matang.

Untuk menjadi atlet yang berjaya, daya pemikiran juga harus bertahap antarabangsa. Hal ini boleh dicapai melalui akademik.

Hendak menjadi atlet berjaya, mesti bijak. Mesti ada world-class mindset. Hal ini dicapai melalui akademik. Sebab itu ia perlu seimbang.

Kekuatan berhujah seseorang dibina melalui akademik. Pentingkah kekuatan berhujah?

Penting, sebab untuk melahirkan atlet yang strategis, mesti ada daya penaakulan yang tinggi.

Bukan semata-mata ikut kata jurulatih. Diri sendiri mesti ada kemampuan kognitif untuk membuat keputusan sendiri.

Bukan sekadar dalam perlawanan sebenar, tetapi untuk latihan dan sebagainya.

Rujukan

  1. ‘Baiki’ sistem sekolah sukan. https://www.hmetro.com.my/utama/2018/10/387919/baiki-sistem-sekolah-sukan
  2. Academic achievement and sports involvement of Malaysian university athletes. https://www.sciencedirect.com/science/article/pii/S1877042813046478?ref=pdf_download&fr=RR-2&rr=73a9cb675bf3a3e6
  3. School Sports Participation and Academic Achievement in Middle and High School. https://www.journals.uchicago.edu/doi/full/10.1086/693117#:~:text=Results%20indicate%20that%20school%20sports,225)%20on%20academic%20achievement.
  4. The Link Between Sports and Academic Performance. https://www.fnu.edu/the-link-between-sports-and-academic-performance/
Sadiq Salihoddin

Saya seorang penulis yang meminati sukan-sukan yang berorientasikan kekuatan (strength). Saya juga seorang atlet profesional gusti lengan yang bertapak di Kuala Lumpur. Saya menulis adalah untuk berkongsi pengetahuan. Saya berharap, perkongsian ilmu dengan cara begini secara tidak langsung dapat memperkembangkan literasi dalam bidang sains sukan umumnya. Selamat membaca!

Facebook 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Share This
error: