Latihan Beban Ketika Berpuasa di Bulan Ramadan

Melakukan latihan beban di bulan Ramadan perlu kepada rutin latihan yang realistik dan selamat

Pada bulan Ramadan, bagi orang yang beragama Islam, mereka dilarang untuk makan dan minum dari terbit fajar sehingga matahari terbenam. Mudahnya, bermula dari waktu Subuh sehingga Maghrib, orang Islam dikehendaki untuk tidak melakukan sebarang perkara yang boleh membatalkan puasa.

Bagi mereka yang melakukan latihan beban, bagaimana untuk terus konsisten dengan rutin latihan beban meskipun sedang berpuasa? Artikel ini akan menelusuri persoalan tersebut.

Sekiranya kita tidak melalukan latihan beban langsung, adakah otot kita akan semakin mengecil?

Jawabnya, bergantung. Boleh jadi ia mengecil, boleh jadi ia tidak ada perubahan secara ketara. Seorang penulis bidang bina badan, Alexander Juan Antonio Cortes pernah menegaskan bahawa ia bergantung kepada bagaimana kita berlatih dan mengangkat berat. Sekiranya kita berlatih sudah lama, maka lamalah juga otot kita untuk mengecil dalam masa sebulan. Sekiranya baru sahaja berlatih, sudah pasti otot kita cepat mengecil.

Ia bergantung kepada kebiasaan volume latihan kita. Sekiranya kita biasa dengan latihan volume tinggi, maka otot kita lebih lama bertahan dalam bentuk sedia ada. Sekiranya kita tidak melakukan senaman volume tinggi, maka otot kita mudah mengecil apabila sudah tidak melakukan latihan beban lagi.

Jadi, dinasihatkan, di luar bulan Ramadan, jangan lupa untuk membahagikan latihan beban kita kepada beberapa metode latihan. Ada waktunya kita melakukan metod kekuatan, ada waktu lain juga kita melakukan latihan beban dengan pengulangan tinggi untuk meningkatkan ketahanan otot. Ini semua dapat membantu untuk mengekalkan prestasi otot buat masa yang lebih lama. Jangan hanya bergantung kepada latihan strength sahaja. Variasikan dengan volume tinggi.

Tetapi, jangan lupa kepada diet. Sekiranya pada bulan Ramadan ini kita banyak makan dan sebagainya, hal itu juga akan memberi kesan kepada fizikal kita. Kalau kita hendak mengekalkan saiz otot, maka pengambilan kalori tidaklah boleh lebih berbanding yang sepatutnya sekiranya kita tidak melakukan latihan beban. Pengambilan kalori secara berlebihan tanpa disertakan dengan latihan beban akan menghilangkan bentuk otot yang telah dibina selama ini. Maka, kita wajib lihat pengambilan kalori kita berapa. Kekalkan dalam linkungan pengambilan kalori harian kita.

Jikalau kita mahu melakukan latihan beban juga pada bulan Ramadan, bilakah waktu yang sesuai?

Waktu yang sesuai semestinya selepas kita berbuka puasa. Sekiranya kita melakukan latihan beban ketika kita sedang berpuasa, badan kita akan menjadi lesu dan tidak bermaya. Kesan daripada itu, ia susah hendak berkembang dengan latihan yang telah dilakukan. Sebab apa? Sebab, tidak ada kemasukan bahan makanan atau minuman yang boleh memberikan tenaga dan protein yang cukup kepada otot yang telah penat bekerja. Tanpa protein yang cukup, masakan otot kita mampu berkembang dan bertumbuh.

Ketika berpuasa, disarankan juga untuk melakukan latihan yang pendek tetapi intensiti yang sama dengan prestasi biasa. Contohnya, kita biasa mengangkat beban 20kg, maka ketika berpuasa, beban dengan seberat itu jugalah yang patut kita angkat, tetapi pengulangannya perlu dikurangkan supaya kita tidak terlalu lesu kerana kita sedang berpuasa. Hal ini dapat mengekalkan intensiti pada otot meskipun volumenya agak rendah. Setidak-tidaknya, intensiti yang sama diberikan kepada otot. Maka, otot akan tetap mengadaptasi dengan beban. Selepas habis bulan puasa, bolehlah melakukan latihan dengan volume tinggi kembali untuk memenuhi kekurangan latihan ketika sebulan berpuasa.

Kesimpulannya, kita wajarlah menjadi realistik dengan latihan kita supaya kita mencapai matlamat kita meskipun sedang berpuasa. Jangan lakukan senaman ketika kita tidak mampu, badan kita juga mempunyai kapasitinya. Sekiranya kita memaksa sehingga badan kita melakukan sesuatu di luar kapasitinya, jadi yang akan terjadi itu adalah melawan pertumbuhan otot. Sedangkan, kita ingatkan otot kita akan jadi lebih besar dan kuat, tetapi disebabkan kita tidak realistik, otot kita sebenarnya mengecil dan lemah. Berhati-hatilah.

Rujukan
1. https://becomingthealphamuslim.com/ramadan-strength-training/
2. https://becomingthealphamuslim.com/spirituality-strength/
3. https://barbend.com/ramadan-strength-training/
4. https://squatwolf.com/blog/ramadan-workout/

Sadiq Salihoddin

Saya seorang penulis yang meminati sukan-sukan yang berorientasikan kekuatan (strength). Saya juga seorang atlet profesional gusti lengan yang bertapak di Kuala Lumpur. Saya menulis adalah untuk berkongsi pengetahuan. Saya berharap, perkongsian ilmu dengan cara begini secara tidak langsung dapat memperkembangkan literasi dalam bidang sains sukan umumnya. Selamat membaca!

Facebook 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Share This
error: