Mat Kaji Tumbuh Bagaikan Cendawan Sekarang Dalam Dunia Kecergasan

Kini dah tiba masa untuk anda hadapi realiti dunia latihan yang senantiasa mengalami perubahan. Tolakkan ego ke tepi dan mula buka minda untuk berhujah secara ilmiah serta menerima pandangan orang lain dengan hati terbuka.
Artikel hari ini saya tujukan khas kepada sahabat-sahabat kita yang banyak menghentam individu lain dalam industri yang sama tanpa memberikan ruang kritikan positif untuk ditambah baik.
Kita memang perlu menangkis ilmu-ilmu yang tidak relevan lagi di masa kini, tetapi bukanlah dengan cara yang kasar. Tidak perlulah sampai menghina dan mengherdik insan lain semata-mata nak menunjukkan kita pandai.
Belum baca artikel sebelum ini? Klik di sini untuk mula membaca.
Jadi Mat Terlebih Kaji
Kalau anda banyak mengkaji tentang latihan apa yang terbaik, pemakanan macam mana paling berkesan, baguslah sebab anda akan sentiasa dapat informasi terbaru. Malah, boleh dikatakan penting jugalah kerana tindakan sebegitu boleh membezakan anda dengan orang lain yang berlatih kosong tanpa ilmu.
Tetapi, ada syaratnya juga. Jangan terlebih mengkaji sampai menjadi “hater” atau jurulatih terlebih profesional (hasil daripada bacaan semata-mata). Sekarang, banyak sangat orang sebegini tumbuh bagaikan cendawan, yang hanya reti cakap dan membangkang tetapi hasilnya tiada. Mungkin mereka terlalu banyak sangat mengkaji sampai lupa untuk pergi berlatih.
Walaupun anda bukan seorang seperti itu, anda mungkin secara tidak sedar menggunakan penyelidikan dan kajian-kajian yang anda baca sebagai cara untuk nampak hebat daripada berlatih keras dan kerap.
Percaya atau tidak, jika anda buat carian dan jumpa ada satu kajian menyatakan sedemikian cara adalah yang terbaik untuk bina otot, anda akan jumpa beberapa kajian lain pula yang membangkang penemuan tersebut dan menyatakan benda lain pula lagi baik. Ulang sehingga anda puas.
Bagi orang yang baru mula, dunia kecergasan boleh jadi dunia yang menimbulkan banyak kekeliruan. Janganlah sampai kajian-kajian yang dilakukan dengan tujuan untuk bantu anda menjadi asbab kepada ketidakbolehan anda untuk berlatih dengan baik.
Tapi, ini tidak bermakna anda patut berhenti belajar dan mengkaji. Ilmu yang Tuhan turunkan sangat luas. Anda mesti cari dan gali sebanyak yang boleh tetapi ilmu tersebut haruslah dipraktikkan juga. Ingat pepatah ini, ilmu tanpa amal ibarat pokok yang tidak berbuah.
Apa Yang Patut Anda Buat?
Setelah anda menemukan sesuatu ilmu baharu, apa kata anda cuba praktikkannya ke dalam latihan anda untuk suatu tempoh yang munasabah. Jangan sering bertukar-tukar kaedah kerana untuk menampakkan hasil daripada sesuatu latihan, ia memerlukan masa. Mana boleh amalkan satu jenis latihan untuk seminggu dua dan berharap terus ada perubahan drastik.
Lagipun, badan kita semua berbeza-beza penerimaan. Apa yang anda tengok sesuai untuk individu A, mungkin tak sesuai untuk individu B. Untuk tahu sesuai atau tidak, anda kena buat eksperimentasi terhadap badan anda sendiri. Jangan hanya membaca eksperimen, tetapi cuba lakukannya juga.
Jika anda dah lama dalam dunia kecergasan, anda akan dapati yang latihan merupakan sesuatu topik yang sangat luas. Jawapan antara penggemar industri ini pasti berbeza-beza kerana ia adalah permainan individu. Jangan terlalu ego dan merasakan hanya diri sendiri yang betul.
Tidak Bermakna Kajian Semua Salah
Jangan pula sampai salahkan kajian yang dah terbukti menunjukkan hasil atau sesuatu kesan dan menyatakan semua itu auta. Benda asas, jika sudah terbukti, perlulah diaplikasikan ke dalam latihan kita. Prinsip yang utama perlu ada seperti progressive overload, CICO (calories in calories out), kemasukan protein, dan lain-lain.
Ada juga yang memang menolak kajian 100% dan mengikut ajaran lama tanpa ingin membuka ruang kepada ilmu-ilmu baru. Dunia sentiasa berputar, maka zaman sentiasa berubah. Ilmu juga haruslah dikemaskini. Jika anda berasa paling pandai dan sudah cukup ilmu di dada, percayalah anda masih belum tahu semuanya serta banyak lagi yang perlu dipelajari.