Otot Dada Koyak? Apa yang Harus Dilakukan?

Otot dada Hafthor koyak ketika hendak memecah rekod bench press

Hafthor Bjornsson dan bench press

Semalam, Fitness Volt melaporkan seorang atlet kuat telah mengalami kecederaan otot yang sangat menyedihkan. Beliau ialah Hafthor Bjornsson (selepas ini Thor). Thor baru sahaja mengumumkan bahawa beliau akan kembali ke dunia sukan kuat.

Beliau bercadang untuk memecah rekod bench press akhir tahun ini. Maka, semalam, beliau cuba untuk memecah rekod dengan mengangkat beban setinggi 252.5kg. Kali pertama dan kedua beliau gagal mengangkatnya. Namun demikian, pada percubaan kali ketiga, otot dada beliau koyak.

Kursus Kecergasan 2021

Thor ingin kembali ke dunia sukan kuat pada tahun 2024, maka dengan kecederaan ini, ia dapat mengganggu rancangan tersebut. Otot dada yang koyak mengambil masa berbulan-bulan untuk pulih.

Dengan itu, kita hendaklah berhati-hati. Memang kejadian begini tidak dapat dijangka. Apatah lagi ia berlaku pada atlet-atlet profesional. Jikalau atlet yang dilatih pun terdedah kepada kecederaan begini, kita yang bukan profesional lagilah perlu berjaga-jaga.

Bagaimana cara-caranya?

Otot koyak

Otot koyak ini berlaku bilamana beban yang dikenakan pada otot itu sangat berlebihan daripada kemampuannya. Jadi, hal tersebut boleh mengakibatkan serat otot dan tendon koyak. Boleh juga menyebabkan kebocoran pada salur darah kecil.

Sebab itu, ketika seseorang itu ototnya koyak, akan nampak darah-darah dalam badan timbul di otot berkenaan. Contohnya, gambar berikut:

Anda perlu ketahui bahawa kecederaan begini bukan sahaja boleh berlaku ketika latihan beban, ia juga boleh berlaku ketika sedang melakukan pekerjaan harian seperti di rumah dan sebagainya.

Ini kerana, sekiranya barang yang diangkat itu terlalu berat, ia boleh menyebabkan otot koyak. Perlulah berhati-hati.

Bagaimana hendak elak daripada otot koyak?

Antaranya, berhati-hati dengan kadar beban yang diangkat. Sekiranya ada berkecimpung dalam sukan kuat, anda perlu ada bantuan beberapa orang.

Anda juga perlukan seorang pembantu dari segi menganalisis kemampuan otot anda, boleh jadi seorang jurulatih atau seorang rakan yang arif dalam bab kuat.

Selain itu, regangan. WebMD mengusulkan bahawa seseorang itu perlu konsisten melakukan regangan agar otot menjadi anjal. Keanjalan otot dapat mengelakkan kecederaan seperti koyak.

Namun begitu, terdapat kajian yang membuktikan tidak semestinya regangan dapat mengelakkan otot koyak. Sebab, punca terbesar otot koyak adalah beban itu sendiri.

Ini tidak menafikan bahawa regangan itu amat penting untuk mengurangkan risiko otot koyak.

Bagaimana hendak tahu otot sudah koyak?

Selalunya, ia jelas. Akan nampak darah (dalam) mengalir di bahagian otot. Selain itu juga, otot yang koyak itu tidak mampu digunakan. Contohnya, kalau bisep anda koyak, anda tidak mampu melakukan apa-apa pergerakan mengangkat.

Apa perlu dibuat?

Terus berjumpa dengan doktor. Biar doktor lihat adakah otot itu koyak separa atau habis. Ubat yang perlu didapatkan pula biasanya jenis anti-radang seperti ibuprofen dan sebagainya.

 

 

Sadiq Salihoddin

Saya seorang penulis yang meminati sukan-sukan yang berorientasikan kekuatan (strength). Saya juga seorang atlet profesional gusti lengan yang bertapak di Kuala Lumpur. Saya menulis adalah untuk berkongsi pengetahuan. Saya berharap, perkongsian ilmu dengan cara begini secara tidak langsung dapat memperkembangkan literasi dalam bidang sains sukan umumnya. Selamat membaca!

Facebook 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Share This
error: