YOGA: Senaman Impak Rendah yang Berbisa

Yoga acap kali dikaitkan dengan ketenangan minda atau ketenangan dalaman ( inner peace). Senaman yang berasal dari India ini pada asalnya merupakan suatu aktiviti meditasi yang diamalkan oleh penganut agama Hindu. Kini, ia telah divariasikan dengan pelbagai pergerakan yang menyamai senaman impak rendah. Posisi-posisi yang diterapkan di dalam yoga bukan sahaja dapat memberi ketenangan minda tetapi juga kesihatan fizikal.

Antara kebaikan yoga yang mungkin ramai terlepas pandang adalah yoga dapat mengurangkan berat badan selain dapat meningkatkan kadar fleksibiliti tubuh. Amalan yoga yang memfokuskan pada kecergasan fizikal ini dikenali sebagai yoga kuasa (power yoga). Ianya dilakukan dengan pergerakan yang lebih tangkas dengan mengikut rentak muzik yang rancak. Berbeza berbanding yoga, yoga kuasa menumpukan pada otot teras dan oleh kerana pergerakannya yang lebih laju, ianya tidak sesuai dilakukan oleh individu seperti ibu mengandung. Bagi mereka yang ingin mendapatkan bentuk badan yang cantik tetapi tidak berpeluang ke gimnasium, anda boleh cuba senaman yoga kuasa ini.

 

Gaya hidup masakini yang memerlukan individu untuk berada di hadapan komputer pada tempoh yang lama menyumbang kepada kecenderungan untuk sakit tengkuk dan sakit belakang. Untuk jangka masa lama, ia juga boleh meyebabkan postur tubuh yang teruk. Berbeza dari aktiviti senaman seperti zumba dan kardio, yoga yang mempunyai pergerakan yang gemalai dapat memperbaiki postur badan pengamalnya. Selain dari itu, ia juga mampu mengurangkan sengal sendi terutama sekali di bahagian tengkuk dan belakang badan. Antara posisi yoga yang dapat melegakan sakit belakang adalah seperti cat cow pose dan bridge pose. Kedua-duanya melibatkan pergerakan otot pinggang dan tengkuk.

Gambar dari: Your Pace Yoga

Antara elemen yang dititikberatkan dalam yoga adalah pernafasan. Teknik pernafasan terkawal atau pernafasan pranayama ini dapat mengurangkan kadar kebimbangan (anxiety) seseorang dan memberi ketenangan minda. Cara termudah untuk melakukan pernafasan pranayama adalah dengan duduk dengan bersila, membuka bahu dan menegakkan badan. Kemudian, mula menarik nafas selama 5 saat dan menghembus nafas selama 5 saat melalui hidung secara perlahan-lahan. Aktiviti ini boleh dilakukan selama 5 ke 10 minit atau lebih mengikut keperluan individu.

 

Dengan pelbagai kebaikan yoga, ternyata miskonsepsi seperti yoga hanya untuk wanita dan yoga hanyalah aktiviti regangan tubuh adalah salah. Yoga divariasikan dengan pelbagai posisi dan pergerakan. Semuanya bergantung kepada target dan kemampuan individu. Jadi, adakah anda akan mencuba yoga setelah membaca artikel ini?

Amirah Mirza

Amirah Nabilah Zafrulshamirza

Amirah Mirza ialah pelajar jurusan Linguistik dari Massey Univeristy. Beliau aktif dalam sukan frisbee, bola keranjang juga acara larian. Meskipun beliau sibuk dengan pelajaran dan pekerjaan separa masa, beliau sentiasa mengambil masa untuk bersenam baik di gimnasium mahupun outdoor. Minatnya dalam kesihatan dan masakan mendorong beliau untuk sentiasa bereksperimentasi dengan menu pemakanan yang berkonsep “berkhasiat tapi lazat”.

Beliau yang juga merupakan seorang fitness instructor di bawah latihan Zaki Khan percaya bahawa wanita juga mampu berkecimpung dalam dunia kesihatan setara seperti kaum lelaki. Harapan beliau adalah dengan adanya lebih ramai fitness instructor wanita, stereotaip jantina dalam bidang kesihatan akan berkurangan.

Facebook 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Share This
error: