Johor Unggul Keseluruhan, Juara Baharu Lahir di Malaysia’s Strongest Man & Woman 2025

AMPANG, 26 Oktober — Aksi luar biasa dan kekuatan sebenar manusia menjadi tumpuan apabila Malaysia’s Strongest Man & Woman 2025 melabuhkan tirainya semalam di D’Star Arena Sports Complex, menyaksikan barisan juara baharu dinobatkan selepas dua hari penuh sengit.

Dalam kategori Men Open, dominasi podium milik Mohd Fazim bin Ahmad (Selangor) yang pada mulanya agak goyah di rutin awal tapi terus mengejar, sekaligus menewaskan pesaing terdekat Zarol Alfiyan (Kuala Lumpur) dan Adli Arfan bin Amran (Pahang) yang masing-masing menamatkan saingan di tempat kedua dan ketiga. Kedudukan keempat dan kelima pula diraih oleh Danish bin Baskaran (Johor) dan Muhammad Nasrul Hakim (Putrajaya).

Bagi kategori Men U105, gelaran juara menjadi milik Muhammad Nur Arif bin Mohd Khalil (Selangor), diikuti Syahir Osman (Johor) di tempat kedua dan Elvick Sigar Padan (Sarawak) di tempat ketiga. Allen Chooi Siew Loon (Perak) dan Nabil Alias (Kuala Lumpur) melengkapkan senarai lima terbaik. Lebih manis lagi, Muhammad Nur Arif turut dinobatkan sebagai Atlet Terbaik Lelaki Malaysia’s Strongest Man 2025 selepas memperoleh markah keseluruhan tertinggi merentasi semua kategori lelaki, hasil prestasi luar biasa dan konsistensinya di setiap pertandingan.

Dalam kategori Men U80, Akmal Ali (Selangor) membuktikan kekuatan dan ketahanan luar biasa apabila mendominasi keseluruhan acara untuk meraih tempat pertama. Beliau dah lama menghilang daripada arana sukan tetapi kembali dan terus mendominasi. Tempat kedua disandang Lam Jia Ding (Johor), manakala Rioleo Martin (Sarawak) di tempat ketiga. Muhammad Redzuan bin Rosli (Sarawak) dan Hafizul Yazid (Kuala Lumpur) masing-masing di tangga keempat dan kelima.

Acara wanita turut menyaksikan persaingan sengit. Dalam Women Open, atlet berpengalaman Joyce Heng Shu Xia (Joyce) muncul juara selepas mendahului keseluruhan acara, diikuti Nur Athirah Hee binti Abdullah (Johor) dan Syhra Philip (Sarawak) di tempat kedua dan ketiga. Faridah binti Mohamad (Labuan) serta Nuramimah Azahar (Putrajaya) masing-masing di tangga keempat dan kelima.
Joyce turut menerima pengiktirafan khas sebagai Atlet Terbaik Wanita Malaysia’s Strongest Woman 2025, hasil keunggulan prestasi dan ketepatan teknikalnya dalam semua disiplin pelbagai pertandingan.

Sementara itu, kategori Women U70 menyaksikan bakat muda Damia Emil­sya binti Mohd Zakaria (Johor) menewaskan barisan senior untuk dinobatkan sebagai juara. Nur Aika Farina bt Harun Hakimi (Johor) dan Nur Anis binti Mohd Faruk (Johor) masing-masing menamatkan saingan di tempat kedua dan ketiga, manakala Flavia Manie Luntak (Labuan) serta Priscilla Rebekah Pengiran (Sarawak) melengkapkan senarai lima terbaik.

Dari segi pungutan mata keseluruhan negeri, Johor muncul juara dengan 67 mata, menewaskan Selangor (40 mata) dan Sarawak (37 mata) di tempat kedua dan ketiga. Kuala Lumpur, Labuan, dan Perak pula berada di kelompok pertengahan, diikuti Pahang, Putrajaya, dan Sabah.

Pertandingan anjuran Malaysia’s Strongestman Association (MSA) dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia melalui Geran Padanan Sukan, menampilkan lebih 44 atlet dari seluruh negara bersaing dalam acara ikonik seperti Log Press, Duck Walk, Deadlift dan Truck Pull. Acara ini turut menjadi platform pemilihan atlet bagi mewakili Malaysia ke kejohanan antarabangsa tahun hadapan — membuktikan bahawa bakat dan kekuatan anak muda negara mampu berdiri setanding di pentas dunia.

Zaki Khan adalah seorang terapi senaman yang diperakui. Pernah berkhidmat sebagai jurulatih kepada jurulatih untuk Majlis Kecergasan Kebangsaan di bawah kelolaan Dato Azalina Othman. Berpengalaman lebih dari 23 tahun dalam bidang kecergasan.

Sebagai seorang terapi senaman, Zaki Khan terlibat bukan sahaja sebagai seorang jurulatih kecergasan tetapi juga dalam rehabilitasi, berhadapan dan membetulkan masalah-masalah ketidakseimbangan otot, menguatkan kembali otot-otot yang lemah supaya seseorang itu dapat menjalankan fungsi asas badan. Zaki Khan juga banyak terlibat dalam kempen-kempen mempromosikan kesihatan samada sebagai seorang penceramah, penganjur atau jemputan.

Zaki Khan merupakan bekas atlet Strongman Malaysia. 2 kali bertanding di peringkat dunia, 2 kali peringkat Asia. Pernah dapat tempat ke 3 Arnold Classic.

Facebook Twitter YouTube 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Share This
error: