Korset May21

Kongsi

Korset

Korset? Adakah ianya bagus untuk kuruskan badan? Sejak akhir-akhir ini kecoh pasal korset, dengan pelbagai jenama dan nama seperti premium beautiful, body trimmer, instant figure trimmer dan sebagainya yang cuba dipopularkan oleh syarikat multilevel marketing (MLM) dengan harga mencecah RM 1600 atau mungkin lebih. Seperti biasa, ayat syarikat multilevel, ‘tanpa bersenam anda boleh kurus’.

Kursus Kecergasan 2017

Negara China sekarang memang popular dengan penghasilan produk-produk merapu dan kekadang seolah-olah tidak masuk akal, seperti baru-baru ini kecoh tentang telur tiruan, daging tiruan dan sebagainya. China menjadi negara pengekspot terbesar produk komersial terbesar sekarang. China akan menghasilkan apa sahaja produk yang boleh menjana kewangan. Beri mereka wang, mereka akan hasilkan. Dengan tambahan kononnya pelbagai teknologi yang terkandung yang diletakkan dengan nama yang bombastik. Syarikat MLM mengambil peluang ini untuk mengambil produk-produk permintaan tinggi. Permintaan ubat kurus atau apa-apa produk menguruskan badan mempunyai permintaan dan pasaran yang sangat luas. Boleh dikatakan hampir semua hendak kelihatan kurus dan cantik. Jika ada jalan pintas, lagi semua suka.

Dengan teknologi yang kononnya dipanggil FIR yang menggunakan serbuk magneik infra merah teknologi Jepun dan pelbagai lagi nama. Bagaimana FIR dapat membantu mempromosikan metabolisme dan peredaran darah, serta ekskresi buangan badan dan lebihan lemak? Hanya saintis di kilang di Tianjin boleh menjawab. Semua jawapan daripada kilang yang menghasilkan. Ia seolah-olah sains daripada luar angkasa lepas. Teknologi yang langsung tidak wujud lagi di bumi. Tunjukkan saya kajian daripada pihak-pihak ketiga jika ada? :D. Dengan nama yang agak menarik untuk menipu, diolah lagi oleh para peniaga MLM dengan ayat-ayat manis, janji-janji dan sebagainya, maka ramailah yang tertipu.

Satu set korset ini berharga sekitar USD 28.50 hingga USD 35.50 untuk pembelian 1000 unit. Jika ditukar ke ringgit Malaysia adalah sekitar RM 80 hingga RM 110. Tetapi dijual di Malaysia di bawah syarikat MLM dengan harga sekitar RM 1600, RM 2300, RM 2600 dan sebagainya. Kenapa dijual begitu tinggi? Untuk keuntungan bertingkat-tingkatnya dan untuk mengayakan dalang utama syarikat tersebut. Orang Malaysia mudah ditipu, lebih-lebih lagi Melayu. Bersenam kan sakit badan, elok pakai korset. Senang dan boleh kurus. :D.

Teringat pula cerita pernah makan di satu kedai makan di Selayang dahulu. Adalah 1 kumpulan di meja sebelah beriya bercerita pasal sesuatu. Saya perasan yang beriya mempromosikan sesuatu itu seorang perempuan yang agak gemuk. Saya ternampak korset daripada syarikat Hai-O. Habis kitaorang bantai gelak di situ kerana yang mempromosikan korset itu pun badan sangat besar. Entah apa dipusingnya. Mungkin bawa kereta BMW satu dan bercerita tentang kejayaan cek berjuta-juta diterima setiap bulan, atau melancong setiap bulan dan sebagainya jika menyertai mereka. :D.

Cerita pasal FIR daripada syarikat penjual yang kemudian diolah untuk jadi lebih menarik.

Saya minta tolong sesangatlah, janganlah mudah tertipu dengan benda-benda scam begini. Hendak menguruskan badan, bukan begini caranya. Seperti saya biasa cakap dan kena selalu ulang, bersenam, pemakanan yang baik dan rehat kualiti. Bukannya korset, sauna, pil kurus dan sebagainya. Janganlah buang duit dan berangan untuk kaya cepat dengan menyertai skim-skim begini. Dalam masa yang sama bila anda mempromosikan benda-benda begini, anda merosakkan orang lain yang ingin hidup sihat. Jika anda benar-benar ingin membantu seseorang kuruskan badan, ajaklah dia bersenam, jaga makan. Gunakan cara yang betul. Hentikanlah penipuan.

Senaman mempunyai banyak kelebihan, untuk jantung dan sebagainya. Adakah pemakaian produk-produk begini dapat memberikan anda kesihatan yang baik? Jadilah seorang yang berilmu. Jika tiada, carilah ilmu itu. Jangan semata-mata mendengar cerita rakan pejabat yang menjual produk-produk begitu. Mereka inginkan jualan, mereka inginkan keuntungan MLM, mereka inginkan downline. Mereka sendiri mungkin dah tertipu dan keluar ribuan ringgit. Jadi mungkin paling tidak kena cari beberapa jualan untuk menutup kerugian mereka. Biar orang lain pula rugi.

Bersama kita banteras gejala MLM

(Kredit ke blog aididmuaddib)

Zaki Khan adalah seorang terapi senaman yang diperakui. Pernah berkhidmat sebagai jurulatih kepada jurulatih untuk Majlis Kecergasan Kebangsaan di bawah kelolaan Dato Azalina Othman. Berpengalaman lebih dari 10 tahun dalam bidang kecergasan.

Sebagai seorang terapi senaman, Zaki Khan terlibat bukan sahaja sebagai seorang jurulatih kecergasan tetapi juga dalam rehabilitasi, berhadapan dan membetulkan masalah-masalah ketidakseimbangan otot, menguatkan kembali otot-otot yang lemah supaya seseorang itu dapat menjalankan fungsi asas badan. Zaki Khan juga banyak terlibat dalam kempen-kempen mempromosikan kesihatan samada sebagai seorang penceramah, penganjur atau jemputan.

Facebook Twitter YouTube