Minda dan Badan Jan16

Kongsi

Minda dan Badan

“Saya telah cuba segalanya, tetapi tidak dapat hasil”
“Badan tak boleh besar jika tak pakai steroid”
“Saya tidak memiliki genetik yang baik untuk membina badan”
“Tak boleh angkatlah, sakit badan”
“Badan saya tak boleh kuruslah, dah puas saya diet”
“Ala dia boleh lah, banyak pakai barang”

Ini hanya beberapa ayat yang saya kerap dengar sepanjang masa dari orang yang ‘yakin’ bahawa tubuh mereka tidak mampu membina atau membakar lemak dalam satu jangka masa. Jika orang lain lebih besar, lebih kuat, lebih cepat dari anda, maka pasti dia menggunakan ubat? Pasti itu yang bermain di fikiran kita. Betul tak?

Kursus Kecergasan 2017

Teringat cerita pasal steroid. Mungkin ramai yang mengenali cikgu saya yang mana dia agak top di Malaysia dalam bidang kecergasan. Tidak perlulah saya sebutkan namanya di sini. Doktor ini ada seorang anak murid yang berminat dalam bina badan dan bercadang untuk bertanding. Anak murid ini pergi jumpa doktor ini 6 bulan sebelum bertanding. Dia bertanya pada doktor, “Doc, ada steroid untuk besarkan badan ke?”. Doktor beri dia paracetamol (kandungan dalam penadol) dalam bentuk yang jarang ditemui, dan menyuruh dia makan sebiji sehari sebelum latihan dengan syarat latihannya ‘begini’, makannya ‘begini’. Selepas 3 bulan, badan budak itu betul-betul besar. Dia jumpa lagi doktor ini. “Doc, ada steroid untuk bagi cut, saya mau masuk contest“. Doktor bagi pil macam pil ‘chi kit teck aun’. Kalau tak silap untuk cirit birit. Lalu disuruh buat latihan ‘begini’ dan makan ‘begini’. Selepas 3 bulan badannya sudah bersedia untuk bertanding. Dia masuk pertandingan dan menang. Soalan saya di sini, adakah steroid yang menyebabkan badan dia jadi? (Jangan pula lepas ini ada orang guna paracetamol untuk besarkan badan, itu ubat demam, buat ubat besarkan otot) 😀

Sebenarnya, kepercayaan dia mempengaruhi psikologi dia dan menerima ubat-ubat itu sebagai steroid. Syarat asas untuk membina atau menurunkan badan ada tiga, pemakanan yang betul, cara latihan yang betul dan rehat yang mencukupi. Bukan hendak menafikan kelebihan-kelebihan dadah sukan ini. Steroid ada kegunaan-kegunaan tertentu. Kita sejak awal lagi telah dididik dengan kepercayaan bahawa tanpa steroid badan tak boleh besar. Siapa yang ajar? Mereka yang menggunakan steroid. Jika anda percaya anda takkan besar tanpa steroid, saya jamin anda takkan besar tanpa steroid. 😀

Jika kita lihat balik sistem latihan di Amerika. Kita akan dapati mereka yang terlibat dalam sukan bina badan khususnya yang mana melalui penjagaan yang betul akan mengambil masa sekurang-kurangnya 5 tahun sehingga badan sukar mendapatkan hasil yang dikehendaki barulah menggunakan dadah sukan dengan nasihat doktor. Tetapi situasi di Malaysia berlainan, baru dua minggu masuk gym dah mula bertanya, “bang, ada cucuk nak besarkan badan tak?”.

Seringkali juga dalam gymnasium, saya dengar perkataan ‘tak boleh’. Bila suruh angkat berat, mulutnya sudah berkata ‘tak boleh’ yang mana signalnya akan terus sampai ke otak dan otak akan menyalurkan ke otot. Kebanyakan dari kita hidup dengan perkataan-perkataan negatif yang mana kita akur pada perkataan ‘tak boleh’. Jika anda sering berkata ‘tak boleh’, saya yakin memang anda takkan boleh buat. Minda seorang juara akan berkata ‘boleh’ dan akan mencuba dan terus mencuba. Mereka yang gagal sebelum mencuba lagi teruk daripada mereka yang gagal mencuba.

Ketahuilah bahawa badan kita tidak berminat untuk membina otot berlebihan kerana otot-otot tambahan ini memerlukan kalori yang sangat tinggi, jadi itulah sebabnya mengapa kita harus memaksa untuk melakukannya dengan latihan bebanan, pemakanan yang tepat dan istirehat yang cukup. Jika anda ingin membina otot atau membakar lemak, latihan itu mestilah keluar daripada apa yang kita panggil ‘comfort zone‘. Paksalah badan kita untuk hasil yang lebih tetapi jangan berlebihan sehingga boleh mendapat kecerderaan.

Topik hari ini agak santai rasanya. Kesimpulan saya disini, janganlah kita membina satu blok di hadapan kita yang menyekat perkembangan kita, tak kira samada tujuan anda untuk kuruskan badan atau besarkan badan. Segalanya terletak di minda kita. Yakinlah bahawa anda boleh buat.

Zaki Khan adalah seorang terapi senaman yang diperakui. Pernah berkhidmat sebagai jurulatih kepada jurulatih untuk Majlis Kecergasan Kebangsaan di bawah kelolaan Dato Azalina Othman. Berpengalaman lebih dari 10 tahun dalam bidang kecergasan.

Sebagai seorang terapi senaman, Zaki Khan terlibat bukan sahaja sebagai seorang jurulatih kecergasan tetapi juga dalam rehabilitasi, berhadapan dan membetulkan masalah-masalah ketidakseimbangan otot, menguatkan kembali otot-otot yang lemah supaya seseorang itu dapat menjalankan fungsi asas badan. Zaki Khan juga banyak terlibat dalam kempen-kempen mempromosikan kesihatan samada sebagai seorang penceramah, penganjur atau jemputan.

Facebook Twitter YouTube